kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Perdana Menteri, bola sepak serta perkhidmatan awam

Kakitangan kerajaan perlu praktik idea baru

Kehebatan pertandingan bola Eropah sudah berlalu. Yang menang berjudi senang hati. Yang kalah makan hati. Peminat yang bersorak hingga ke subuh – seolah-olah berada dalam stadium – tidur dan kerjanya sudah kembali normal. Demam bola sudah kebah.

Namun bola, bukan lagi sekadar sukan mainan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memetik teladan daripada pertandingan akhir EURO 2012. Beliau tidak hanya bersorak ketika menonton di kaca televisyen. Fikirannya ikut bermain di padang.

Semoga saranan Najib agar pegawai kerajaan mengamalkan pendekatan CPI dan PKI diberi perhatian serius oleh Ketua Setiausaha Negara, JPA dan ketua pengarah semua jabatan. Bola pun bukan lagi sekadar sukan suka-suka!

Ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya 2 Julai lalu, pesannya: “Anggota perkhidmatan awam mestilah ‘cepat, tepat dan berintegriti – CTI’. Sifat ini perlu dilengkapi dengan ‘produktiviti, kreativiti dan inovasi – PKI’.

Tegas Najib, kalau kita ingat pada dua akronim ini, ia mencerminkan proses pembaharuan yang perlu dilakukan dalam perkhidmatan kerajaan, iaitu mencari idea baru yang lebih bernas dan tidak begitu konvensional kerana yang penting ialah keberhasilan. Maka, kita perlulah memperlihatkan perubahan yang inovatif.

Lalu Najib menyebut pertandingan antara Itali-Sepanyol sebagai teladan.

Katanya: “Sepanyol tidak meletakkan penyerang, sebaliknya menggunakan enam pemain tengah yang masing-masing boleh menjaringkan gol. Ini tidak konvensional dan format yang belum dicuba, namun akhirnya Sepanyol jadi juara.

“Justeru, seperti pasukan Sepanyol, kerajaan kita juga sentiasa mencari idea yang ada kelainan. Antara satu kejayaan kita menggunakan CPI dan PKI, ialah mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (PTB) di Melaka, hanya mengambil masa enam minggu saja. PTB menandakan perubahan dalam perkhidmatan kerajaan untuk memberikan kepuasan dan keselesaan kepada rakyat.”

Bersediakah anggota perkhidmatan awam kita untuk membuat perubahan – mencuba cara kerja yang tidak konvensional – terutama pada peringkat pegawai atasan?

Dalam hubungan dengan perkhidmatan untuk rakyat, ada banyak contoh yang menunjukkan betapa bekunya pemikiran pegawai perkhidmatan awam kita.

Diceritakan dua contoh kecil, yang semua orang boleh faham. Di Kedah, 12 minit perjalanan dari bandar raya Alor Setar, ada berpuluh-puluh ekar tanah sawah yang sudah belasan tahun tidak dikerjakan kerana masalah pengairan. Tanah yang lokasinya cukup berharga ini jadi paya, dipenuhi menerung setinggi dada.

Apabila pemilik memohon untuk memajukan tanah ini, MADA menolak kerana ia termasuk dalam kawasan pertanian MADA. Pejabat Tanah pula menolak kerana syarat kegunaannya di atas geran tercatat ‘bendang’. Jawapan ini pantas sekali.

Maka dengan jawapan seperti itu, selesailah sudah tugas pegawai MADA dan pegawai Pejabat Tanah. Pemilik tanah dan kerajaan sama-sama tidak dapat hasil. Pemilik pun tidak bayar cukai. Kita mensesiakan anugerah Allah yang sangat berharga. Bukankah kita manusia, sebijak manapun, tak akan boleh mencipta tanah!

Di Pulau Langkawi, beberapa pemilik tanah memohon untuk memajukan tanah mereka yang terletak di pinggir jalan raya. Permohonan ditolak kerana semua tanah itu jenis kegunaannya ‘pertanian’ dan juga tidak termasuk dalam pelan pembangunan.

Selepas dirayu dan diprotes dalam akhbar, satu perjumpaan diadakan dengan pegawai pelbagai jabatan dan dipengerusikan seorang anggota EXCO. Seorang pemilik tanah bertanya: “YB, tanah saya tujuh ekar. Kebun getah tua. Selepas satu pesta perarakan laut yang meriah, Langkawi diisytiharkan Pulau Pelancongan. Adakah YB fikir patut saya kekalkan kebun getah tua tujuh ekar itu di pulau pelancongan ini?

“Yang kedua, bolehkah YB dan tuan pegawai sebut contoh, di manakah tanah milik Melayu yang termasuk dalam kawasan pembangunan? Semua tanah orang Melayu adalah petak kecil tanah pertanian dan terletak di luar bandar. Apa akan jadi kepada tanah ini? Maaflah. Kita kena keluar daripada kotak tradisi.”

Dipendekkan cerita, akhirnya permohonan untuk ubah syarat dan pecah lot di atas tanah di pulau pelancongan ini diluluskan. Namun mengambil masa hampir empat tahun, melalui jalan yang tersendat-sendat dan berliku-liku!

Semoga saranan Najib agar pegawai kerajaan mengamalkan pendekatan CPI dan PKI diberi perhatian serius oleh Ketua Setiausaha Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan ketua pengarah semua jabatan. Bola pun bukan lagi sekadar sukan suka-suka!

(Mohon respon anda. Pro mahu pun kontra)

Noor Azam Sumber: Berita Harian Online Rencana Ahad , 29 Julai 2012, 9 Ramadan 1433 H
Tags: cpi, noor azam, pki
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments