kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

GPMS mengaum untuk kepentingan bangsa

Timbulnya Gabungan Pelajar Melayu,
Setelah menempuh halangan,
Bahagia hendaknya memimpin pelajar,
Bagi ibu kandungan .

Kekal berpanjangan, khidmat mulia,
Dengan tulus dan setia,
Cekal bersatu lambang kita,
Menuntut hingga berjaya

LAGU Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ciptaan Allahyarham Yub Rawan pastinya akan memberi nostalgia kepada bekas-bekas pejuang GPMS. Penubuhan GPMS digerakkan oleh lima mahasiswa Raffles College dan Kolej Perubatan King Edward, Singapura. Mereka diketuai Allahyarham Aminuddin Baki, Abdul Wahab Ariff, Mohd. Nor Marakim, Abdullah Majid dan seorang siswi perubatan iaitu Tun Siti Hasmah Mohd. Ali.

Selepas pendudukan Jepun, Tanah Melayu bergolak dan kesedaran kebangsaan menjadi kenyataan masa itu GPMS ditubuhkan atas kesedaran bangsa Melayu.

Pada hari ini (29 Jun) sehingga 1 Julai 2012, sekali lagi seluruh perwakilan GPMS akan berkumpul dan berhimpun di Persidangan Agung Tahunan GPMS kali ke-58 di Kuala Terengganu. Seramai 560 perwakilan dari seluruh negara akan berhimpun dan berkampung di situ. Persidangan pada kali ini juga pastinya menarik kerana ramai yang menawarkan diri untuk bertanding dalam kepimpinan baru GPMS 2012-2015 .

Perjuangan GPMS dalam konteks NGO di Malaysia sudah melalui tempoh cukup panjang sejak ia ditubuhkan pada 1948. Dalam tempoh itu GPMS melahirkan ramai pemimpin belia negara. Hari ini boleh dikatakan bekas pemimpin GPMS sangat hebat sehingga mampu menjadi Perdana Menteri dan memegang beberapa jawatan utama negara iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tan Sri Musa Hitam.

Di samping Tun Abdullah, nama-nama seperti Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, Datuk Hasan Malek, Tan Sri Abdullah Ayob, Tan Sri Abdullah Salleh, Prof Datuk Awang Had Salleh, Tan Sri Nordin Kardi, Datuk Jaafar Rahim, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah, Datuk Raja Arif, Datuk Suhaimi Ibrahim, Datuk Seri Reezal Merican dan ramai lagi tokoh yang GPMS lahirkan.

GPMS adalah markas membina kematangan seorang pemimpin dalam membina idealisme perjuangan.

Perjuangan GPMS bukanlah melalui denai yang mudah tetapi bermula dengan kepayahan seperti kata-kata hikmah ini iaitu "The man who moved a mountain was the one who began carrying away small stones." Orang yang mampu menggerakkan gunung adalah orang yang mulai mengangkut batu-batu kecil terlebih dahulu.

Dahulu penubuhan GPMS turut dilihat menjadi saluran kesinambungan golongan elit Melayu yang berpendidikan Melayu dan Inggeris sebelum dan selepas merdeka. GPMS sangat terkenal dengan program kelas tuisyen yang berjaya melahirkan anak-anak Melayu hebat dalam pendidikan.

Hari ini, GPMS dipimpin anak-anak muda di bawah usia 40 tahun. Kepimpinan muda memikul kesinambungan perjuangan GPMS dengan penuh amanah dan kesedaran. Penambahan cogan kata "GPMS Singa Perjuangan Bangsa" adalah ingin membuktikan GPMS bukan sekadar hebat membuat kenyataan akhbar, laporan polis, bantahan dan demonstrasi malah memperjuangkan isu-isu pendidikan di forum-forum serta program-program di akar umbi.

GPMS juga telah mengemukakan 100 tuntutan Penambahbaikan Pendidikan Melayu kepada pihak Kementerian Pelajaran serta dengan pelbagai program seperti Skuad Jelajah Motivasi yang digerakkan di seluruh negara.

Di samping itu , GPMS turut mengadakan program Konvensyen Guru-Guru Muda, Wacana 153, sesi dialog dengan pelajar-pelajar di luar negara , perhimpunan Sedaq, membantu pelajar-pelajar Melayu di Mesir mendapatkan pinjaman pendidikan, Konvensyen Belia Negara 1Malaysia dan lebih daripada 200 program lain sepanjang 2009 peringkat kebangsaan sehingga kini, tidak termasuk program di peringkat negeri dan cawangan.

Golongan muda penuh dengan radikal dan idealisme - mereka harus digilap dengan bakat-bakat kepimpinan. Kepimpinan GPMS akan datang pastinya tidak boleh mengharapkan hamparan permaidani merah untuk mereka lalui. Kita harus akui bahawa landskap politik negara sudah banyak berubah malah isu-isu berkaitan orang Melayu seringkali diperdebatkan malah ada yang sanggup menghina institusi Kesultanan Melayu.

Ahli-ahli GPMS di seluruh negara pada ketika ini melebihi 200,000 orang dan sudah semestinya angka ini amat kuat untuk membangkitkan kesedaran bangsa Melayu. Ahli-ahli harus bersungguh-sungguh bekerja untuk perjuangan belia di negara ini bak belayar sampai ke pulau, berjalan sampai ke batas. Kita harus mengambil iktibar kejayaan bangsa-bangsa yang berjaya. Kita harus menjana daya saing umat Melayu bagi menangani cabaran. GPMS harus menjadi pencetus dan peneraju dalam mendepani perubahan dan mencipta paradigma hebat pergerakan belia di negara ini.

Kita akui , ramai anak-anak muda menawarkan khidmat mereka untuk berbakti kepada agama , bangsa dan negara. Mereka tidak mengharapkan apa-apa ganjaran malah sanggup berkorban masa untuk perjuangan.

GPMS memastikan suara perjuangan GPMS sentiasa berkumandang dan akan memberi respons terhadap isu-isu yang berkaitan pendidikan anak-anak Melayu.

Allahyarham Aminuddin Baki ada menyebut beliau tidak kesal sekira bangsanya menitiskan "air mata darah bercampur keringat" tetapi tidak mahu bangsanya menitiskan "air mata darah bercampur kekesalan" akibat kealpaan mereka sendiri. Jangan merelakan bangsa Melayu "ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan" menjadi kenyataan.

Persidangan Agung Tahunan GPMS kali ini diharap akan terus membangkitkan kesedaran kepada anak muda untuk memajukan diri dan meniupkan semangat bekerja keras membela anak bangsa. Mereka harus punya mentaliti kelas pertama agar menjamin masa depan Melayu dalam menghadapi arus globalisasi. Kita harus berfikiran seperti pandang ke hadapan dalam membangkitkan kesedaran, tindakan, kesepakatan dan kesungguhan.

GPMS juga berharap bekas-bekas pemimpin gabungan ini membantu kepimpinan baru serta menyokong agar suara GPMS akan menjadi lebih kuat dan mengaum.




Oleh EZARUDDIN ABD. RAHMAN EZARUDDIN ABD. RAHMAN
Naib Presiden, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung
Sumber:
Utusan Malaysia Online Rencana 29/06/2012

Tags: gpms
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments