kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Perlembagaan acuan identiti, falsafah negara

Sepanjang minggu lalu saya berpeluang bertemu pelbagai lapisan masyarakat dalam tiga program berasingan. Semua program ilmiah itu mempunyai tema sama, iaitu sejarah Perlembagaan.

Semuanya mahu membawa mesej yang lebih kurang sama, iaitu mahukan khalayak memahami, menghargai dan menghayati sejarah Perlembagaan. Antara yang begitu menarik ialah Seminar Perlembagaan – Antara Sejarah dan Tuntutan Semasa anjuran Arkib Negara Malaysia. Sesungguhnya pemahaman dan penghayatan sejarah Perlembagaan begitu penting bagi membolehkan kita membuat penilaian kepada masa depan Perlembagaan. Ia juga penting untuk kita menilai identiti negara.

Seperti yang kita maklum, Perlembagaan adalah dokumen yang memperkenalkan identiti negara. Perlembagaan adalah manifesto negara. Ia menegaskan prinsip atau dasar dan hala tuju negara.

Saya cadangkan supaya rakyat membaca Perlembagaan terlebih dulu untuk mengenali sesebuah negara secara cepat dan mudah. Setelah itu barulah kita dekati budaya atau sosio-politiknya. Begitu juga dalam mengenali negara kita.

Pengisian Perlembagaan

Kita semua maklum, pengisian Perlembagaan sarat dengan warna-warni sejarah negara. Sejarah adalah asasnya. Sejarah Perlembagaan tidak terhad kepada sejarah dalam proses penggubalan Perlembagaan saja tetapi skop sejarah merangkumi sejarah kepada setiap satu peruntukan Perlembagaan.

Dengan peruntukan dalam Perlembagaan, kita telah membentuk identiti dan falsafah negara. Perlembagaan menterjemahkan keperibadian warga negara serta kemahuan mereka bersandarkan konsep atau falsafah yang dikehendaki warga negara.

Sebagai contoh, identiti negara yang terpahat secara harfiah ialah, Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen, negara Persekutuan, Islam agama negara, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan keistimewaan Melayu.

Selain daripada apa yang tertera secara harfiah atau yang tersurat itu, prinsip yang mendasari polisi negara dapat dihayati dalam apa yang tersirat dalam peruntukan Perlembagaan. Sebagai contoh, negara kita menjaga kemoralan dan keperibadian warganya serta kepentingan hidup beragama.

Walaupun Perlembagaan kita tidak menyatakannya secara harfiah, ia dapat difahami dalam pelbagai peruntukannya. Semua yang tersurat dan yang tersirat boleh difahami dengan mendalam sekiranya kita mengenali sejarah yang membawa kepada pengisian Perlembagaan seumpama itu.

Saya pernah bertemu hujah yang menyatakan sejarah Perlembagaan hanya baik pada masa penggubalannya dan pengekalan elemen tertentu di dalam Perlembagaan yang disandarkan kepada sejarah tidak lagi relevan dalam perkembangan atau keadaan semasa.

Saya pasti pernyataan berkenaan tidak tepat. Beberapa elemen dalam sejarah Perlembagaan adalah asas atau dasar identiti dan falsafah negara. Malah perkara ini menyerlahkan identiti dan juga adalah simbol keperibadian masyarakat negara ini.

Oleh itu, sejarah Perlembagaan bukanlah sesuatu yang boleh dianggap baik untuk orang atau masa terdahulu saja. Ia sentiasa boleh disesuaikan dengan keadaan dan perkembangan semasa walaupun benarlah jika dianggap Perlembagaan negara boleh diubah mengikut kehendak dan tuntutan masa.

Hingga hampir 55 tahun merdeka kita menyaksikan banyak perubahan sudah dilakukan kepada Perlembagaan. Walaupun ada antara perubahan itu begitu terkesan ke atas institusi Raja contohnya, seperti pindaan kepada kuasa serta imuniti Raja, perubahan atau pindaan itu masih mengekalkan institusi Raja yang menjadi identiti utama negara.

Undang-undang asas

Kita tidak menolak sifat Perlembagaan yang dikatakan sebagai undang-undang asas yang seharusnya dapat menyesuaikan peruntukannya dengan perkembangan semasa. Itu yang menjadikan kesesuaian Perlembagaan berterusan. Pengalaman negara kita sepanjang dekat 55 tahun merdeka tidak menuntut untuk kita menggubal Perlembagaan yang baharu.

Kita masih menggunakan Perlembagaan yang membawa kepada kemerdekaan. Hanya perubahan berlaku, bukan pertukaran kepada keseluruhan Perlembagaan itu. Ada juga negara lain yang ada tiga atau empat Perlembagaan dalam jangka masa merdeka yang lebih pendek daripada negara kita.

Perlulah kita sentiasa mengambil perhatian, kita sudah menempa satu identiti serta membentuk falsafah bagi negara ini. Atas apa alasan juga perubahan yang mahu kita laksanakan kepada pengisian Perlembagaan, perubahan itu hendaklah pada setiap ketika memberi kepastian bahawa ia akan menjadikan negara kita lebih baik, beridentiti lebih sempurna, dan tidak memperjudi masa depan negara serta agama dan falsafahnya.


Shamrahayu A Aziz Sumber: Berita Harian Online Rencana Ahad , 15 Julai 2012, 25 Syaaban 1433 H
Tags: falsafah, perlembagaan, sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments