kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Iklan miang dan mentaliti silo

AKHIR-AKHIR ini produk kesihatan tradisional cukup banyak dalam pasaran. Ada antara pengusahanya tidak takut, tidak lokek malah tidak ragu-ragu melabur untuk mempromosikan produk mereka dengan mengiklankannya di media terutamanya akhbar-akhbar tempatan.

Tahniah! Penulis tumpang gembira. Ini bermakna semakin ramai orang biasa khususnya orang kampung yang berani berjinak-jinak dengan dunia perniagaan, menjual ramuan ubat yang dulunya mungkin hanya dibuat untuk dipakai sendiri, saudara-mara atau kenalan rapat.

Penulis memang tidak ada masalah dengan produk-produk tradisional ini. Apatah lagi kebanyakannya berserta kelulusan Kementerian Kesihatan. Maknanya produk ini dijamin selamat digunakan, bukan beracun dan mengancam kesihatan.

Jadi seperti yang penulis sebut tadi, memang penulis tidak ada masalah dengan produk.

Cuma yang penulis kurang berkenan, pendekatan iklan yang digunakan untuk mempromosikan produk tersebut terutama segala macam ubat kuat tenaga batin baik untuk lelaki dan wanita.

Rata-ratanya nampak remeh, gatal dan berorientasikan seks murahan.

Dialog-dialog miang yang digunakan bagi penulis bukan sahaja tidak sesuai malah agak tidak senonoh. Lebih-lebih lagi apabila ia diungkapkan oleh model-model berumur separuh abad yang sebaya dengan datuk nenek kita. Nak tengok iklan itu pun kita jadi segan.

Oleh kerana pendekatan yang digunakan agak kekampungan, ia tidak melambangkan wawasan syarikat atau produk yang hendak dipasarkan.

Pendek kata, ia menyebabkan persembahan iklan itu menjadi tidak profesional.

Sepatutnya iklan itu ‘menjual’ produk dengan menceritakan khasiatnya terutama dari segi fakta saintifik. Setidak-tidaknya berceritalah tentang ramuan produk yang dijamin boleh menguatkan tenaga. Dan bercakap soal tenaga tentulah bukan untuk satu tujuan itu sahaja.

Dengan membuat iklan model berumur separuh abad yang mengungkapkan dialog gatal, ia telah menyempitkan pasaran produk tersebut kepada kelompok tertentu.

Tidak mungkin produk itu hanya disasarkan untuk kumpulan lelaki dan wanita separuh abad, yang berpoligami atau bermadu dan tidak ada benda lain yang difikirkan selain seks, seks dan seks.

Sepatutnya pengusaha ubat-ubat kuat ini berfikir di luar kotak. Mereka patut menyasarkan produk kepada khalayak yang lebih besar. Buat iklan yang sesuai untuk semua lapisan umur supaya tidaklah segan orang hendak menatapnya.

Ubat-ubat kuat tenaga keluaran jenama terkenal Pfizer misalnya tidak bergantung kepada dialog-dialog gatal untuk melariskannya.

Iklan ubat kuat sepatutnya umum untuk menguatkan tenaga - supaya lebih gagah dan bersemangat untuk bekerja, beriadah atau bersukan. Bukan dengan konotasi seks semata-mata.

Barulah pasaran produk itu menjadi lebih besar dan meluas, menjangkaui pengguna berbilang usia, latar belakang dan kerjaya. Bukan hanya untuk lelaki separuh abad yang tak ada kerja lain tetapi asyik memikirkan benda yang satu itu sahaja. Berapa kerat sangatlah golongan ini. Dan pulangan jualan juga tentulah menjadi terhad juga.

Ubat kuat

Pendekatan iklan segelintir syarikat ubat kuat ini bagi penulis ada kaitannya dengan mentaliti silo yang disebutkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

Walaupun peringatan itu ditujukan kepada kakitangan awam yang terlalu taksub dengan pendekatan kerja cara lama, rasanya ia juga sesuai diguna pakai dalam konteks iklan produk berbaur seks ini. Ini kerana ia ada hubung kait dengan cara kerja, baik awam mahupun swasta.

Perumpamaan lama pun ada untuk menggambarkan keadaan ini iaitu ‘umpama katak di bawah tempurung’.

Katak yang khusus ini dunianya di bawah tempurung itulah. Kecil dan tertutup. Sebab itu orang tua-tua berpesan jangan jadi macam katak di bawah tempurung.

Sayangnya anak muda zaman sekarang, katak pun tak pernah jumpa, tempurung lagilah pula.

Sebab itu penggunaan mentaliti silo ini cukup sesuai untuk digunakan pada masa ini. Maklumlah dalam dunia siber dan Facebook menjadi buku teks mereka, permainan popular rangkaian sosial itu iaitu Farmville pada satu tahap pasti berjumpa dengan silo.

Silo atau silinder tinggi daripada kayu atau konkrit ini gunanya untuk menyimpan makanan ternakan. Jika masa perang, silo ini juga kubu bawah tanah untuk menyimpan peluru.

Pokoknya ia tempat simpanan yang tertutup.

Jadi orang yang bermentaliti silo ini tidak berfikiran jauh sebab dunianya hanya sekitar ruang yang sempit itu.

Kalau dalam keadaan pekerja pejabat sekarang rasanya boleh juga digelarkan dengan mentaliti kubikel. Mereka enggan berfikir di luar kubikel atau ruang tempat mereka bekerja. Pantang sekali!

Dengan kata lain, kerja engkau kerja engkau, kerja aku kerja aku. Jadi kerap kalinya idea engkau untuk engkau, idea aku untuk aku. Jadi walaupun aku ada idea untuk memperbaiki kerja engkau, aku simpan sahaja sebab itu bukan kerja aku. Begitu juga sebaliknya.

Mungkin sebab itu mereka yang mempunyai mentaliti silo dan kubikel ini amat mudah berpuas hati atau perasan bagus. Sebab mereka tidak membuat perbandingan dengan dunia di luar silo atau kubikel mereka.




Coretan Marhaen
Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 24/06/2012

Tags: mentaliti
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments