kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ditimpa penyakit rasa bagus

KISAH mahasiswa Melayu yang sering dikategori kelas kedua bukan isu baru malah menimbulkan pelbagai polemik di kalangan masyarakat.

Malah, senarai panjang mahasiswa Melayu yang hanya mampu mendapat keputusan sederhana menyebabkan masyarakat tiada pilihan selain memberi tanggapan serupa.

Mendominasi sebahagian besar tempat di menara gading, kecemerlangan mahasiswa Melayu masih boleh dibilang jari hingga menimbulkan persoalan, mengapa mereka sukar mencipta kejayaan membanggakan?

MUSNAHKAN MASA DEPAN...mahasiswa Melayu perlu bertindak mengikut akal fikiran waras, jangan mudah dihasut kerana akan merugikan masa depan. - Gambar hiasan


Apa bezanya di antara mahasiswa Melayu dan bangsa asing, sedangkan mereka belajar di kampus yang sama?


JANGAN LUPA JANJI...berusahalah sebaik mungkin untuk menunaikan janji yang sudah dibuat sebaik saja menjejakkan kaki di menara gading. - Gambar hiasan.


Pengarah Pusat Akreditasi Pembelajaran Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Khaidzir Ismail, berkata soal tidak pandai bukan pokok persoalan namun bagaimana mentransformasikan minda mereka supaya keluar dari zon selesa.

  LEBIH BAIK BEGINI...menara gading adalah tempat menimba pelbagai ilmu, justeru gunakan peluang berkenaan sebaiknya sekali gus membuktikan mahasiswa Melayu juga boleh berjaya. - Gambar hiasan.  


Beliau berkata, pengukuhan terhadap zon itu menyebabkan minda mahasiswa Melayu tidak mampu menjana informasi lain menyebabkan mereka mudah tergelincir daripada matlamat asal di menara gading.

“Sebahagian besar mahasiswa kita berada dalam zon selesa. Mereka kumpulan majoriti yang menjadikan menara gading sebagai transit ilmu yang penuh kebebasan.

“Pentafsiran salah akhirnya akan memakan diri kerana kebebasan itu diolah dengan cara dan makna tidak tepat.


BERSUNGGUH - SUNGGUH...jadikan ilmu sebagai asas pemangkin diri yang boleh menaikkan lagi imej mahasiswa Melayu di mata masyarakat.

“Sepatutnya, menara gading tempat cabaran sebenar dan bakal menentukan mereka menjadi manusia berguna atau tidak,” katanya.

Sangat klise mengaitkan pencapaian mahasiswa Melayu di institusi pengajian tinggi negara namun itulah terpaksa ditelan apabila keputusan peperiksaan sebahagian besarnya hanya bertahap sederhana atau cukup makan.

BUKTIKAN...belajarlah bersungguh - sungguh untuk mencipta kejayaan sekali gus membuktikan mahasiswa Melayu bukan golongan kelas kedua. - Gambar hiasan.

Keputusan itu cukup mendukacitakan selain tidak setimpal keputusan cemerlang diperoleh dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Masyarakat akan mempertikaikan adakah universiti memang membuat pilihan calon yang betul mengikut kriteria?

“Mereka layakkah? Kalau ya, mengapa hasilnya menghampakan?” soalnya.

Enggan menafikan, beliau berkata kebanyakan mahasiswa Melayu mudah terleka dengan sogokan janji manis hingga mereka tersungkur.

“Pendirian mereka rapuh. Awalnya memang berkobar-kobar dan berjanji belajar bersungguh-sungguh.

BUANG MASA...mahasiswa Melayu jangan mudah terjebak dengan aktiviti yang tidak mendatangkan manfaat sekali gus membuang masa dengan sia-sia. - Gambar hiasan.

“Namun, apabila khayal dengan sogokan tertentu, janji yang dipahat dulu hilang sekelip mata. Mahasiswa hari ini tampak cukup hebat fizikalnya namun rapuh dalaman menyebabkan mereka mudah ‘tumbang,” katanya.

Mereka pandai namun menyalurkan kepandaian itu pada tempat tidak sepatutnya.

“Definisi pandai sangat subjektif. Memperoleh keputusan semua A, memang bijak tapi adakah mereka juga pandai membawa diri?

“Pandaikah mereka bergaul dengan rakan lain, membahagikan masa atau menepis godaan yang datang?

“Minta maaf kerana pemerhatian saya mendapati kebanyakan kepandaian mereka disalurkan pada kegiatan kurang berfaedah,” katanya.

Katanya, mahasiswa Melayu perlu disedarkan bahawa tiada lagi jaminan menanti jika hanya mampu memperoleh keputusan sederhana.

“Dulu mungkin boleh tetapi kini keadaan sudah berubah. Masing-masing berusaha ‘memintas’ antara satu sama lain menjadikan peluang semakin mengecil.

“Tidak boleh lagi berangan-angan dan bersikap tunggu dan lihat. Alasan tertentu bagi menyedapkan hati juga sudah tidak berguna kerana yang penting bangkit mengejar peluang.

“Malangnya, sebahagian besar mereka masih terlena dan berpegang pada kepercayaan, mahasiswa Melayu ada jaminan dan keistimewaan. Ini silap,” katanya.

Beliau berharap mahasiswa mengikis sikap tinggi diri yang menjulang hanya kerana kejayaan pencapaian sebelumnya.

“Bukan menuduh tapi kebanyakan mahasiswa kita selalu ‘ditimpa’ penyakit perasaan bagus dan bangga diri hanya kerana diterima masuk universiti.

“Di universiti, mereka belajar cara tidak konsisten, pasif, malu bertanya, melaksanakan tugasan di saat akhir serta sentiasa mengharapkan bantuan pensyarah.

“Asalkan mampu menamatkan pengajian, itu sudah memadai. Budaya yang perlu dikikis dari minda mahasiswa Melayu,” katanya. 

Begitupun, beliau tetap optimis, mahasiswa Melayu boleh cemerlang sekali gus menutup mulut masyarakat yang memperlekehkan pencapaian mereka,” katanya.





Oleh Ruhaiza Rusmin ruhaizarusmin@hmetro.com.my
Sumber:
myMetro Variasi Bestari Isnin, 11 Jun 2012
Tags: pendidikan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments