kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Memperkukuh semangat nusantara, serumpun

Bangsa Melayu nusantara harus menerima kenyataan bahawa evolusi budaya berupaya memantap dan memartabatkan budaya mereka di seluruh dunia.

Mereka perlu memahami bahawa evolusi budaya ialah proses perubahan masyarakat dan budaya yang mengambil masa lama. Perubahan yang berlaku pula lebih berupa secara persendirian iaitu tiada tekanan luar. Sehubungan itu, seni budaya rumpun Melayu di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, sebahagian Thailand dan Filipina perlu dibiarkan berkembang dan mendapat pengiktirafan kerajaan.

Pemimpin serta pengamal budaya dari Malaysia dan Indonesia yang berhimpun di Seminar Budaya di Sawahlunto, Sumatera Barat, pada 5 Julai lalu sependapat, sebagai orang Melayu mereka harus bangga seni budaya itu berhak diamalkan dan diiktiraf oleh kerajaan di mana saja mereka berada.

Oleh itu, bangsa Melayu yang mempunyai ikatan kuat menerusi talian agama, budaya dan bahasa perlu bertekad memperkukuhkan semangat nusantara dan serumpun menerusi program agama, budaya dan bahasa selain saling mengunjungi dari semasa ke semasa.

Ikatan serumpun ini tidak harus diputuskan golongan berfikiran sempit yang sentiasa membesarkan isu atau menyebarkan maklumat tidak tepat seperti isu dimainkan oleh pihak tertentu terutama media di Indonesia mengenai tarian tor-tor dan gendang sembilan, bulan lalu.

Isu itu bermula pada 14 Jun apabila kerajaan Malaysia bersetuju mengiktiraf tor-tor Mandailing dan Gordang Sambilan (gendang sembilan) sebagai budaya suku kaum Mandailing dan didaftarkan bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Ia dimohon oleh Persatuan Halak Mandailing Malaysia yang mempunyai 500,000 ahli.

Bermula dari situ, ada media di Indonesia memanipulasi istilah klaim (dakwaan pemilikan) oleh Malaysia yang meniup api kemarahan dalam kalangan rakyat yang sanggup mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Malaysia di media Indonesia dan media sosial. Ada juga berdemonstrasi dan merosakkan harta negara di republik itu. Jika dibiarkan ia boleh mencetuskan ketegangan hubungan kedua-dua negara kerana isu remeh yang dimanipulasikan.

Menyampaikan ucaptama di seminar anjuran Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim menegaskan budaya dan agama seharusnya menjadi pegangan merapatkan hubungan serumpun dan nusantara.

Menerusi kedua-dua talian itu, bangsa Melayu yang berada di nusantara yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Brunei dan menjangkau ke sebahagian Filipina akan terus bersatu terutama dalam mempertahankan amalan peradaban murni turun-temurun.

Menurutnya, nusantara tidak dapat dipisahkan daripada Alam Melayu dan sudah pasti bangsa Melayu berada di pelbagai tempat di rantau ini. Sejarah menjelaskan bangsa Melayu, seperti juga bangsa lain membawa amalan hidup dan budaya mereka ke perantauan.

Ini termasuk orang Minangkabau, Mandailing, Jawa, Bugis dan Sunda yang merantau ke Malaysia. Orang Mandailing, umpamanya, mengamalkan tarian tor-tor dan gendang sembilan di Malaysia seperti juga masyarakat Mandailing di Indonesia.

Seminar itu dirasmikan wakil Gabenor Sumatera Barat, Muslim Kasim dan dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Othman Mohamad yang mewakili Presiden DMDI Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Dalam pada itu, Rais yang ditemui wartawan Malaysia dan tempatan selepas menyampaikan ucaptama turut mengulas lanjut tarian tor tor dan gendang sembilan yang dijadikan isu.

Menurutnya, seni budaya yang diamalkan masyarakat Malaysia dan Indonesia perlu dibiarkan berkembang mengikut evolusinya sendiri. Seni budaya yang dikongsi bersama itu tidak harus dibuat apa-apa asalkan ia tidak membabitkan sebarang kesalahan di sisi undang-undang antarabangsa.

“Tarian tor-tor dan gendang sembilan Mandailing harus diwarisi oleh masyarakat Mandailing. Mereka berhak untuk amalkan dan seharusnya masyarakat Mandailing di Malaysia juga berhak mengamalkannya,” katanya.

Untuk itu, sistem pengiktirafan menerusi pendaftaran bukan untuk Malaysia tetapi masyarakat itu sendiri dan ia perlu dimaklumi seperti orang Minang dengan silat randai, yang menjadi sebahagian daripada jiwa kumpulan masyarakat itu. Isu itu tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang mengekang atau menyempitkan hubungan rakyat kedua-dua negara.


Ibrahim Yahya Sumber : Berita Harian Online Rencana Ahad , 15 Julai 2012, 25 Syaaban 1433 H
Tags: bahasa
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments