kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kapitalisme, demokrasi ala Rusia

MEDIA Barat sering menyorongkan imej buruk dan negatif mengenai Rusia. Semenjak dari Revolusi Bolshevik yang meranapkan pemerintahan Tsar yang memerintah Rusia berkurun lamanya dan tertubuhnya pemerintahan Kesatuan Sosialis Soviet, Rusia digambarkan dengan kemunduran, kerajaan komunis yang autokratik, teknologi yang usang dan bangsa yang kasar.

Malah sejak kejatuhan Kesatuan Soviet, media barat sering menggambarkan Rusia seperti mana ia sebelumnya dan melabelkan Rusia baru sebagai negara penuh dengan kegiatan mafia.

Presiden Putin dilihat sebagai pemimpin era Soviet yang tidak mahu bertolak ansur dengan kuasa Barat. Tidak dapat dinafikan media Barat sebenarnya telah berjaya memutarbelitkan imej Rusia di mata masyarakat antarabangsa.

Tetapi Rusia tidak seperti dahulu. Rusia mengadaptasi sistem kapitalisme dan demokrasi seperti barat tetapi dengan acuannya yang tersendiri. Walaupun Ortodoks Kristian merupakan agama terbesar di negara terbesar di dunia itu, majoriti rakyatnya berfahaman atheis.

Sewaktu lawatan penulis baru-baru ini di Moscow dan Saint Petersburg, sistem kapitalisme Rusia didapati mekar dan bercambah mengatasi negara-negara Eropah lain yang telah lama memeluk sistem tersebut. Salah satu simbol pemekaran kapitalisme di Rusia adalah pemilikan kereta persendirian.

Kesesakan trafik adalah perkara biasa di Moscow tetapi amat sukar untuk kita menjumpai kereta-kereta era Soviet kerana kebanyakan kereta yang menjalar di jalan raya Moscow dan Saint Petersburg merupakan kereta-kereta mewah seperti BMW, Mercedez, Volkswagen, dan Lexus.

Tidak ada sesuatu yang menghairankan apabila melihat orang muda memandu BMW siri 7 atau kereta Buick buatan Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai kapasiti enjin 4.5.

Penulis beranggapan kapitalisme Rusia akan membunuh negara tersebut jika ia tidak dibendung. Ini kerana kadar inflasi adalah yang tertinggi dunia. Walaupun anggaran inflasinya sehingga April tahun ini adalah 3.6 peratus, purata kadar inflasi Rusia antara 1991 dan 2012 adalah sebenarnya 160.32 peratus!

Sistem ekonomi kapitalismenya menyebabkan kos kehidupan di kota-kota besar meningkat 1,000 peratus. Berdasarkan pengamatan penulis kos kehidupan Rusia semakin tinggi dan akan meningkat tahun demi tahun.

Setiap tahun misalnya, tiket kereta api metro bawah tanah di Moscow, misalnya akan naik sekurang-kurangya sepuluh sen (tukaran RM1 bersamaan lebih kurang 10 Rubel).

Pengalaman di Saint Petersburg, misalnya amat menggerunkan. Perjalanan dengan teksi dari Hotel ke masjid yang lebih kurang 10km adalah RM250! Perkara ini benar-benar memeranjatkan penulis dan rakan-rakan lain lebih-lebih lagi kami menyewa dua buah teksi. Penulis difahamkan bahawa gaji pencuci am di Moscow adalah di antara lingkungan RM3,000-4,000 sebulan.

Tetapi dengan kos yang tinggi ia tidak mempunyai apa-apa makna kerana nilai gaji yang diterima tidak seberapa.

Kos hidup di Moscow adalah setaraf dengan Tokyo tetapi kualiti kehidupannya masih belum dapat menandingi orang Jepun. Tekanan kos kehidupan di bandar besar di Rusia juga merupakan satu bebanan kepada beratus-ratus pelajar kita di sana.

Menurut seorang pelajar Malaysia yang sedang mengikuti program kejuruteraan rekabentuk enjin, nilai biasiswa sebanyak AS$750 hanya cukup-cukup untuk menampung kehidupan sebulan mereka.

Mereka bernasib baik kerana pihak universiti menyediakan hostel dengan kadar sewa amat rendah, tetapi kebanyakan pelajar Malaysia yang mengikuti program perubatan terpaksa tinggal di luar kerana pihak universiti tidak mampu menampung bilangan pelajar kita untuk tinggal di hostel mereka.

Kebanyakan pelajar ini terpaksa bergantung kepada bantuan keluarga untuk terus hidup di kota yang termahal di dunia ini.

Pendedahan rakyat Rusia kepada kapitalisme juga seiring dengan pengenalan sistem demokrasi. Dewan Parlimen tertinggi Rusia yang dikenali sebagai Duma dengan mempunyai 450 perwakilan dari pelbagai parti termasuk parti komunis.

Tetapi masyarakat antarabangsa lebih berminat dengan kepimpinan Presiden Putin yang sebelum ini terpaksa menerima jawatan Perdana Menteri kerana perlembagaan Rusia tidak membenarkan seseorang presiden untuk bertanding dua kali berturut.

Jawatan ini merupakan penggal ketiga bagi beliau. Bagi AS dan Kesatuan Eropah, berhadapan dengan kepimpinan Putin adalah satu momen yang sukar kerana ketegasan beliau untuk tidak tunduk dengan agenda barat. Perbalahan timbul contohnya di dalam mengatasi krisis di Syria. Sehingga kini Rusia bersama China menjadi pembela kepada Rejim Bashar al-Assad.

Putin juga telah mengusulkan untuk mengwujudkan sistem matawang tunggal antara Rusia dan negara-negara yang dikenali sebagai Commonwealth of Independents States (CIS) seperti Balarus, Ukraine, Azerbaijan, Tajikistan, Moldova, Kazakhstan, dan Uzbekistan.

Negara-negara ini merupakan sebahagian dari Kesatuan Soviet sebelum ini. Melalui Forum Ekonomi Dunia Moscow minggu lepas, Putin berpendapat bahawa sudah tiba masanya, matawang ketiga utama dunia diperkenalkan selepas Dolar Amerika dan Euro.

Bagi pemerhati politik Rusia, cadangan Putin adalah lanjutan dari cita-citanya membawa Rusia kepada kedudukan dominasi politik Kesatuan Soviet sebelum ini di samping untuk menyaingi kekuasaan AS dan Kesatuan Eropah (EU).

Bagi rakyat Rusia, Putin adalah simbol kekuatan semula Rusia selepas kejatuhan Soviet.

Walaupun wujud tuduhan yang digembar-gemburkan oleh barat yang menuduh bahawa proses pelantikan Putin sebagai presiden adalah tidak sah dan dimanipulasi, rata-rata rakyat Rusia tidak kisah dengan tuduhan yang ditimbulkan.

Ini kerana bagi mereka apa yang penting ialah bagaimana untuk survive di dalam kos kehidupan yang semakin meningkat.

Pengalaman Rusia membawa kepada kenyataan bahawa betapa rakyat Malaysia amat beruntung dengan nikmat yang diterima dari segi kestabilan politik dan ekonomi.

Jika kita merungut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, pengalaman masyarakat Rusia lebih memeritkan.

Isu peningkatan kos kehidupan adalah isu global. Ia terpulang kepada bagaimana negara menghadapi dengan tekanan tersebut.

Rakyat Malaysia juga beruntung kerana kehidupan seharian mereka sebenarnya adalah ihsan subsidi tanpa mengira status ekonomi seseorang - kaya atau miskin. Kita masih merungut apabila harga petrol meningkat sehingga RM1.90 seliter sedangkan di Rusia, RON95 adalah RM3.90 seliter.

Malah ada segelintir masyarakat Malaysia melalak menuntut pembaharuan demokrasi. Walaupun tuntutan tersebut tidak salah kerana salah satu indikator kepada kesejahteraan masyarakat adalah kebebasan kita di dalam politik.

Kita juga harus belajar dari pengalaman orang lain sebelum kita mahukan satu kebebasan politik secara total. Rakyat Rusia telah belajar bahawa kebebasan politik yang mereka nikmati sekarang tidak membawa mereka ke mana-mana. Bagi mereka demokrasi ekonomi adalah lebih penting.

Jurang orang kaya dan miskin semakin membengkak dengan kumpulan peringkat rendah tidak berupaya untuk menambah sumber pendapatan sedangkan kesempatan ekonomi yang ada di Rusia dibolot oleh golongan kaya dan berkuasa.

Apa yang penting ialah kualiti kehidupan kita tidaklah separah seperti mana Rusia. Kita masih beruntung kerana dengan nilai seringgit, sekurang-kurangnya kita boleh membeli dua keping kuih. Tetapi di Rusia duit seringgit tidak ada nilai langsung.

Untuk makan di medan selera seperti mana di Moscow menuntut seseorang sekurang-kurangnya mempunyai RM50 untuk sekali makan. Sedangkan di Malaysia dengan duit senilai itu kita boleh berbelanja dengan lima orang di kedai mamak.




DR. KAMARULNIZAM ABDULLAH ialah Profesor di Pusat Pengajian Hal-ehwal Antarabangsa UUM-COLGIS, Universiti Utara Malaysia.
Sumber:
Utusan Malaysia Online Rencana 29/06/2012

Tags: demokrasi, kapitalisme
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments