kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Masuk universiti bukan kemuncak pelajaran

Sejak beberapa tahun lalu ramai sahabat berstatus majikan mengeluh mengenai kualiti graduan Melayu yang menghadiri temu duga. Ramai yang tidak menggambarkan mereka lulusan institusi pengajian tinggi apabila gagal menjawab soalan pengetahuan am yang secara logiknya patut diketahui graduan. Sudah menjadi kelaziman dalam sesi temuduga hari ini seorang graduan tidak mampu menyampaikan hujah dan idea secara kritikal dan bernas. Malah ada yang tidak mampu menyatakan nama tokoh negara hingga menimbulkan kecurigaan terhadap keaslian ijazah yang dibawa.

Akibat tiada pilihan, ramai majikan menutup sebelah mata dan berharap graduan berkenaan menjadi lebih matang dan menunjukkan kebolehan sebenar apabila diambil bekerja. Malangnya, kebolehan yang ditunggu-tunggu tidak juga muncul dan tahap prestasi kerja mereka hanyalah setakat memenuhkan bilangan kakitangan. Ramai juga graduan Melayu yang tidak mampu mendapatkan kerja yang sesuai dengan kelulusan kerana tidak langsung mempunyai keyakinan diri dan tiada kemahiran tambahan. Sedih bercampur geram apabila melihat bakat muda ini hanya mampu menjaja ijazah dan diploma ke sana sini sebelum akhirnya menjadi pembantu jualan langsung atau memenuhi jawatan tidak mencabar yang memerlukan kelulusan sijil persekolahan saja.

"Kejayaan masuk universiti bukan tanda mereka sudah menjadi pelajar cemerlang, sebaliknya ia permulaan kepada usaha menimba sebanyak mungkin ilmu yang relevan dengan kehidupan masa depan”

Lemah di alam universiti

Sejak kecil lagi mereka menyatakan cita-cita ke menara gading yang menjadi matlamat akhir pemburuan ilmu mereka. Mereka mengharungi persekolahan dengan bersungguh-sungguh dan melepasi satu persatu sistem peperiksaan perdana. Setiap tahun semakin ramai yang memperoleh banyak atau semua A untuk subjek yang diambil. Akhirnya mereka berjaya menempatkan diri di universiti yang semakin banyak pada hari ini.

Malangnya pendaftaran sebagai seorang pelajar universiti yang sepatutnya menjadi titik mula kepada pembentukan seorang profesional tidak berjaya diterjemahkan kepada kehidupan mahasiswa dan mahasiswi ini. Ini disebabkan persepsi sebahagian mereka yang menganggap memasuki universiti adalah kemuncak kehidupan mereka mencari ilmu.

Oleh kerana kemuncaknya sudah diperoleh, maka ramai pelajar Melayu yang dahulunya begitu aktif di alam persekolahan menjadi kian lemah di alam universiti dan seolah-olah hilang minat meneroka dan menguasai cabang ilmu yang luas. Lebih parah lagi ada yang mengambil kursus tidak lagi menjadi keperluan pasaran pekerjaan.

Pemikiran mereka seperti mentaliti sebahagian ahli sukan kita yang menganggap penyertaan dalam Sukan Olimpik adalah kejayaan mutlak. Sebab itulah apabila ditemu ramah media Malaysia, sebahagian mereka langsung tidak menunjukkan rasa bersalah akan kekalahan mereka, seolah-olah mereka sekadar penonton temasya sukan itu. Ini berbeza dengan ahli sukan negara lain yang menganggap hanya pencapaian pingat emas boleh dianggap sebagai tercapainya kemuncak matlamat.

Graduan biasa

Kini ramai anak muda Melayu yang berjaya ke universiti sehingga dianggap perkara biasa. Keadaan ini berbeza berbanding zaman ibu bapa kita dulu hinggakan satu kampung berkenduri meraikan kejayaan anak jiran masuk universiti. Gambaran penghormatan anak muda dulu yang berjaya masuk universiti adalah seperti diberikan kepada Datuk Lee Chong Wei ketika kembali dari temasya Olimpik London baru-baru ini.

Tuntutan terhadap graduan kini sudah jauh berbeza. Kejayaan masuk universiti bukan tanda mereka sudah menjadi pelajar cemerlang, sebaliknya ia permulaan kepada usaha menimba sebanyak mungkin ilmu yang relevan dengan kehidupan masa depan. Mereka hendaklah menjadikan universiti sebagai platform menanamkan keyakinan dan melatih ketrampilan diri. Amat mendukacitakan apabila sebahagian graduan Melayu menjadi begitu kaku dan hambar hinggakan terlalu bergantung kepada pasaran kerja ditawarkan institusi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan.

Untuk berjaya dalam kehidupan hari ini, graduan Melayu perlu mempunyai selera untuk menjadi individu yang hebat. Malangnya, ramai yang hanya mampu menjadi graduan biasa hinggakan ke sesi temu duga terpaksa ditemani ibu bapa lantaran tiada keyakinan diri.

Tiada apa boleh dibanggakan dalam resume mereka jika dibandingkan dengan graduan bangsa lain yang hadir dengan keyakinan diri untuk berhujah dan kemampuan menguasai beberapa bahasa.

Selepas melalui proses memperkukuh ketahanan diri Ramadan lalu, pelajar Melayu hendaklah dengan serius merenung sejenak arah tuju masa depan mereka dan bertindak bagi memperbaiki tahap pencapaian orang Melayu dalam negara kita. Kadang-kadang apabila kita terlalu beralah dan perlahan, kita juga yang akhirnya dipinggir dan ditinggalkan. Anak muda Melayu hari ini adalah pewaris bagi menerus dan meningkatkan kedudukan agama Islam dan orang Melayu. Tidak mengapalah menjadi Melayu yang kiasu asalkan sikap itu tidak pula menindas orang lain.



Muhd Yusuf Abu Bakar Penulis ialah Peguambela & Peguamcara di Johor Bahru Sumber: Berita Harian Online Rencana Sabtu , 01 September 2012, 14 Syawal 1433 H
Tags: graduan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments