kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bila ilmu ditawan dunia komersial

Pelbagai isu pendidikan belum selesai

Awal Mei lalu ada berita bertajuk besar: ‘Menguasai bahasa Inggeris adalah satu keutamaan’. Tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin: “Usaha memastikan rakyat Malaysia boleh menguasai bahasa Inggeris tetap jadi keutamaan kerajaan.” Pengumuman ini meletakkan cabaran berat kepada pegawai profesional di Kementerian Pelajaran, guru besar dan guru Bahasa Inggeris. Sejak dulu-dulu lagi sekolah kita tidak pernah cukup peralatan dan guru. Bahasa Inggeris jadi mata pelajaran sampingan. Penguasaannya tidak pernah jadi sebagai satu ‘keutamaan’.

Justeru, apapun ilmu dan didikan di sekolah, sukarlah mencapai tujuannya kerana masyarakat dan negara tidak lagi punya kekuatan untuk mengawal tingkah laku manusia dan dunia komersial”.

Kemahiran berbahasa, apa lagi bahasa asing, bergantung kepada sejauh manakah ia digunakan setiap hari. Mulai sekarang sekolah perlu memastikan supaya pelajar sebanyak mungkin berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Setiap hujung penggal persekolahan perlu ada pertandingan bahas dan pidato dalam bahasa Inggeris. Pastikan selepas Tingkatan Lima anak kita mahir berbahasa Inggeris.

Di samping itu, sekolah kita berhadapan dengan cabaran lain lagi. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan (5 Julai), mata pelajaran baru, Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) bakal diperkenalkan tidak lama lagi. Menurut Dr Mohd Puad: “Kita tidak boleh lagi menunggu lebih lama kerana menurut kajian, ramai remaja di negara ini masih tidak mengetahui fungsi dan kepentingan pergaulan secara sihat antara lelaki dan wanita.”

Kata Mohd Puad lagi: “Pengajaran subjek terbabit yang dicadangkan bermula pada peringkat sekolah rendah atau menengah rendah juga membolehkan remaja memperoleh maklumat berhubung kesihatan reproduktif dengan lebih tepat.”

Pelajaran ini juga katanya, berupaya mengurangkan masalah kepincangan sosial dalam kalangan anak muda sekarang. Silibus yang sesuai dimasukkan dalam pelajaran ini boleh menyedarkan anak muda mengenai bahaya kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Ketika zaman penulis bersekolah dan menjadi remaja, tanpa ada mata pelajaran khusus berkaitan hubungan lelaki wanita, sudah cukup tahu akan bahaya berzina. Tahu hukumnya dan akibat buruknya kepada diri dan keluarga. Sekarang ketika zaman semuanya boleh dibaca dan dilihat di mana-mana, sekolah terpaksa pula mengadakan pelajaran ‘Kesihatan Reproduktif’ (namanya pun aneh!).

Masalah ‘kepincangan sosial’ dan hubungan seks dalam kalangan remaja, bukanlah kerana mereka tidak tahu bahayanya, tetapi kerana mereka tak terdaya melawan ombak rangsangan seks di sekeliling mereka. Yang memberikan contoh tidak baik itu, terutama sekali golongan yang lebih tua daripada mereka, berlaku di depan mata dalam pelbagai media, tanpa sekatan dan batasan. Ibu bapa yang prihatin jadi serba salah dan kehilangan arah.

Budaya komersial yang melampau, terutama dalam mengeksploitasi dan memperdagangkan tubuh wanita sudah meracuni otak dan merangsang nafsu kaum remaja. Kepincangan sosial lebih serius berlaku dalam kalangan orang dewasa. Internet dan alat komunikasi baru yang sangat canggih, sudah pula berkembang menjadi sumber penyakit sosial yang tak mampu dikawal lagi.

Justeru, apapun ilmu dan didikan di sekolah, sukarlah mencapai tujuannya kerana masyarakat dan negara tidak lagi punya kekuatan untuk mengawal tingkah laku manusia dan dunia komersial. Sebaliknya dunia komersial pula yang menguasai pemerintah negara.

Pada 28 Jun lalu dilancarkan pula program Interaktif Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) yang akan dilaksanakan oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB). Menurut Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (bekas Ketua Pengarah Pelajaran) tuisyen percuma ini ‘akan memberi faedah kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat tuisyen terbaik.’

Seramai 350 ‘guru cemerlang’ yang membabitkan 107 sekolah rendah dan menengah akan memulakan projek perintis di Selangor. Kumpulan yang terpilih mengikuti tuisyen ini ialah calon ujian UPSR, PMR dan SPM.

YGMB ialah yayasan yang ditubuhkan oleh bekas pegawai tinggi pendidikan. Apabila mereka pula menganjurkan tuisyen, membuktikan pengajaran di sekolah tidak dapat menjamin kelulusan ujian yang baik, walaupun sudah ada sekolah dan guru yang ditarafkan ‘cemerlang’. Akhirnya kecemerlangan sekolah bergantung kepada tuisyen di luar sekolah. Justeru, guru dan sekolah yang benar-benar cemerlang tidak akan ada lagi!

RM2 juta sudah diperuntukkan bagi program perintis ini. Apabila diperluaskan ke seluruh negara biayanya pastilah ratusan juta dan membabitkan ribuan guru cemerlang! Timbullah banyak persepsi negatif!

Apakah program dan perbelanjaan ini wajar? Mengapa pengajaran di sekolah tidak cukup untuk menyediakan pelajar menghadapi ujian? Apakah program ini akan jadi sebahagian daripada sistem pendidikan kita? Yang boleh menjawab hanya guru dan pegawai profesional di Kementerian Pelajaran dan YGMB. – (Saya mohon respon anda. Pro mahupun kontra)


Noor Azam Sumber: Berita Harian Online Rencana Ahad , 15 Julai 2012, 25 Syaaban 1433 H
Tags: ilmu, noor azam
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Bubble Tea , Senaman Kecergasan dan Madu Kelulut

    Aktiviti kecergasan, senaman dibenarkan Madu kelulut mampu sembuhkan pesakit Covid-19 ? Sah bubble tea ialah teh mutiara FOTO: Aziz A.…

  • Adakah anda seorang yang berani?

    Artikel Waktu isu 1MDB lagi saya lawan, tegas Abdul Hamid dan Ketua Ulama Pas teruk kena maki hamun dengan Lokman Adam bertarikh…

  • Persepsi I

    Amar makruf nahi munkar perlu dijadikan pegangan warga PDRM (Mei, 3, 2021) ada menyebut mengenai ‘ war of perception’. Dunia…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments