kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Membangun generasi pintar cerdas, berbakat

Sungguh membanggakan mendapati program PERMATApintar yang disediakan Pusat PERMATApintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diiktiraf ramai kenamaan dari dalam dan luar negara.

Sejak perkhemahan akhir sekolah untuk kanak-kanak pintar cerdas yang berumur antara 8 hingga 15 tahun dimulakan pada Disember 2008 dan pembukaan sekolah untuk pelajar sedemikian yang berumur 15 dan 16 tahun pada 2011, ia sudah dikunjungi ramai kenamaan termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Dr Maya Soetoro-Ng, adik Presiden Barack Obama serta wanita utama beberapa negara yang juga sempat beramah mesra dengan pelajar. Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang memulakan program itu sudah diundang memberi ucaptama di Persidangan Mengenai Pendidikan Pintar Asia Pacific ke-12 di Dubai pada 14 Julai hingga 15 Julai lalu. Ramai Menteri Pelajaran yang hadir kagum dengan pembentangannya dan menyatakan hasrat hendak mengadakan kerjasama dengan Malaysia dalam hal berkaitan pendidikan kanak-kanak pintar.

Pusat PERMATApintar dengan kerjasama Pusat Belia Berbakat Universiti Johns Hopkins juga sudah melangsungkan Perkhemahan Musim Panas untuk 20 orang Pelajar Perempuan berumur 16 tahun dari Yayasan MAWHIBA Arab Saudi.

Program PERMATApintar bertujuan mengenal pasti kanak-kanak berbakat luar biasa, iaitu seorang setiap 100,000 penduduk, dan menyediakan pendidikan yang boleh mencungkil dan mengasah kebolehan mereka dalam sesuatu bidang tertentu secara menyeluruh.

Ujian atas talian

Bagi menentukan tidak seorang pun kanak-kanak pintar cerdas tercicir,dua ujian atas talian dikenali UKM1 dan UKM2 diadakan termasuk ujian bersemuka UKM3. Ujian itu sudah pun berjaya memilih lebih 1,000 kanak-kanak pintar cerdas dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Mereka datang dari pelbagai latar belakang dan tempat di Malaysia termasuk kawasan yang amat terpencil hingga memerlukan penggunaan pelbagai jenis kenderaan untuk ke UKM.

Tohmahan kononnya usaha memberikan peluang kepada kanak-kanak pintar cerdas hanya mewujudkan kelompok elitis harus disingkirkan.

Dalam ucaptamanya Rosmah berkata: Bakat adalah kurniaan Allah dan kita mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan ruang dan peluang bagi membolehkan mereka mengasah potensi kebolehan mereka secara optimum. Ini adalah kewajipan kita kerana insan berkebolehan sedemikian adalah aset berharga kepada mana-mana negara pun. Apabila dipupuk dari usia muda, kurniaan Allah itu boleh digarap untuk mencapai tahap tertinggi dalam bidang kemahiran mereka lebih-lebih lagi mengenai pengetahuan baru yang harus diterokai bagi menangani permasalahan abad ke-21.

Asah kurniaan intelek

Itulah juga mengapa sesetengah negara bersedia memberikan biasiswa dan kerakyatan untuk memikat anak ini serta keluarga mereka..

Selain mengasah kurniaan intelekyang ada pada mereka, pendidikan sesuai perlu disediakan bagi memenuhi kehendak emosi yang tidak berkembang serentak perkembangan intelek mereka. Itulah kadangkala kanak-kanak pintar berasa diri tidak difahami dan sering diabaikan. Adakalanya tingkah laku mereka disalah anggap sebagai nakal, tidak berdisiplin dan mengacau oleh guru dan ibu bapa hingga membuatkan orang terdekat buntu untuk membantu mereka.

Sekiranya kita tidak menyediakan pendidikan khusus kepada mereka, kanak-kanak berbakat demikian boleh berhenti sekolah dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat.

Pusat PERMATApintar menyediakan sukatan pelajaran meluas, berimbang dan mencabar yang disesuaikan untuk setiap individu berasaskan keperluan dan kepintaran mereka. Penyediaan pendidikan sedemikian amat penting kerana bakat yang ada berbeza-beza. Setengahnya pintar dalam satu dua perkara manakala yang lain berbakat dalam banyak perkara pula.

Kurikulum direkabentuk untuk memastikan kedua-dua otak kiri dan kanan dipupuk dengan mengimbangkan pembelajaran sains, teknologi, matematik dan kejuruteraan dengan pembelajaran kesenian dan kemanusiaan, kepintaran pelbagai bahasa, perkembangan rohani, apresiasi persekitaran alam, kepemimpinan dan semangat kesukarelawanan.




Dr Sharipah Hapsah Sumber: Berita Harian Online Rencana Selasa , 07 Ogos 2012, 18 Ramadan 1433 H
Tags: permata
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments