kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Teladan daripada pemimpin

DUA individu yang mencemarkan sambutan kemerdekaan ke-55 negara telah meminta maaf atas perbuatan biadab mereka. Ia dilakukan setelah kemarahan umum diluahkan melalui laporan polis, media dan medium Internet.


Mungkin mereka tidak sama sekali menyangka penyertaan dalam demonstrasi Janji Demokrasi di Dataran Merdeka pada malam 30 Ogos itu bakal membawa musibah kepada diri. Apa yang mereka dapat akhirnya ialah dicemuh, digari dan dibuang kolej.

Umum mengharapkan permohonan mereka benar-benar ikhlas. Tetapi sungguh ironik, perbuatan memijak gambar pemimpin negara dan mengibarkan bendera asing semasa sambutan kemerdekaan itu telah dipolitikkan.

Begitulah ragam politikus pakatan pembangkang ini yang sudah terlanjur ghairah berpolitik. Mereka tidak menunjukkan sikap mengutuk perbuatan itu. Sama halnya mereka tidak memperlihatkan sikap menghargai permohonan maaf peserta himpunan tersebut.

Sebaliknya, mereka mencari wilayah kelabu untuk dijadikan gelanggang bermain antara kepentingan politik dan kepentingan rakyat serta negara.

Seharusnya mereka memikul tanggungjawab atas perbuatan biadab peserta pada malam Janji Demokrasi itu. Ini kerana, tiada lain merekalah di belakang tunjuk perasaan ini. Pimpinan pakatan pembangkang juga hadir pada malam itu.

Tetapi apa kata mereka 'ia ekspresi anak muda'. Sungguh, politikus ini semakin defisit sikap kebertanggungjawaban. Akauntabiliti hanya mainan mulut untuk mengelabui pandangan rakyat.

Mereka mencipta pelbagai slogan kononnya parti pilihan menuju ke Putrajaya. Mereka berkompang keliling bandar dan desa kononnya parti alternatif kepada Barisan Nasional (BN).

Mereka selalu menyebut kepentingan rakyat dan akauntabiliti. Mereka cepat mendesak pemimpin atau pegawai kerajaan berkaitan BN meletak jawatan jika berlaku kesilapan dan ada dakwaan salah laku.

Pokoknya, mereka mengaku serba baik dan serba sempurna berbanding parti pemerintah sekarang. Apakah yang berlaku sekarang menggambarkan pengakuan dan pengiktirafan yang mereka buat sendiri itu?

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terpalit dengan bermacam-macam kontroversi termasuk seks luar tabii masih di situ. Beliau masih Ketua Pembangkang yang pada malam sambutan kemerdekaan peringkat negeri Selangor diberi penghormatan luar biasa.

Pelik

Mereka boleh dan berupaya melakukan hal-hal pelik. Kenyataan daripada istana sengaja disanggah bagi menunjukkan kebenaran di pihak mereka. Entah berapa kali, Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor ini bertindak membelakangkan sultan.

Apabila berdepan situasi perselisihan dengan istana, nama UMNO dibawa-bawa kononnya parti inilah yang tidak menghormati institusi raja. Bagi mereka, tidak mengapa kerana ada UMNO yang boleh dijadikan kambing hitam.

Inikah parti yang mengaku bakal menggantikan UMNO dan BN? Mereka sama sekali tidak menunjukkan jalan yang lurus menuju ke Putrajaya. Mereka hanya pandai menyemai sentimen dan persepsi agar rakyat membenci pemerintah.

Dalam kalangan majoriti mereka, tidak terbayang pun perilaku seorang pemimpin yang budiman. Yang jika bersalah, meminta maaf. Yang jika berlaku penyelewengan, meletakkan jawatan. Setakat ini tiada contoh nilai-nilai akauntabiliti dan mesra rakyat.

Sebaliknya ada sahaja celah dan dalih untuk memurnikan diri. Jadilah mereka politikus yang suci murni sehingga ada yang sanggup menggelar dan digelar pemimpin anugerah tuhan.

Dari manakah mereka belajar politik hipokrasi tahap kronik ini? Jawapannya, sejak ada seorang itu bercita-cita tinggi mahu menjadi Perdana Menteri. Juga sejak pakatan pembangkang diberi sedikit kuasa dan merasa bakal diberi kuasa pada pilihan raya akan datang.

Tentu sukar dimengerti maksud mesra rakyat apabila seorang Ketua Menteri Pulau Pinang lebih popular dikenali sebagai pemimpin angkuh dan sombong. Kebelakangan ini pula semakin ramai yang mengecam sikap pilih kasih kerajaan pimpinan DAP itu.

Begitu juga menimbulkan tanda tanya apabila seorang Menteri Besar Selangor dengan percaya diri boleh menyatakan manifesto bukan satu janji. Rasanya tiada pemimpin yang sanggup berkata sedemikian jika benar beliau mesra dan pentingkan rakyat.

Juga sikap seorang Menteri Besar Kedah yang masih bertenggek di Darul Aman walaupun sering keluar masuk hospital. Beliau nampaknya masih mahu menerajui kerajaan negeri walaupun banyak usaha dilakukan untuk menyingkirkannya oleh kepimpinan dalam partinya sendiri.

Sedangkan merekalah yang mengaku di sana sini bahawa mereka tidak mengejar kedudukan atau tamak kuasa. Yang penting kepada mereka ialah perjuangan untuk rakyat. Sekali lagi, inikah yang kita lihat?

Mereka berceramah dan berkhutbah supaya umat Islam bersatu, tetapi angkara siapakah yang menyebabkan masyarakat berpecah? Siapakah yang menyebabkan munculnya dua solat Jumaat dalam satu kariah yang sehingga kini masih sukar ditangani di Terengganu?

Sepatutnya dalam tempoh hampir lima tahun ini, pemimpin pakatan pembangkang menunjukkan teladan mereka sebenarnya pemimpin yang lebih baik. Inilah peluang terbaik untuk membuktikan mereka lebih layak menghuni Putrajaya.

Tetapi tidak, mereka lebih banyak menunjukkan teladan seperti dipamerkan pada himpunan Janji Demokrasi pada malam kemerdekaan yang lalu. Bayangkan jika politiking seperti ini berterusan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Majoriti rakyat sebenarnya sudah terlalu penat dengan cara berpolitik sedemikian rupa. Jangan sampai keluh-kesah mereka ini sampai ke tahap tidak percayakan lagi kata-kata dan janji politikus.


Warung Politik Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 9 September 2012 / 22 Syawal 1433

Tags: politik
Subscribe

  • Menteri

    Peranan menteri pendidikan dan kesihatan sangat penting untuk mengembangkan modal insan yang penting untuk pembangunan ekonomi yang mampan.…

  • Adakah inflasi gred baik atau buruk

    Anda tentunya mahu memperoleh gred yang baik di sekolah, kolej atau universiti. Dengan keputusan peperiksaan yang baik atau cemerlang pastinya…

  • SPM 2020: 3 persoalan kejayaan sistem pendidikan negara

    TAHNIAH diucapkan kepada 401,105 murid-murid yang telah mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka hari ini untuk tahun…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments