kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bahaya agenda tersembunyi

UTUSAN MALAYSIA: Dalam status twitter, saudara selalu kaitkan DAP dengan PAP, kenapa?

TAN KENG LIANG: Kalau kita lihat sejarah, DAP sebenarnya adalah cawangan di Semenanjung Malaysia bagi PAP, kerana dahulu Singapura adalah sebahagian daripada Malaysia , ini adalah fakta.

Apabila Singapura dikeluarkan dari Malaysia maka DAP ditubuhkan pada 1965 (didaftarkan dengan rasmi pada 1966). Pada tahun itu cawangan PAP semenanjung Malaysia dahulu dijadikan DAP. Maka DAP sebenarnya berasal dari cawangan PAP. Setiausaha Agung pertama DAP ialah Devan Nair iaitu dari 1965 hingga 1968. Dia juga pengasas kepada DAP walaupun kita juga dapat lihat Devan Nair ialah ahli PAP. Ini adalah dari sejarah.

Seterusnya, Devan Nair pada 1981 dilantik oleh (bekas Perdana Menteri Singapura), Lee Kuan Yew sebagai Presiden Singapura. Ramai orang tidak tahu siapa sebenarnya pengasas DAP dan apa kerjaya dia sebelum itu, kenapa Devan Nair dilantik sebagai presiden. Saya tak tahu apa hubungan sebenar DAP dan PAP sekarang, tetapi kerana saya tak tahu dan mereka tidak mahu jawab di twitter dan bila saya tanya orang yang berada di sekeliling Kit Siang mereka tidak mahu jawab, mereka senyap maka saya buat kaji selidik sendiri melalui sejarah. Bukan saya nak buat apa-apa tanggapan tapi biarlah kita teliti sendiri perkara ini.

Sejarah amat penting untuk lihat apa agenda dan perjuangan sebenar sebuah parti itu, memang mereka boleh kata apa sahaja secara retorik tetapi tingkah laku dan apa yang dibuat oleh mereka adalah lebih penting daripada retorik, jadi lihat dari sejarah.

Apakah ada kebenaran jika dikatakan ada pemimpin mereka yang impiannya suatu hari nanti adalah ke arah negara republik?

Saya tak tahu, kerana saya bukan mereka, hanya mereka boleh jawab, kita kena lihat daripada tingkah laku mereka. Untuk kita kata mereka mahu republik itu salah juga kerana tiada bukti. Kita akan hanya tahu bila mereka buat, itu pun kalau mereka buat atau berdaya untuk buat, selagi mereka tidak ambil Putrajaya kita tak tahu, tetapi adakah kita sebagai rakyat Malaysia mahu ambil risiko itu. Ini soal risiko, tapi saya bukan kata mereka mahu (republik).

Bendera Sang Saka Malaya jelas menunjukkan pengaruh bendera negara yang mengamalkan republik. Bagaimana saudara melihat pengaruh dalam pembangkang itu?

Saya tidak terkejut dengan mana-mana pihak pembangkang yang ingin buat bendera lain kerana sebelum ini pemimpin DAP telah berkata sekiranya pakatan pembangkang ambil alih Putrajaya mereka akan tukar bendera kita. Ini dilaporkan dan beliau juga telah memohon maaf, ini fakta. Mohon maaf itu soal peribadi dia, tetapi ia menunjukkan agenda yang terselindung mereka, saya tak kata DAP. Tapi dia pemimpin DAP, bila dia kata ertinya dia berhasrat, mohon maaf itu perkara lain tapi dia sudah tunjukkan hasrat. Memang pada waktu itu DAP ada pertikai kata ini bukan agenda kami...ya lah siapa mahu mengaku kerana waktu itu boleh kena Akta Hasutan. Itu dulu 2011 ,pemimpin DAP kata, tahun ini 2012 dikibarkan pula satu bendera masa Perhimpunan Janji Bersih yang disokong oleh pihak mereka. Dari sudut undang-undang di sini ada collaboration evidence atau terma undang-undang bermaksud bukti yang mengukuhkan lagi kenyataan kalau kita lihat dalam dua insiden ini.

Selain itu, kita lihat pemimpin pakatan seperti DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pula sokong, dia kata tak salah kibar. Dari segi sejarah reka bentuk bendera itu seolah-olah Indonesia campur Singapura macam nak buat satu negara Malaya Raya iaitu Indonesia, Singapura dan Malaysia. Jadi ia negara republik, tetapi ini andaian, tak tahulah mereka mahu atau tidak tetapi saya lihat seolah-olah begitu.

Kita juga dapat lihat, mereka cuba promosikan perjuangan KMM (Kesatuan Melayu Muda) yang ditubuhkan pada 1938. Dari sejarah, kita dapat lihat KMM akan menyokong mana-mana pihak yang dapat membantu mencapai matlamat politik mereka, ini termasuk mereka berpakat dengan Jepun. Jepun bantu membiayai ambil alih syarikat surat khabar propaganda di Singapura (iaitu Warta Malaya) untuk membantu mencapai matlamat mereka. Jadi kenapa nak sokong pihak oportunis seperti ini?

Saudara selalu menyatakan Perhimpunan Bersih adalah sesuatu yang ganas dan boleh menghancurkan negara. Dan kali ini berlaku lagi iaitu Himpunan Janji Bersih. Apa komen saudara?

Saya sudah katakan banyak kali iaitu sepatutnya buat perhimpunan di tempat yang sesuai seperti di stadium supaya tidak mengganggu orang lain. Sebelum ini tiga stadium pernah ditawarkan termasuk Stadium Merdeka oleh kerajaan tetapi mereka menolaknya.

Ini menunjukkan mereka terlalu ekstrem, jadi apa agenda mereka sebenar? Mereka selalu melampaui batas. Bersih juga berjanji untuk berhimpun secara aman tetapi keganasan berlaku hingga menyerang pihak polis, kenderaan media juga rosak, wartawan juga diserang.

Dari sejarah kita dapat lihat insiden 13 Mei bagaimana ia hampir memusnahkan negara kita. Insiden 13 Mei juga bermula dengan demonstrasi yang mahu dikatakan aman berarak tetapi akhirnya menjadi ganas kerana pasti ada dua pihak berlainan pendapat akan bertembung. Sama ada fahaman politik anda itu betul atau tidak itu bukan isu, tetapi mereka akan bertembung. Jadi jika pihak Bersih berarak, orang yang anti Bersih juga akan berarak, maka lihat apa akan jadi? Rakyat juga mahu lihat siapakah dalang di sebalik keganasan Bersih ini dan pihak itu harus dikenakan tindakan sewajarnya .

Di ambang merdeka, himpunan Janji Bersih yang kononnya mahu demokrasi tetapi orang mengibarkan bendera KMM. Adakah ini demokrasi yang mereka mahu? Adakah mereka mahu demokrasi Malaysia atau demokrasi republik?

Tetapi budaya berhimpun penyokong pembangkang nampaknya semakin buruk. Apakah puncanya?

Ini berlaku kerana orang yang menyokong mereka iaitu pemimpin pembangkang tidak halang. Betul mereka kata tidak sokong tetapi apakah tindakan mereka untuk cuba menghalang budaya sedemikian?

Pembangkang kena bertanggungjawab, sekurang-kurangnya memohon maaf atas tindakan penyokong mereka, tapi hingga kini mereka tidak berbuat demikian. Memang polis boleh ambil tindakan, tetapi pemimpin pembangkang perlu tunjukkan teladan yang baik dengan memohon maaf. Selama ini banyak kesalahan penyokong pembangkang tetapi pemimpin mereka tidak memohon maaf maka penyokongnya menganggap seolah-olah tidak salah dan mereka akan mengulangi perbuatan itu. Sebab itu demonstrasi ganas ini asyik berlaku di negara ini.

Bercakap tentang risiko, boleh jelaskan risiko besar yang ditanggung pengundi jika tersalah perhitungan dalam PRU13?

Kita kena teliti apa agenda sebenar pihak-pihak yang kita ingin sokong pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini. Kita tidak boleh menilai hanya dengan janji-janji mereka. Kalau kita lihat janji pakatan pembangkang di Buku Jingga, kita dapati bukan sahaja mereka tidak tunaikan tetapi dibuat secara bertentangan di negeri-negeri ditadbir pakatan.

Contohnya, isu kebebasan berpolitik bagi pelajar pengajian tinggi. Di Kedah, kerajaan negeri sekat kebebasan akademik dengan menggantung lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin), ini bertentangan dengan Buku Jingga. Kedua, dalamBuku Jingga kata hendak buat tender terbuka tetapi di negeri-negeri pakatan pembangkang banyak projek tidak dibuat secara tender terbuka dengan nilai menjangkau bilion ringgit. Sebab saya di Kedah jadi saya beri contoh di negeri ini. Saya sudah membongkar empat projek yang tidak dibuat secara tender terbuka iaitu kompleks beli belah Aman Sentral bernilai RM500 juta, Apartmen Amanpuri (RM109 juta), Sungai Limau Hidrokarbon Hub (Sulihh) bernilai RM36 bilion dan projek membina kampus Kuin di Kuala Ketil (RM360 juta).

Saya sudah menghantar memorandum kepada DSAI tetapi hingga hari ini dia tidak menjawab. Jadi mereka buat banyak perkara yang bertentangan, mereka janji satu perkara tapi buat perkara lain, takkan orang begini rakyat mahu sokong?

Contoh lain, sebelum pilihan raya 2008 Pas Kedah berjanji mahu mengekalkan tarif air dan mungkin menurunkannya tetapi apabila berkuasa Pas naikkan tarif air hingga 100 peratus pada 2010. Ada yang kata, naik 28 hingga 40 peratus naik, itu tidak tepat sebab bagi pengguna air kurang lapan meter padu tarif naik dari RM3 kepada RM6. Ini naik 100 peratus kepada pengguna air kecil. Mereka janji suatu perkara tetapi buat benda lain.

Ini juga berlaku di Pulau Pinang dan negeri pembangkang lain walaupun kononnya mereka telus dan bersih. Kita juga dapat lihat projek WiFi (Fasa 2) oleh kerajaan DAP Pulau Pinang yang bernilai berjuta ringgit dibuat tanpa tender terbuka. Alasan Ketua Menteri Pulau Pinang, hanya satu syarikat yang berminat, maka bagaimana mereka nak buat tender terbuka. Alasan ini tidak masuk akal. Bagaimana mereka tahu hanya satu syarikat berminat sedangkan tender terbuka tidak dibuat?

Saya bukan nak kata parti Barisan Nasional 100 peratus sempurna. Tapi jika kita bandingkan, kita boleh lihat jelas BN melakukannya jauh lebih baik untuk rakyat termasuk melakukan pelbagai transformasi untuk kesejahteraan dan keharmonian rakyat, bukan janji-janji kosong seperti mereka.


Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 10 September 2012 / 23 Syawal 1433

Tags: politik
Subscribe

  • Raja, rakyat dan perlembagaan

    TIDAK berapa lama dulu seorang diplomat Thai memberitahu bahawa saya tidak perlu menunjukkan pembesar dan pemimpin Thai berinsut di lantai ketika…

  • Perlembagaan Persekutuan bukan saluran pecat pemimpin

    SAYA terpanggil untuk berkongsi pandangan perundangan mengenai isu ini kerana sejak akhir-akhir ini, ada yang menyatakan pandangan dan tafsiran…

  • Hak kebebasan berhimpun

    DALAM masyarakat demokratik, rakyat memainkan peranan penting menyemak dan mengimbangi (check and balance) cabang-cabang kerajaan supaya tidak…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments