kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Apa menariknya filem mafia?

"I’m gonna make him an offer he can‘t refuse." (Saya akan beri tawaran yang dia tidak boleh tolak) kata Don Corleone kepada Johnny Fontane mengenai pemilik studio Woltz dalam babak awal filem The Godfather.

Ia adalah ungkapan ayat paling terkenal dipetik dari filem arahan Francis Ford Coppola pada 1972 bukan sahaja di kalangan profesional pemasaran, peguam, ejen insurans, ah long tetapi juga ibu bapa (dalam menangani kedegilan anak!).

Diadaptasi daripada novel tulisan Mario Puzo, buku kisah mafia terlaris sejak ia diterbitkan pada 1969.


TANGAN Don Corleone (Marlon Brando) dicium sebagai tanda hormat kepada ketua mafia dalam filem
The Godfather terbitan 1972 yang dianggap terhebat sepanjang zaman.

Godfather (bermaksud bapa angkat kepada kanak-kanak mengikut tradisi Kristian) mengisahkan sebuah keluarga kumpulan jenayah terancang Mafia Sicily berpusat di kota New York, diketuai oleh Don Vito Corleone (lakonan Marlon Brando).

Novel ini berlatar belakang dari tahun 1945 hingga 1955, turut memperkenalkan kepada umum istilah yang digunakan oleh penjenayah berketurunan Itali iaitu consiglieri, caporegime, Cosa Nostra dan omerta iaitu kod senyap - tidak bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Karya Puzo ini kemudiannya diangkat menjadi filem pada 1972 dan ekoran kejayaannya, diterbitkan filem susulan iaitu The Godfather II (1974) dan ketiga, 1990. Secara umumnya, filem pertama dan kedua disifatkan filem terhebat sepanjang zaman. Apakah yang menyebabkan filem ini dilabel sedemikian?

Banyak hujah telah dipaparkan menerusi kajian ilmiah sinematografi, sosiologi dan kriminologi sepanjang empat dekat yang lalu. Antara yang diiktiraf dalam filem ini ceritanya digarap dengan begitu baik, yang mirip kepada insiden sebenar pertempuran antara kumpulan mafia dan realiti terhadap ketumpulan jentera pihak berkuasa menanganinya ketika itu.

Filem ini juga dikritik sebagai cubaan untuk meromantiskan mafia, seolah-olah sebuah entiti yang berpaksi pada nilai-nilai kekeluargaan bermoral tinggi menerusi pemaparan watak Don Corleone kepada anak-anaknya. Sebagai ketua mafia yang sudah lanjut usia, dia mahu menurunkan tampuk kuasa kepada anaknya tetapi yang sulung (Sonny) mati dibunuh, yang kedua (Fredo) pula kurang cerdik dan ketiga, tidak berminat (Michael lakonan Al Pacino).

Ia disifat oleh pengkritik semacam menggalakkan lebih ramai menyertai mafia. Walhal bisnes mafia yang sebenar adalah dadah, pelacuran dan peras ugut. Bagi anda yang belum pernah menonton filem ini, antara adegan yang paling ngeri bila Woltz terjaga di katilnya dengan kepala kuda miliknya yang telah dipenggal oleh konco-konco Don Corleone untuk memastikan anak angkatnya Johnny Fontane mendapat peranan dalam filem.

Oleh kerana filem Godfather dilabel sebagai romantika mafia, filem-filem genre mafia seterusnya menjadi perhatian terutama dari segi pemaparan realiti mafia. Ia termasuklah filem Goodfellas terbitan 1990. Juga diadaptasi daripada buku bukan fiksyen oleh Nicholas Pileggi yang menyorot kisah benar anggota kumpulan mafia Lucchese, Henry Hill dari tempoh 1955 hingga 1980.

Sesuatu yang luar biasa bagi penjenayah tegar seperti Henry Hill ialah dia mati secara ‘semula jadi’ iaitu kerana kanser pada usia 69 tahun pada 14 Jun lalu. Semula jadi bermakna dia tidak mati dibunuh seperti lumrah seorang mafia.

Selebriti

Dia ialah anggota kumpulan Lucchese selama 25 tahun (berbeza dengan Corleone yang hanya nama rekaan) sehinggalah dia berpaling tadah menjadi saksi pendakwaan bagi pihak berkuasa Amerika Syarikat terhadap kumpulan Lucchese. Hill secara tidak langsung menjadi seorang mafia selebriti ekoran penerbitan filem Goodfellas arahan Martin Scorcese dengan Ray Liotta membawa watak dirinya dan Robert de Niro serta Joe Pesci sebagai rakan kumpulannya yang kejam.

Hill ialah pengedar dadah, memeras peniaga, merompak barang kemas dan wang tunai, termasuk rompakan terkenal pada 1978 di terminal kargo udara Lufthansa di Lapangan Terbang JFK di New York.

Apabila merasakan dirinya akan dibunuh kerana mengetahui terlalu banyak mengenai rompakan itu, dia berpaling tadah dan memberi keterangan mendakwa Jimmy Burke. Hill diletakkan di bawah Program Perlindungan Saksi Persekutuan.

Hill bersama isteri dan dua anaknya menukar nama dan berpindah-randah di seluruh AS, bermula di Omaha. Oleh kerana kehidupan jenayah sudah sebati, Hill dikeluarkan dari program tersebut ekoran penahanannya atas jenayah merompak, memukul, memandu dalam keadaan mabuk dan mengedar dadah. Pihak berkuasa menukar identitinya, tetapi ternyata Hill tidak boleh mengubah dirinya.

Tahun-tahun terakhirnya Hill memenuhi kriteria selebriti mafia. Dia suka diwawancara, malah menulis buku resipi masakan. Memang luar biasa untuk pembelot mafia boleh hidup lama dan kemudiannya bercerita mengingati kisah lampau mengenai jenayah yang dilakukan, seolah-olah seorang bekas ahli sukan bercerita mengenai jejak Olimpiknya.

Filem Goodfellas, menurut seorang bekas mafia, adalah pemaparan jelas kehidupan seorang mafia iaitu sentiasa cemas, suka bercakap besar, kaki gaduh dan kaki mabuk. Semua ini bertentangan dengan paparan dalam The Godfather.

Beberapa filem mafia seumpamanya juga memilih pendekatan Scorsese iaitu anti-Godfather.

Donnie Brasco terbitan 1997, juga kisah hebat penyamaran ejen FBI dalam kumpulan Bonnano. Cuma pemilihan Johnny Depp sebagai Brasco adalah aneh tatkala Brasco sebenar berbadan gempal tetapi dilakonkan oleh Depp yang kurus.

Mengapa filem genre mafia diminati ramai? Satu definisi Mafia yang dirumuskan oleh seorang pengkaji dari Sicily (pulau kelahiran mafia), Giuseppe Pitre ialah: Mafia adalah sifat bawah sedar seseorang, konsep yang diperbesarkan mengenai kekuatan individu sebagai penentu (arbiter) setiap konflik, setiap pertembungan kepentingan atau idea-idea.

Konsep ‘penentu’ individu mafia iaitu sebarang masalah diselesaikan sendiri tanpa mahu melapor kepada pihak berkuasa (polis dan mahkamah). Ini adalah konsep yang pantas didakap oleh penggemar filem mafia. Anda bagaimana?

Johardy Ibrahim
Sumber:
Utusan Malaysia Online Rencana 24/06/2012
Subscribe

  • hasil hebat komunikasi

    Bagi pendidik, mereka seharusnya mengetahui nilai komunikasi yang hebat: Mereka harus berkomunikasi secara berkala dengan pelajar untuk…

  • Berkomunikasilah dengan baik

    Apabila kita menyampaikan sesuatu maklumat atau menerima arahan, sering dimaklumkan untuk kita berkata ‘ya, baiklah atau akan di…

  • Bagaimana pemimpin terbaik perlu berkomunikasi?

    Peranan seorang pemimpin telah berkembang sejak sedekad yang lalu. Pemimpin biasanya melibatkan ‘penyokong’ mereka untuk melakukan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments