kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Di atas runtuhan Masjid Sultan Melaka

DALAM buku Kenang-kenangan Abdullah Munsyi (2008), penulisnya Datuk Zahari A. Rashid ada menulis seperti berikut:

“Penulis pernah melihat sendiri sebuah lukisan yang dipamerkan di Military Museum, Lisbon dalam lawatan pada tahun 1970-an. Lukisan itu menggambarkan adegan pertempuran askar Portugis dengan hulubalang Melayu di kaki bukit Melaka. Pada latar belakang lukisan tersebut jelas kelihatan sebuah masjid yang dibina daripada batu. Rombongan kami telah ditunjukkan juga sepucuk meriam yang luar biasa panjangnya yang telah diangkut balik oleh Portugis dari Melaka."

Jadi sesiapa yang berpeluang pergi ke Lisbon, Portugal, cubalah cari muzium ini.

Justeru dapat dibayangkan bahawa sekurang-kurangnya masjid di Melaka pada zaman Kesultanan Melayu mempunyai bangunan batu yang kalau tidak dihancurkan, berkemungkinan ia dapat terus wujud dan menjadi bangunan bersejarah.

Tetapi Portugis telah menghancurkan habis semua kesan-kesan kekal Kesultanan Melayu Melaka.

Bayangkan betapa jika dalam pertempuran dengan Portugis itu, Melaka berjaya mempertahankan diri. Maka Kesultanan Melayu Melaka akan terus wujud hingga ke hari ini seperti mana yang dinikmati oleh Raja-raja Siam dan Maharaja-maharaja Jepun.

Dipertahankan

Maka Melaka yang dapat dipertahankan itu menjadi negara besar Melayu Raya meliputi wilayah-wilayah yang kini menjadi Malaysia, Singapura, Brunei dan sebahagian daripada Thailand dan Indonesia.

Jika Melayu Raya ini berjaya masuk ke zaman moden dalam bentuk sebuah negara bangsa, ia mampu menjadi tapak tamadun gemilang lebih-lebih lagi apabila khazanah keilmuan silam dapat dikekalkan dan dikembangkan.

Lihatlah Jepun. Apabila Commodore Perry dari Amerika Syarikat sampai negara itu, Jepun berjaya bukan saja mengelakkan diri daripada dijajah tetapi sebaliknya membangunkan negara dan bangsa hingga mampu menandingi dunia Eropah.

Maharaja Meiji telah mengubah Jepun daripada tamadun tradisional kepada kuasa moden. Begitu juga yang boleh berlaku pada Melaka jika dapat mematahkan serangan Portugis pada tahun 1511.

Sebenarnya kesedaran mengenai keunggulan Barat bukan saja berlaku di Jepun. Ia juga berlaku di Asia Tenggara, iaitu Siam dan di Tanah Melayu sendiri.

Raja Mongkut dan kemudiannya Chulalongkorn berjaya memodenkan negara mereka. Bukan saja mereka dapat mengelak daripada dijajah tetapi juga menjenamakan semula Siam untuk menjadi Thailand.

Semangat untuk menjadi maju dan moden juga berlaku di Tanah Melayu. Cumanya kesedaran ini terlambat kerana penjajah sudah menerobos masuk ke Tanah Melayu: Portugis, Belanda dan Inggeris.

Namun kesedaran ini berlaku ketika tidak semua negeri dijajah oleh Inggeris.

Bersekutu

Ketika Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) ditubuhkan, terdapat lima negeri lain yang masih merdeka: Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Johor.

Johor pula sebelum itu adalah negeri yang mewarisi Kesultanan Melaka.

Apabila Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu sudah menerima penasihat Inggeris, Johor masih bebas. Maka pada masa mula pemerintahan Sultan Abu Bakar, kesedaran untuk memajukan tanah air ini timbul.

Johor telah mengalami pembaharuan besar untuk mengukuhkan jati dirinya sebagai negara moden.

Bendera dan lagu negeri dicipta. Istana dan masjid batu yang tersergam dibina dengan reka bentuk untuk mengukuhkan jati diri Johor sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Ibu negeri Johor berpindah ke Tanjung Puteri yang dinamakan Johor Bharu. Bandar Johor Bharu dirancang menjadi ibu kota tersusun.

Maka sekurang-kurangnya Johor berusaha untuk setanding dengan Britain sebagai negara merdeka.

Maka tidak hairanlah Sultan Abu Bakar dikenali sebagai Bapa Johor Moden. Baginda adalah seangkatan dengan kesedaran yang turut berlaku di Jepun dan Siam pada zaman Maharaja Meiji dan Raja Mongkut.

Walaupun kemudian Johor turut menerima penasihat Inggeris, tetapi dari pentadbiran tersusun inilah muncul Datuk Onn Jaafar yang mengorak langkah yang akhirnya membawa negara kepada kemerdekaan Tanah Melayu, dan kemudian penubuhan Malaysia.


Untung Sabut Timbul Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 9 September 2012 / 22 Syawal 1433

Tags: sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments