kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mukhriz, Langkawi dan politik Kedah

 LANGKAWI yang terkenal sebagai pulau peranginan tidak terlepas daripada bahang politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13. Mereka yang tiba di pulau itu sudah pasti akan disambut dengan kemeriahan bendera-bendera parti politik.

Sepanjang jalan dari Kuah ke Kedawang, ia dipenuhi dengan bendera-bendera yang seolah-olah menggambarkan musim pilihan raya sudah bermula.

Ternyata Langkawi sememangnya menjadi salah satu sasaran pembangkang terutamanya Pas untuk ditawan setelah ia sekian lama berada di bawah Barisan Nasional (BN). Pas bukannya tidak mencuba untuk menawan Langkawi namun usaha mereka gagal, penduduk Langkawi masih setia bersama BN. Tambahan pula orang Kedah terutamanya di Langkawi masih terhutang budi kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dianggap pemimpin paling berjasa membangunkan pulau itu.

Ketika berada di pulau legenda itu minggu lalu, penulis diberitahu bahawa Pas semakin agresif untuk meraih sokongan penduduk, kibaran bendera parti itu di seluruh pelosok pulau tersebut telah menampakkan betapa seriusnya usaha mereka.

Oleh itu BN tidak boleh memandang remeh cabaran yang dilakukan oleh Pas apatah lagi sekarang ini, sudah terdengar ura-ura ada perebutan untuk menjadi calon di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO di pulau tersebut.

Pulau Langkawi mempunyai tiga kerusi yang kesemuanya kini dikuasai oleh BN iaitu Parlimen Langkawi dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuah dan Ayer Hangat.

Penulis tidak tahu sejauh manakah kebenarannya mengenai perebutan untuk menjadi calon ini tetapi ia dimaklumkan sendiri oleh penduduk Langkawi yang sentiasa mengikuti perkembangan politik pulau itu.Mungkin juga keadaan itu berlaku kerana sudah ada cakap-cakap bahawa UMNO dan BN perlu meletakkan calon muda atau muka baru terutamanya bagi kerusi Parlimen.

“Kalau muka baru baguihla (baguslah), dapat lah kita tengok idea baru untuk tolong penduduk," kata seorang peniaga di Pantai Cenang kepada penulis. Berdasarkan tinjauan dan sembang-sembang penulis dengan penduduk Langkawi jelaslah mereka mahukan perubahan dari segi calon BN.

MUKHRIZ Mahathir (depan tengah) bersama-sama penyokong Barisan Nasional (BN) ketika pelancaran
Program BN Pilihan Orang Muda peringkat negeri Kedah di Jitra, baru-baru ini.

Apa yang agak menarik nama Datuk Mukhriz Mahathir turut menjadi sebutan penduduk sebagai calon paling sesuai untuk bertanding kerusi Parlimen langkawi.

Justeru tidak hairanlah Mukhriz akan disambut meriah setiap kali datang ke pulau itu. Bagi penduduk tidak ada salahnya Mukhriz menjadi ahli Parlimen kawasan berkenaan. Apa tah lagi penduduk menganggap ia bagaikan peluang untuk mereka membalas jasa Dr. Mahathir dengan memberi penghormatan kepada Mukhriz menjadi wakil rakyat mereka.

‘‘Dulu pun kami ada dengaq (dengar) Mukhriz nak bertanding di sini tetapi last-last (akhirnya) tak jadi, dia pi bertanding di Jerlun...tak tau la kali ini macam mana tetapi kalau dia bertanding penduduk pasti sokong dia," kata seorang penduduk yang tinggal di Temoyong, Langkawi.

Walaupun Mukhriz mungkin ‘tidak senang’ namanya dikaitkan namun beliau perlu faham bahawa dirinya kini adalah pemimpin muda paling popular di Kedah. Memanglah kenyataan seumpama ini sudah pasti tidak akan disenangi oleh sesetengah pihak, sebab itulah khabarnya baru-baru ini beliau `diserang’ agak hebat bila namanya dikaitkan untuk jawatan Menteri Besarkalau BN menang di Kedah.

Tetapi apa yang penting kita harus berpegang kepada prinsip rakyat didahulukan, maka ikut apa yang rakyat mahukan dan bukannya mengikut agenda politik mana-mana individu.

Mukhriz bukan sahaja popular di kalangan warga emas malahan generasi muda juga dikatakan menyenangi keterampilannya. Oleh itu ramai berpendapat tiada salahnya jika Mukhriz diuar-uarkan sebagai bakal pemimpin utama Kedah.

‘‘Tidak kisah di mana pun Mukhriz bertanding, dia boleh menang tetapi kalau di Langkawi lagi baguih (bagus) sebab penduduk suka dia,’’ kata seorang penjawat awam yang bertugas di pulau berkenaan.

Dalam soal ini semua pemimpin UMNO dan BN perlu akur termasuklah di Pulau Langkawi , kalau penduduk yang menyokong BN merasakan bahawa masanya sudah tiba untuk parti itu melakukan perubahan dari segi calon dan tidak meletakkan muka yang sama sahaja bertanding, maka lakukan, apa yang penting kemenangan untuk parti.

BN tidak harus memandang remeh cabaran pembangkang di Pulau Langkawi, senario politik negara masa kini telah membuktikan bahawa tidak ada mana-mana pun parti politik yang boleh mendabik dada mengatakan satu-satu kawasan itu kubu kuat mereka.

Begitu juga di Langkawi walaupun tradisinya ia kubu kuat UMNO namun ia bukanlah satu jaminan sebaliknya apa yang perlu dilakukan ialah meletakkan calon mengikut kehendak rakyat pulau itu.

Tidak apalah kalau Mukhriz lebih sesuai dikekalkan di kerusi Parlimen Jerlun atau mewarisi bekas kerusi bapanya di Kubang Pasu, tetapi cabaran pembangkang di Langkawi jangan dipandang remeh. Malahan tinjauan penulis di Kedah juga mendapati bahawa pengaruh Mukhriz dengan kehadiran Dr. Mahathir untuk berkempen dalam pilihan raya umum akan datang mampu memberi kelebihan kepada BN.

Apa pun senario yang berlaku di Langkawi dan Kedah secara keseluruhan sememangnya amat menarik untuk diikuti. Penulis yang berada di Kedah ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Kulim pada Jumaat lalu mendapati sokongan rakyat Kedah kepada BN semakin meningkat.

Ribuan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum yang menyambut kehadiran Najib telah membuktikan rakyat Kedah mahukan perubahan kepimpinan kerajaan negeri. Mereka merasakan cukuplah sepenggal Pas diberi peluang untuk memerintah tetapi gagal melakukan apa-apa, banyak janji yang tidak ditunaikan.

Sememangnya berdasarkan tinjauan penulis selama seminggu di Kedah mendapati arus perubahan semakin ketara dan ia bakal membawa kebaikan kepada UMNO dan BN tetapi parti itu tidak boleh leka kerana bukan sahaja perubahan sikap rakyat diperlukan tetapi juga ketelusan pemimpin-pemimpin BN untuk meraih kemenangan.

Dan ia termasuklah memberi laluan kepada generasi muda menjadi peneraju utama kepimpinan negeri jika BN menang, siapakah mereka ia perlu diuar-uarkan dari sekarang supaya rakyat tidak menganggap bahawa dalam pilihan raya akan datang UMNO hanya meletakkan calon bak kata orang Kedah, ‘pi mai pi mai muka tu jugak,’’.


Oleh ZULKIFLEE BAKAR pengarang@utusan.com.my
Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 11/06/2012
Tags: politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments