kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tempias kecanggihan teknologi maklumat

KITA berhenti sejenak untuk memerhati senario yang ada di sekeliling kita pada hari ini. Di kiri kanan kita akan kelihatan manusia yang sibuk dengan telefon bimbit di tangan masing-masing. Di mana-mana sahaja; di rumah, di kedai mamak, di pasar raya, pejabat, sekolah dan di mana jua masing-masing sibuk dengan gajet sendiri.

Sayangnya terhadap gajet ini adalah seperti kekasih hati dan kalau tertinggal telefon bimbit di rumah sehari - serasa seperti tidak lengkap hari itu dan hidup dalam kegelapan. Kalau telefon berbunyi, terus diangkat tidak kira walaupun sedang memandu. Panggilan perlu dijawab segera kerana khuatir jika ada hal penting walaupun sedang memandu atau dalam bilik mesyuarat. Paling tidak membalasnya dengan SMS. Gajet kalau tidak disentuh sehari serasa macam gelap gelita dunia.

Kita tidak menafikan kepentingan teknologi maklumat membawa kemajuan dan kebaikan dalam hidup manusia, namun kewujudannya menghadirkan juga pelbagai ancaman daripada pihak yang tidak bertanggungjawab. Jika kita melihat dari sudut negatif kecanggihan teknologi internet menyebabkan pelbagai jenayah tradisional dalam bentuk moden seperti memeras ugut, menipu, dan menyebarkan fitnah.

Baru-baru ini di Batu Pahat seorang remaja dibunuh berhubung sindiran di Facebook. Mangsa Aw Soo Ming, 17 tahun meninggal dunia walaupun mangsa bukanlah orang yang memberi komen di Facebook tetapi kawannya. Hanya ayat-ayat dalam Facebook boleh membunuh manusia. Kes pergaduhan, cerai dan putus hubungan dalam SMS seakan-akan trend pada hari ini. Kenapa perlu berbicara dalam SMS dan mengugut sesama kita?

Salah faham yang wujud perlu diselesaikan dengan cara baik, bukan dengan kekerasan. Apa kata kita duduk bersama bincang dari hati ke hati barulah dapat diselesaikan masalah. Tetapi apa yang anehnya ialah manusia hari ini tidak lagi berani berdepan dan lebih menyedihkan menggunakan SMS serta e-mail untuk memberi komen berjela-jela. Berperang dalam Twitter sehingga mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah. Kata mereka lebih senang menaip daripada bertentang mata dan tempiasnya kemajuan teknologi hingga mengorbankan nyawa.

Zaman teknologi kini semakin canggih dengan wujudnya telefon-telefon pintar seperti Blackberry, Galaxy Tab, iPhone4, yang terbaru Samsung Galaxy S3 sehingga perlu ditempah. Semua produk terbaru mesti ada di tangan barulah nampak bergaya apatah lagi dengan tawaran pakej telefon yang sangat menarik.

Internet menjadi medan utama untuk mendapatkan semua maklumat. Pelayar-pelayar Internet dapat melayari Internet bila-bila masa dengan Ipad 3, Galaxy Tab dan pelbagai lagi cara berhubung seperti Blackberry Messenger BBM dan Whatsapp.

Itulah penangan kecanggihan teknologi masa kini. Malah jika tidak membuka Facebook sehari serasa tidak sempurna hidup. Kita dikatakan kolot dan ketinggalan kalau tidak mempunyai Facebook, Twitter dan sebagainya. Anak-anak kecil pun sudah ada akaun Facebook, dan tidak perlu pergi taman permainan lagi.

Namun kajian mendapati pengguna muda telefon bimbit yang kerap mempunyai ingatan yang kurang baik, tindak balas yang perlahan terhadap masa dan membuat banyak kesilapan. Kajian di kalangan 300 pelajar berumur 12 hingga 14 tahun dari 20 sekolah swasta dan negeri di Melbourne baru-baru ini menunjukkan kanak-kanak yang banyak menggunakan telefon bimbit kemungkinan mengorbankan ketepatan bagi mencapai kelajuan.

Zaman dulu kita menulis surat, hantar surat, kad raya, kad hari jadi tapi kini semuanya hanya dengan SMS atau e-mail. Semuanya hanya di hujung jari. Kita tidak perlu lagi mencari sampul surat, setem dan ke pejabat pos apabila tibanya musim perayaan atau hari-hari yang bermakna seperti majlis perkahwinan dan majlis hari jadi. Hanya SMS pun mencukupi. Namun ada yang berkata bahawa menghantar surat lebih bermakna dan menyentuh jiwa berbanding dengan telefon. Setuju tak sentuhan tulisan yang ditulis lebih penting daripada yang ditaip?

Mariapan seorang wartawan memberitahu saya bahawa jika dia dijemput melalui telefon untuk menghadiri majlis kahwin, dia tidak akan pergi sebab tidak nampak keikhlasan. Katanya, bukan dia sombong tetapi perlulah mengikut adat dan resam yang dipegang selama ini.

Jika yang menjemputnya itu kawan, mungkin dia boleh pertimbangkan lagi. Tetapi jika saudara mara, maka sepatutnya dihantar kad jemputan ke rumah barulah dia akan pergi. Barulah nampak di hadapan mata wujudnya kemesraan dan kukuhnya ikatan keluarga.

Kenyataan ini disokong oleh Dr. Sharil Nizam Sha'ari pensyarah kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bahawa penggunaan kad masih penting dan popular untuk menghormati seseorang khususnya keluarga dan saudara mara untuk majlis besar dan penting kerana ikatan kekeluargaan amat penting.

Zaman dulu dan kini sudah tidak sama. Saya melihat dari aspek kecanggihan teknologi, dan dari satu sudut lagi kita melihat bahawa peralatan canggih di pasaran sebenarnya mula merenggangkan ikatan kekeluargaan dan hubungan sesama kita untuk berjumpa dan berbual secara bersemuka. Kita menjadi lebih menyendiri dan menghabiskan waktu di hadapan alatan canggih ini. Masa makan bersama keluarga pun masih menjeling telefon bimbit sambil tersenyum-senyum. Tidak ada lagi gurau senda dan berkongsi cerita.

Namun kita perlu sedar bahawa, semuanya ini akan memberi impak yang besar dalam kehidupan kita bukan sahaja dalam keluarga namun impak kepada perpaduan negara.

Dulu, kita jiran tetangga bermain batu seremban, congkak, gasing, lompat galah, guli, aci sorok-sorok, jala itik dan melakukan aktiviti-aktiviti sukan bersama-sama tanpa mengira kaum. Semasa bermain tidak pula wujud perasaan marah dan benci. Jika berselisih faham pun sekejap sahaja dan tidak ada rasa untuk berkelahi, malah jika tidak sepakat dalam keputusan pun masih ada semangat setiakawan. Pelbagai gelar pelik-pelik yang diberi oleh kawan-kawan tetapi kita masih boleh bermain bersama-sama dengan perasaan hormat dan akrab.

Jika hari ini kita tidak pernah lagi bermain bersama-sama, bagaimana kita boleh bersatu kalau hanya dengan kecanggihan teknologi. Sekurang-kurangnya dapat bermain bola di taman permainan dengan berbilang kaum sudah cukup baik. Menurut Syahbudin Abdullah penerbit di RTM, kecanggihan teknologi menjurangkan komunikasi antara kita dan itulah antara punca perpaduan tidak dapat dicapai.

Jika ditinjau keadaan remaja hari ini yang banyak melayari internet tidak dapat memiliki kehidupan sosial yang baik dan mereka menjadi seorang remaja yang obses, paranoid dan ketagih untuk berkomunikasi di alam maya. Remaja kurang bergaul dan tempiasnya, hubungan kekeluargaan menjadi renggang.

Teknologi masa kini punca perpaduan kerana kita diajar berdikari dan menyendiri mencari maklumat sendiri. Bila lama hidup sendiri kita hilang kawan, persaudaraan dan tidak tahu membawa diri, akhirnya perhubungan sosial menjadi tawar dan hambar. Fikirkan bersama tentang perlunya kita meletakkan keluarga, sahabat dan orang yang kita sayangi sebagai nombor satu dan berikan sepenuh perhatian apabila bersama mereka. Letakkan gajet di tepi sebagai nombor dua. Bicaralah dari hati ke hati dan kongsi isi hati dengan orang yang kita sayangi. Salam 1Hati.


DR. JESSICA ONG HAI LIAW ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia  Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 04/07/2012

Tags: technology, teknologi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments