Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, mangsa Mohamad Fakhrulrazi Baharuddin, 28, dalam perjalanan pulang ke SSBP selepas menyambut hari raya bersama isteri dan mentuanya di Cheras, Kuala Lumpur.
Turut terkorban dalam kejadian itu ialah pemandu Perodua Myvi, Muhammad Farid Mazlan, 27, yang parah di kepala, manakala pemandu lori, Rosli Md Nor, 37, patah kaki kanan kerana tersepit dalam kenderaannya, sementara empat sekeluarga yang menaiki Proton Iswara cedera ringan.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu Rosli merempuh bahagian belakang sebuah treler sebelum lori berkenaan dirempuh Perodua Myvi dipandu Muhammad Farid.
ROSAK...anggota polis trafik memeriksa motosikal Mohamad Fakhrulrazi yang terbabit kemalangan, semalam.

Oleh Yusmawati Mhd Yusof dan Arifin Saleh am@hmetro.com.my myMetro > Berita Utama http://www.hmetro.com.my/articles/Rempuhlorimelintang/Article/
Dua maut dalam kemalangan libatkan lima kenderaan di Melaka
MELAKA: Seorang guru dan seorang jurutera maut dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer 197.3 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Alor Gajah di sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Farid Mazlan, 27, guru di Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor dan Mohamad Fakhrulrazi Baharuddin, 28.
Ketua Trafik Melaka Supt Ahmad Adnan Basri berkata dalam kejadian kira-kira 4 pagi, sebuah lori tiga tan yang datang dari arah Kuala Lumpur ke Melaka merempuh sebuah treler lalu melintang di tengah jalan raya.
Beliau berkata sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu Muhammad Farid dari arah Nilai ke Johor Baharu kemudian merempuh bahagian belakang lori tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
"Sementara itu Mohamad Fakhrulrazi yang menunggang motosikal dari arah Kuala Lumpur ke Johor Baharu turut melanggar lori tersebut menyebabkannya maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Beliau berkata sebuah lagi kereta jenis Proton Iswara yang dipandu seorang lelaki dan tiga penumpang juga merempuh lori tersebut namun pemandu serta penumpang kenderaan itu hanya mengalami kecederaan ringan.
Ahmad Adnan berkata pemandu lori yang patah kaki kanan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama
myMetro > Mutakhir http://www.hmetro.com.my/articles/DuamautdalamkemalanganlibatkanlimakenderaandiMelaka/Article/
Dengar jeritan drebar minta tolong
ALOR GAJAH: “Saya dengar jeritan pemandu lori meminta tolong supaya dikeluarkan namun saya tidak berani berbuat apa-apa berikutan kenderaan terbabit melintang di tengah lebuh raya,” kata Mohd Farhan Mohd Asri, 23, saksi kemalangan maut di Kilometer 197.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, dua terbunuh selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan membabitkan lima kenderaan.
Muhammad Farid Mazlan, 27, yang memandu Perodua Myvi bersendirian menuju Johor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta dipandu merempuh belakang sebuah lori tiga tan.
Tidak lama kemudian, motosikal Kawasaki Versys ditunggang Mohamad Fakhrulrazi Baharuddin, 28, merempuh sebelah kiri lori berkenaan hingga menyebabkannya tercampak dan meninggal dunia.
Sebuah Proton Saga dinaiki empat sekeluarga dipandu Ahmad Faisal Azizan, 29, bersama isteri, Putri Hasmiza, 29, serta dua anak mereka, Muhammad Faiz Irfan, 4, dan Nur Farzanah Irdina, 1 tahun, juga merempuh tepi kanan lori dipandu Rosli Md Nor, 37, berkenaan.
Menurut Farhan, dia yang panik selepas melihat kemalangan itu segera memberhentikan keretanya dan cuba mengeluarkan pemandu Myvi namun gagal kerana tersepit.
“Ketika itu, saya hanya menjerit sekuat hati meminta pemandu lori berkenaan bertenang sambil melihat empat sekeluarga menaiki Proton Saga keluar menyelamatkan diri ke tebing.
“Ketika menghampiri pemandu Myvi itu, dia dalam keadaan nazak dan kepalanya terkulai ke belakang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Melihat keadaan itu, dia menghubungi bantuan kecemasan sebelum sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah tiba untuk mengeluarkan mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian mengakibatkan dua daripada enam mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu lori yang parah di kaki kanan akibat tersepit dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan manakala empat sekeluarga cedera ringan.
“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat sebelum jenazah mereka dituntut ahli keluarga masing-masing,” katanya.
Menurut beliau, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
myMetro>Setempat http://www.hmetro.com.my/articles/Dengarjeritandrebarmintatolong/Article/