kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Martabatkan Bahasa Melayu

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ditubuhkan di bawah akta DBP (Pindaan dan Perluasan) 1995 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967(Disemak 1971) yang mana secara rasminya meletakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa ilmu, dan bahasa perpaduan antara kaum di negara ini.

Di bawah peruntukan 152 Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu telah diiktiraf sebagai rasmi negara. Melalui peruntukan tersebut, bahasa Melayu haruslah digunakan dalam apa bentuk sekali pun, dan perlu digunakan dalam majlis-majlis rasmi kerajaan mahupun di peringkat jabatan.

Namun, pengiktirafan yang diterima oleh bahasa Melayu ini bukan bermakna bahasa kaum-kaum lain terbantut perkembangannya. Contoh yang terdekat adalah bahasa Mandarin dan bahasa Tamil yang tidak dihalang oleh kerajaan untuk dikembangkan. Ini terbukti apabila bahasa Mandarin dan Tamil bebas diajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), serta sedikit di sekolah kebangsaan jika mendapat permintaan.

Langkah DBP memperkenalkan sistem audit bahasa di semua peringkat jabatan, terutama jabatan-jabatan kerajaan adalah wajar. Hal ini penting kerana ia sebagai satu langkah mengembalikan fungsi asal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di bawah peruntukan 152 Perlembagaan Persekutuan.

Ini disebabkan fenomena masyarakat yang gemar menggunakan bahasa Inggeris sehingga merebak kepada urusan-urusan rasmi, menyebabkan bahasa Melayu semakin hari semakin dipinggirkan. Tidak hairanlah jika wujudnya ungkapan 'sekerat belut, sekerat ular' yang menggambarkan penggunaan bahasa rojak yang semakin serius dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Penggunaan bahasa yang bercampur-campur ini menyebabkan bahasa Melayu semakin hari semakin hilang identitinya kebahasaannya.

Tidak dinafikan, banyak faktor yang menyumbang kepada wujudnya fenomena sedemikian. Antaranya ialah kepesatan pembangunan negara dari segi ekonomi dan juga pengaruh media massa. Namun, kedua-dua faktor ini bukanlah penyumbang utama dalam kemerosotan penggunaan bahasa Melayu. Yang paling penting ialah kesedaran dan kecintaan kita terhadap bahasa Melayu itu sendiri. Malah, kita juga tidak boleh mengharapkan orang lain mempertahankan bahasa Melayu jika orang Melayu sendiri tidak mahu mempertahankannya.

Tambah menyedihkan apabila terdapat segelintir umat Melayu yang suka menggunakan bahasa Inggeris tidak kena pada tempatnya. Malah kadang kala yang dibawa lawan bercakap itu bukannya orang asing tetapi orang Melayu sendiri. Persoalannya, di manakah sensitiviti kita sebagai penutur jati bahasa Melayu sehinggakan berat mulut untuk berkomunikasi di dalam bahasa sendiri? Hal ini kita kembalikan kepada persoalan utama iaitu soal jati diri dan kecintaan kita terhadap bahasa Melayu.

Justeru, langkah DBP mewujudkan sistem audit bahasa harus dipuji kerana sudah sekian lama DBP seolah-olah mati dari fungsi asalnya dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai rasmi dan bahasa perpaduan negara.

Malah, cukup menggembirakan apabila cadangan ini turut mendapat sokongan daripada banyak pihak, termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang akan melaksanakan audit bahasa terhadap papan iklan luar selain mewujudkan penarafan bintang kepada Pihak Berkuasa Tempatan(Sinar Harian 13 Julai 2012).

Di samping itu, Kementerian Kewangan juga turut mengarahkan bank dan syarikat-syarikat insurans untuk menggunakan bahasa kebangsaan, terutama dalam urusan-urusan rasmi.

Malah, tidak ketinggalan Kementerian Pengajian Tinggi yang meletakkan sasaran penggunaan bahasa Melayu yang lebih meluas di IPT.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu melihat peranan bahasa Melayu tidak seharusnya terbatas pada peringkat negara semata-mata, sebaliknya perlu diangkat menjadi bahasa serantau dan antarabangsa yang diiktiraf sebagai salah satu bahasa penting di dunia.

Maka, langkah pengauditan bahasa ini adalah salah satu titik awal menuju ke arah pengantarabangsaan bahasa Melayu di peringkat yang lebih global.



MOHAMAD SHAFIQ Universiti Malaya, Kuala Lumpur Sumber: Utusan Malaysia Online Forum 18/07/2012


Tags: akta, bahasa, dbp, perlembagaan, sekolah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments