kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Keliru antara demokrasi dan anarki

Minggu ini Kunta Kinte nak bincang sekali lagi pasal demokrasi dan hantu. Mula-mula berkenaan demokrasi. Dengan tambah dekatnya masa untuk adakan pilihan raya umum, makin kerap jugalah kita dengar orang cakap berkenaan demokrasi.


Yang faham cakap, yang tak faham lagi kuat cakap. Inilah tabiat manusia, bila dia tahu sesuatu hal, dia akan cakap berhati-hati dan berhemah. Tapi selalunya orang yang tak tahulah yang paling banyak cakap pasal memang mudah apabila bantai keromo.


Jadi hari ini, banyaklah yang mengaku mereka amalkan demokrasi atau mereka demokratik. Mereka buat tunjuk perasaan. Ada yang buat cara sunat, ada yang cara makruh dan banyak juga yang cara haram. Ada yang aman, tapi lebih banyak yang kacau-bilau dan ganas.


Bagi Kunta Kinte, mudah saja. Apabila buat kerja haram, apatah lagi dengan cara yang ganas, itu bukan demokrasi lagi. Demonstrasi ganas dan provokasi adalah anarki. Bukanlah Kunta Kinte antitunjuk perasaan. Memang sifat manusia suka tunjuk perasaan. Pasal itulah bila seronok kita ketawa, bila sedih kita menangis.

Masa muda-muda dulu Kunta Kinte pun sekali dua ambil bahagian juga dalam tunjuk perasaan. Pada awal 1970-an, masa mengaji di New Zealand, Kunta Kinte ambil bahagian dalam tunjuk perasaan tentang perang Vietnam. Masa tu Kunta Kinte jadi hippie ikut-ikutan.

Tapi, apabila penunjuk perasaan ingkar arahan polis, bakar kereta, jahanamkan harta awam dan buat kerja tak senonoh, itu buka demokrasi lagi, itu sudah jadi anarki. Malangnya yang kata mereka tunjuk perasaan kerana mereka amalkan demokrasi atau kerana tuntut demokrasi, sebenarnya tak pun faham apa bendanya demokrasi, tak daftar jadi pemilih dan tak pernah keluar mengundi.

Mari kita ingat balik atau belajar sikit asal usul demokrasi. Demokrasi adalah gabungan dua perkataan Greek iaitu ‘demos’ yang bermaksud orang ramai dan ‘kratos’ bererti kuasa. Dalam bahasa Greek, gabungan dua perkataan itu jadi ‘demokratía’ yang secara umum bererti pemerintahan oleh rakyat jelata.


Itu lebih 2,400 tahun dulu. Lepas itu, macam-macam interpretasi dibagi kepada demokrasi dan macam-macam pula cara amalannya. Hatta negara komunis dan negara diktator pun kata mereka amalkan demokrasi dan bagi nama negara mereka democratic republic atau republik demokratik walaupun rakyat jelata tak pernah dibagi hak mengundi.

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, orang yang mengaku dia demokratik dan matang itulah selalunya tak demokratik dan tak matang. Hak dia, dia surah orang lain hormat. Suara dia, dia mahu orang lain dengar. Tapi dia sendiri tak hormat hak orang lain dan tolak terus hujah yang tak secocok dengan pandangan dia. Kalau kita demokratik, kita hormatilah hak orang lain. Kalau kita matang, kita dengarlah dulu hujah orang lain sebelum kita tolak.

Bagi Kunta Kinte, cerita pijak gambar, conteng poster, baling telur busuk – di utara kita panggil telur kemurok – persenda bendera negara dan perolok lagu kebangsaan adalah kerja orang yang tak matang. Bayangkanlah, masa tak ada kuasa pun dah pijak gambar orang itu dan ini, apabila ada kuasa apa pula yang agaknya mereka buat? Silap-silap kepala orang pun mereka pijak.

Ini bukan cara demokrasi yang matang dan bukan tindak tanduk orang yang waras. Ini adalah anarki dan perbuatan orang yang tohor fikiran dan cetek pengetahuan. Orang kalau dia betul-betul matang, dia tak bising satu kampung kata dia matang. Dia tunjuk dan buktikan kematangan dia melalui bahasa yang sopan dan tindakan yang berakal.

Demokrasi bukan sempurna. Kalau demokrasi sempurna, dan pilihan raya boleh selesaikan segala masalah, tak payahlah kita susah-susah buat pilihan raya empat, lima tahun sekali. Kita buat sekali cukuplah. Tapi dengan kita buat pilihan raya empat, lima tahun sekali, kita boleh pilih orang baru dan kerajaan baru kalau orang lama dan kerajaan lama tak baik atau tak tepati kehendak kita.

Yang Kunta Kinte rasa tak betul ialah cakap berapi pasal demokrasi, tapi tak pun daftar untuk mengundi. Kalau daftar pun tak keluar mengundi. Atau bila mengundi ikut hati, bukan ikut fikiran yang waras.

Tapi nak marah kepada pengundi saja pun tak kena juga. Memang ada wakil rakyat yang tak buat kerja atau buat kerja tak senonoh. Masa berkempen, sanggup tidur di bangsal, minum air telaga dan masuk hutan rimba. Janji dan ikrar perkara biasa. Tapi menang saja, hilanglah batang hidung. Janji ke mana, ikrar tak ada harga. Dengar-dengar dah kaya-raya. Apabila dekat pilihan raya, barulah nak turun padang tunjuk muka.

Wakil rakyat macam ni, Kunta Kinte kata, boleh pergi ke neraka. Minta ampun cakap kasar. Ungkapan itu Kunta Kinte pinjam daripada bahasa Inggeris, go to hell.

Berkenaan hantu, ceritanya pendek saja. Anak perempuan kawan Kunta Kinte berumur lima tahun tak dapat raya kerana demam. Kawan Kunta Kinte kata, dia demam sebab terkejut tengok jenazah atuknya.

Kawan Kunta Kinte itu mengaku anaknya ‘peminat’ cerita hantu saluran televisyen tempatan. Bila budak itu lihat jenazah atuknya yang sudah dikafankan, dia menjerit “pocong, pocong, pocong” dan terus demam. Itulah hebatnya kesan drama murahan ke atas masyarakat kita. Wallahualam.


Kunta Kinte Original Sumber: Berita Harian Online Rencana Isnin , 10 September 2012, 23 Syawal 1433 H
Tags: anarki, demokrasi, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments