kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Suka perkara bermusim punca masalah Melayu bertimbun

Dua belas tahun sebelum penulis dilahirkan, Tan Sri Sanusi Junid, seorang tokoh Melayu selama lebih 20 tahun menjawat pelbagai jawatan dalam kepemimpinan negara pernah menyebut dalam salah satu ucapannya ketika merasmikan simposium di Universiti Malaya, “bangsa bangsa Melayu mempunyai pelbagai masalah yang diwarisi mereka kerana budaya ‘temperamental’.


Dalam ucapan perasmiannya itu, beliau menyebut bagaimana budaya ‘temperamental’ iaitu budaya yang suka kepada hal bermusim menjadi kemungkinan alasan Melayu gemar menjadi nelayan di pantai Timur kerana adanya musim tengkujuh tetapi tidak di pantai Barat yang cuaca hampir sama sepanjang tahun.

Selain itu, gemar menanam padi yang hanya menuntut mereka bekerja menuai dua kali setahun tetapi tidak menanam sayur yang harus dijaga pada setiap waktu dan Melayu juga meminati politik disebabkan ia datang lima tahun sekali tetapi tidak dalam bidang ekonomi yang harus diawasi sepanjang masa.


“Bangsa Melayu mempunyai pelbagai masalah yang diwarisi mereka kerana budaya temperamental”. - Sanusi Junid

Suka perkara yang bermusim ini juga menjadi sebab pelbagai masalah tidak dapat diselesaikan secara tuntas oleh orang Melayu. Belum pun satu masalah selesai, masalah lain datang dan masalah lama dilupakan saja. Masalah akhirnya bertimbun, diwarisi daripada generasi ke generasi.

Hari ini ketika hampir 30 tahun selepas Sanusi mengulas masalah itu, budaya temperamental ini masih diwarisi dan masalah yang timbul tidak banyak yang dapat diselesaikan.

Sebagai contoh, orang Melayu hari ini masih mudah dimainkan dengan masalah yang datang bermusim seperti fitnah rambang sehingga mereka lebih memilih untuk mempercayai tuduhan daripada proses mencari kebenaran dan kemudian melupakan saja cerita itu kerana mula dibelenggu dengan masalah lain yang sengaja ditimbulkan.

Orang Melayu juga memilih untuk bersatu hanya pada musim tertentu saja. Sejarah Malaysia membuktikan penyatuan orang Melayu awalnya terjadi apabila hak mereka tergugat ketika Malayan Union diperkenalkan, ketika Mei 1969, dan apabila mereka berasa terancam ketika orang lain mengusik keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan.

Di luar musim atau masalah yang dihadapi, mereka lebih memilih untuk berpuak. Tidak hairanlah walaupun satu bangsa, Melayu selalu saja saling iri hati, selalu menuduh satu orang lebih Melayu daripada yang lain bahkan tergamak menunjuk siapa masuk syurga dan siapa tidak berdasarkan puak mereka.


Sifat temperamental ini juga tidak mengenal usia. Pada generasi muda Melayu, mereka tidak bersatu di universiti dalam pembelajaran tetapi memilih untuk bersatu apabila ada orang mengaku ingin memansuhkan hutang mereka.

Sifat temperamental yang lebih umum dalam kalangan anak Melayu juga berkaitan cara mereka menelaah pembelajaran yang berbeza dengan anak bangsa lain. Anak Melayu gemar belajar mengikut musim, yakni belajar hanya apabila dekat dengan musim peperiksaan saja.

Profesor Diraja Ungku Aziz, seorang tokoh pendidikan negara dalam tulisannya mengulas bahawa kerana terperangkap secara tidak langsung daripada kesan jajahan Barat, bangsa Melayu susah bahkan tidak sanggup berubah dengan sendiri.

Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan juga tidak suka memikirkan sesuatu secara mendalam. Bangsa Melayu hanya boleh berubah dengan kunci pendidikan dan kepemimpinan yang baik.

Memilih pemimpin yang tegas dan fokus berkerja dalam kalangan orang Melayu adalah penting jika benar-benar mahu menyelesaikan masalah yang ada.

Pemimpin terpilih mestilah pemimpin masyarakat yang berjiwa rakyat, tidak hanya pandai bercakap dan popular tetapi mereka yang benar-benar mahu menyelesaikan masalah Melayu.

Pemimpin ini juga mesti jujur dan bebas segala sifat ‘temperamental’ dalam memimpin, iaitu mampu memimpin dengan baik sepanjang masa, bukan pada waktu ingin menyelesai masalah peribadi atau menjelang pilihan raya atau pun mesyuarat pemilihan jawatan dalam organisasi mereka saja.



Rizal Abd Rahman Penulis ialah aktivis mahasiswa Malaysia di Jakarta
Sumber:
Berita Harian Online Rencana Ahad, 29 Julai 2012, 9 Ramadhan 1433H
Tags: temperamental
Subscribe

  • Kisoh Igak Ikang

    Doh wak gane ni orrrkk , kisoh petang ning lepah ' minung bir' .... bace deh ... kawang daghi ganu ato ... jangang maghoh ke ambe plok ...…

  • Kursus Bahasa Untuk Penerbangan ~ Loghat Perthliess (Abi)

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Sat lagi kita nak mendaghat di Lapangian Teghebiang Cupin Tali pinggiang tu tulung pakai takut nye pelantin pi depan sat…

  • We can make CEFR work for us

    A GLOBALLY-RECOGNISED framework does not make English curriculum less Malaysian. I refer to the article, “Adopt a Malaysian…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments