kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kemerdekaan bukan sekadar sambutan

55 Tahun Merdeka, 1Malaysia Janji Ditepati begitulah tema sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-55 negara pada tahun ini. Tema sambutan kali ini kelihatan cuba membawa pemahaman kepada sekalian rakyat Malaysia bahawa kemerdekaan yang kita kecapi ini adalah satu nikmat yang tidak terhingga yang menjadi asas kewujudan negara kita yang makmur, aman dan bersatu padu.

Sambutan dimulai dengan majlis pelancaran kibar Jalur Gemilang pada 17 Julai lalu oleh Perdana Menteri di Little India, Brickfields, Kampung Baru dan Petaling Street di Kuala Lumpur.

Pemilihan lokasi terbabit sudah pasti ada kaitan dengan makna tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Difahamkan pada tahun ini akan diadakan sambutan yang gilang gemilang di Stadium Bukit Jalil dengan pelbagai acara seperti perarakan, pameran dan pertunjukan kebudayaan.

Tujuan utama sambutan kemerdekaan diadakan di negara kita (juga di negara lain) ialah untuk memastikan rakyat sentiasa memahami sukarnya mendapatkan nikmat kemerdekaan.

Impak akhir daripada sambutan sebegini ialah tersematnya semangat patriotisme dan rasa sayang negara dengan semangat jati diri bangsa Malaysia yang jitu. Dalam konteks anak muda, sering kali diperkatakan bahawa tahap jati diri dan semangat patriotisme belia kita kian luntur berbanding generasi lalu.

Dalam hal ini, amat sukar bagi kita mengukur tahap patriotisme seseorang individu kerana sudah pasti masing-masing menyediakan tanda aras yang tersendiri. Ada individu meletakkan makna patriotisme dengan menyatakan ikrar sanggup mati dan berkorban untuk negara.

Ada juga yang menyertai pelbagai kerja kesukarelaan sebagai paparan dirinya memiliki semangat patriotisme yang tinggi. Pada masa sama, ada yang menyatakan bahawa dengan menjadi seorang warga negara yang baik, tidak melanggar undang-undang dan membayar cukai sudah mencukupi untuk dirinya digelar seorang rakyat yang patriotik.

Patriotisme mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ialah perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air. Seseorang individu yang patriotik sentiasa bersifat patriot dan sanggup mempertahankan kedaulatan dan membela negaranya.

Maknanya, warga negara yang bersifat patriot ialah seseorang yang menjuarai kepercayaan mengenai kebesaran dan kebenaran negaranya. Seseorang yang memandang tinggi dan menghargai simbol yang menjadi kebanggaan negara dan seseorang yang melaungkan slogan mengenai kesediaan untuk mempertahankan negara walaupun nyawanya sebagai galang ganti.

Justeru, tidaklah menghairankan apabila mendekati tarikh kemerdekaan sering ditimbulkan persoalan tahap patriotisme sesetengah rakyat kita yang kelihatan amat berat untuk menunjukkan sokongan terhadap sambutan kemerdekaan ini walaupun semudah mengibarkan bendera.

Sejak hari pelancarannya, suasana sambutan kemerdekaan dapat dirasakan begitu hambar. Lebih banyak program yang dianjurkan agensi kerajaan berbanding inisiatif rakyat sendiri. Amat kurang kelihatan Jalur Gemilang yang dipacak secara sukarela di setiap rumah atau kenderaan.

Dalam suasana Ramadan yang kini memasuki hari keenam, penulis tidak pula terdengar sebarang kalimah yang memohon kesejahteraan negara dan dikekalkan kemerdekaannya dalam bacaan doa serta tazkirah imam ketika solat Tarawih.

Yang pasti ialah memohon doa agar diri dan keluarga dilindungi, diberkati dan sentiasa dalam kesenangan. Adakah situasi ini memaparkan realiti masyarakat kita yang terlalu memberi fokus kepada diri sendiri sehingga mengetepikan soal kepentingan hidup bernegara?

Adakah negara kita ini wujud secara magik dan tidak mempunyai roh untuk dijaga, dibelai, didoakan dan dipertahankan? Persoalan ini nampak remeh, namun bagi penulis ia persoalan pokok yang harus kita fikirkan secara mendalam bersama-sama.

Berbeza dengan generasi lalu yang pernah melalui saat getir penjajahan, ancaman komunis dan kemiskinan, generasi muda kini sudah hidup dalam era pembangunan. Pendorong utama kehidupan mereka ialah memenuhi keperluan asas diri sendiri berasas wang dan material.

Masyarakat yang didorong oleh wang ini kian berkembang dan menghakis nilai kesukarelaan dan nilai kebersamaan. Lambang negara seperti Rukun Negara yang diciptakan sebagai asas pengikat jati diri bangsa Malaysia kadangkala hanya menjadi sebutan ketika sesi perhimpunan sekolah.

Bukan sedikit rakyat kita yang tidak berasa apa-apa jika terlihat Jalur Gemilang yang dikibar lusuh atau koyak rabak. Masih ramai yang berjalan lalu-lalang ketika lagu Negaraku dinyanyikan dalam majlis rasmi.

Menjelang sambutan kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos ini adalah saat paling sesuai untuk setiap rakyat mengukur tahap rasa cinta dan kasih pada negara ini. Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan untuk mempertahankan prinsip masyarakat yang bernegara sejak 1948 tidak akan berasa letih dan mengalah untuk mengajak generasi muda memaparkan sifat patriot yang sebenar.



Mohamed Maliki Mohamed Rafiee Sumber: Berita Harian Online Rencana Jumaat, 27 Julai 2012, 7 Ramadhan 1433H
Tags: kemerdekaan, merdeka, patriotik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments