kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mohamed Noah tokoh dua zaman

TAN Sri Mohamed Noah Omar ialah Yang Dipertua Dewan Rakyat yang pertama (1959-1964) dan Yang Dipertua Dewan Negara yang ketiga (1969-1970).

Ketika penjajahan Jepun, memaksa Mohamed Noah membawa keluarganya berlindung di hutan Kempas, Johor Bahru dan terpaksa menghadapi hidup yang sukar dengan bergantung kepada ubi kayu dan pisang sebagai makanan utama.

Namun mereka tidak tinggal lama dalam hutan kerana Jepun melantik beliau menjadi majistret di Muar dan kemudiannya di Batu Pahat sehingga tamat peperangan.

Setelah tentera Jepun di Malaya menyerah kalah tanpa syarat kepada British pada September 1945, Mohamed Noah bersama-sama Pegawai Daerah Batu Pahat, Datuk Onn Jaafar menubuhkan Pergerakan Melayu Semenanjung bagi menyatukan orang Melayu.



Mohamed Noah Omar (kiri) berbincang bersama Halimah Norziah, Onn Jaafar dan Anwar Malek
di rumahnya di Batu Pahat pada November 1945 yang mencetuskan asas penubuhan UMNO.

Ekoran cadangan British membentuk Malayan Union pada Oktober 1945 yang bertujuan mengubah status Malaya daripada naungan kepada tanah jajahan, maka satu mesyuarat diadakan di rumah Mohamed Noah di Jalan Sultanah, Batu Pahat yang dihadiri tokoh-tokoh Melayu Johor pada November 1945.

Hasil perbincangan itulah yang turut dihadiri Onn kemudiannya mencetus idea penubuhan United Malay Organisation (UMO) yang kemudian ditukar nama kepada UMNO ketika Kongres Kebangsaan Melayu yang pertama pada 4 Mac 1946.

Berikutan jasanya termasuk dalam menentang Malayan Union, beliau diberi kepercayaan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1959 mewakili parti Perikatan dan menang di kawasan Parlimen Johor Bahru Timur.

Dari segi kehidupan peribadi, beliau berkahwin dengan Puan Sri Maimun Abdul Manaf pada 1922. Ketika itu beliau yang berusia 25 tahun bertugas sebagai kerani di Mahkamah Tinggi Muar. Isterinya yang meninggal dunia pada 1968 ialah anak Kadi Muar dan adik kepada salah seorang rakannya yang sama-sama menuntut di Beirut. Anak mereka ialah Datin Fakhriah, Tun Suhailah (berkahwin dengan Hussein) dan Tun Rahah (berkahwin dengan Tun Abdul Razak).

Anak sulung pasangan berkenaan Nabiha meninggal dunia pada usia 18 tahun ketika penjajahan Jepun sementara satu-satunya anak lelaki mereka, Abu Rais meninggal dunia pada 1969. Perjalanan hidup tiga anaknya itu diceritakan dalam buku bahasa Inggeris bertajuk The Three Swans tulisan anak kedua Fakhriah, Datuk Dr. Fawzia Abdullah yang juga bekas Pengarah Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan.

Buku itu menceritakan sikap terbuka Mohamed Noah yang menghantar ketiga-tiga anak perempuannya ke sekolah asrama Inggeris, Convent Melaka (kini Sekolah Kebangsaan Infant Jesus 1), satu sifat luar biasa yang bukan amalan ibu bapa Melayu ketika itu.

Dari segi penglibatan dalam politik, beliau pernah menjadi Pengerusi Tetap UMNO selama lapan tahun bermula 1951 sehingga meletak jawatan setelah dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat. Beliau terkenal sebagai Pengerusi yang sering tersenyum dan suka berjenaka.

Setelah bersara sebagai Yang Dipertua Dewan Negara di usia 73 tahun, beliau melibatkan diri dalam bidang perniagaan antaranya Pengerusi Malayan Flour Mill Bhd., Pengarah Matsushita Electric Co. (M) Sdn. Bhd. dan Pengerusi Diners Club (Mal) Bhd.

Beliau turut menulis sebuah buku dalam bahasa Melayu bertajuk Tuan Speaker, Tuan'terbitan Utusan Melayu (M) Bhd. pada 1967 sebagai panduan berhubung peraturan perjalanan sidang Dewan Rakyat.

Mohamed Noah pada zaman mudanya turut terlibat dalam penterjemahan buku bahasa Inggeris ke bahasa Melayu bertajuk Tenggelamnya Kapal Perang Jerman Emden.

Beliau yang mempunyai hobi mengembara, bermain tenis, bola sepak, golf dan mengumpul barangan antik pernah menjadi salah seorang Perwakilan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 1958.

Ketika berusia 76 tahun pada 1973, beliau menubuhkan Yayasan Mohamed Noah iaitu sebuah badan amal bagi menguruskan dana untuk meningkatkan pendidikan di kalangan rakyat Malaysia. Pada 1963, Kerajaan Persekutuan turut menganugerahkan pingat Pangkuan Mahkota Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri kepada beliau.

Beliau meninggal dunia di hospital kerana serangan sakit jantung pada usia 94 tahun pada 1991 dan telah dikebumikan di Makam Pahlawan.

Sebuah buku mengenai kisah hidupnya bertajuk Tan Sri Haji Mohamed Noah: Tokoh Dua Zaman, Sikapnya Sederhana, Hidupnya Berjasa' tulisan bekas wartawan Utusan Melayu, Zainal Abidin Alias (Zabha) turut diterbitkan Utusan Melayu (M) Bhd. pada 1976. (Buku ini akan dilancar semula 20 jun ini sempena Majlis Malam Jasamu Dikenang Tan sri Mohamed Noah omar.)

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara dan juga pengasas MCA, Tun Omar Ong Yoke Lindalam pendahuluan buku berkenaan melahirkan kekaguman terhadap latar belakang Mohamed Noah yang bermula daripada kerani awam, kemudiannya berjaya menggunakan peluang-peluang baru hasil daripada kemerdekaan negara untuk menjadi seorang tokoh negara yang amat dikenali.

Ujarnya, di senja hidupnya, tokoh itu masih lagi kuat dan cergas serta bersungguh-sungguh menghadapi cabaran-cabaran hidup dalam lapangan perniagaan dan dengan kebijaksanaannya dapat pula menguasai bidang berkenaan dengan penuh kepintaran.

Sedangkan, katanya, kebanyakan orang lain yang seumur dengannya mungkin berpuas hati merenung semula masa silam yang membawa kenangan manis sahaja.

Bekas Presiden Pas, Tan Sri Mohd. Asri Muda menerusi ulasannya dalam buku tersebut turut menyifatkan Mohamed Noah sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang adil.

"Sebagai seorang anggota pembangkang, saya tidak ragu-ragu untuk menegaskan kami merasakan betul-betul demokrasi itu hidup semasa persidangan Dewan Rakyat yang muda itu dijalankan.

"Persidangan kelihatan berjalan segar, dikendalikan dengan jujur dan ada semacam keazaman dalam pemikiran Speakernya untuk membuktikan sikap berkecualinya benar-benar dilaksanakan walaupun beliau datang daripada parti pemerintah," ujarnya.

Seperti kata pepatah, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggal nama. Mohamed Noah ialah tokoh yang harus dikenang kerana banyak berjasa kepada negara pada era sebelum merdeka dan selepasnya.



Oleh NIZAM YATIM nizam.yatim@utusan.com.my Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 19/06/2012

Tags: sejarah, tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments