kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kita kekal Pak Pandir, Pak Kadok dan Lebai Malang

Ada dua reaksi pembaca pada tulisan saya, Sabtu lalu yang menarik untuk difikirkan.

Pertama: “Apakah salahnya Senator Nallakarupan maka disuruh berhenti bercakap. Beliau seorang senator dan presiden sebuah parti baru kaum India. Penyokong kuat BN (Barisan Nasional) dan layak dicalonkan untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.”

Kedua, “Apa salahnya kalau PAS teringin sangat hendak memerintah negara ini. Apakah yang layak memerintah hanya UMNO dan BN saja?” Dalam tulisan itu, saya sebut ‘Orang seperti Senator Nallakarupan’ yang bermakna bukanlah hanya Nallakarupan seorang saja. Ramai lagi bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tak jemu-jemu mengungkit isu yang sama sudah berbulan-bulan, malah bertahun lamanya. Isu peribadi yang sudah basi. Argumennya lebih memperlihatkan luahan perasaan untuk membalas dendam peribadi yang tersemat di hati.

Akhirnya modal politik mereka tidak lagi jadi faktor yang akan menentukan sikap pengundi dalam pilihan raya akan datang. Serangan politik peribadi seperti ini yang melampau-lampau akan menjadikan orang muak dan mual dan terasa diperbodohkan, sedangkan bekas anak buah Datuk Seri Anwar Ibrahim ini tidak kelihatan berbuat apa-apa pun untuk kebaikan masyarakat dan bangsa. Akhirnya cara politik mereka ini akan menimbulkan kesan yang negatif kepada UMNO dan BN.

Untuk menarik sokongan rakyat, tidaklah bijaksana kiranya pemimpin berkempen melampau-lampau. Tidak baik jika tindakan kita akhirnya menimbulkan perasaan rakyat – lebih-lebih lagi generasi muda – seolah-olah mereka jahil politik. Kata orang, jangan jadi syok sendiri. Dalam hidup ini semuanya ada batasan. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Dalam pilihan raya kali ini yang dikatakan sangat kritikal, tidak boleh tersalah cakap dan tersilap langkah. Tidak boleh beriya-iya buka dada. Tak baik padahnya.

Bagaimanapun kenyataan politik bekas pemimpin PKR ini bukanlah perbuatan yang ‘salah’. Masing-masing ada hak dan bebas berkata-kata. Tetapi ‘eloklah berhenti’ kalau sekiranya ingin menyokong BN.

Bagi YB Nallakarupan, cara politiknya sekarang bukanlah jenis sumbangan yang diharapkan daripada seorang yang diberi elaun dan penghormatan untuk duduk di Dewan Negara. Pastilah jauh lebih baik kiranya beliau turun padang menyelesaikan masalah dihadapi buruh Tamil di ladang.

Cita-cita dan perjuangan PAS untuk menduduki Putrajaya pun tidak salah. Semua parti yang sah dari segi undang-undang, boleh saja berusaha untuk memerintah negara. Apa yang saya sebut dalam tulisan itu, cita-cita PAS itu telah menjadikan DAP parti paling kuat selepas PRU 2008. Sebabnya, cita-cita PAS itu tidak akan mungkin tercapai tanpa bergabung dengan DAP. Sebab itulah DAP berani menentang habis-habisan perjuangan asal PAS menegakkan Islam.

Dari segi DAP dan pakatan pembangkang pun PAS memang sangat penting. Malangnya PAS tidak mampu memanipulasi kekuatannya. Apa yang berlaku dalam pakatan tiga parti ini menampakkan PAS komponen yang lemah, meskipun pengaruhnya di Kedah, Terengganu dan Kelantan nampak masih utuh. Jika PAS mahu kedudukannya kukuh dan dihargai, pemimpinnya mestilah membuktikan kepada orang Melayu, mereka tidak lagi akan terus tunduk kepada DAP seperti Ketua PKR di Pulau Pinang.

Kedudukan PAS dalam pakatan pembangkang yang nampak semakin lemah. Walaupun boleh melemahkan kedudukan UMNO, parti itu belum memperlihatkan kemampuan untuk mengambil tempat UMNO meskipun 2008 berjaya menawan Kedah.

Semua orang tahu, masa depan kuasa politik Melayu dan juga Islam, bergantung kepada perpaduan atau kerjasama politik parti dan pertubuhan Melayu. Sebab itulah ada pemimpin mereka yang berusaha mengadakan kerjasama politik dengan UMNO. Malanglah orang Melayu tidak boleh mencontohi cara bukan Melayu memperjuangkan kepentingan kaum mereka.

Kebebalan politik kita pasti akan meruntuhkan kuasa Melayu. Pada waktu itu pemimpin Melayu yang gila kuasa sekarang ini sudah tidak ada lagi.

Dalam soal bahasa dan pendidikan Cina umpamanya, mereka tidak pernah berundur setapak pun, malah makin kukuh menapak ke depan. Orang Melayu? Dalam perkara titik bengik pun terus menyingsing lengan dan mendabik dada bagaikan jaguh kampung.

Mengapa kita tidak boleh bersatu – setidak-tidaknya dalam perkara penting yang akan menentukan masa depan bangsa kita? Mengapa kita masih mengamalkan politik Pak Pandir, Pak Kadok dan Lebai Malang? Mengapa kita tak mahu belajar daripada peristiwa zaman kekuasaan feudal yang menyebabkan bangsa kita dijajah dan hilang negeri yang tak akan dapat ditebus kembali selama-lamanya?

Saya telah memohon kepada Tuanku Raja Nazrin Shah supaya membukukan ucapan dan tulisan baginda yang pasti akan dapat membuka hati dan minda kita, terutama generasi muda.


Noor Azam Sumber: Berita Harian Online Rencana Ahad , 09 September 2012, 22 Syawal 1433 H
Tags: noor azam, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments