kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pakej, ganjaran untuk guru

KEMENTERIAN Pelajaran akan memperkenalkan satu Pakej Kerjaya Guru baru dalam usaha memartabatkan keguruan sebagai profesion pilihan termasuk kaedah memberi ganjaran sepanjang tempoh kerjaya sebagai guru.

Menurut laporan awal pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sistem kenaikan pangkat berasaskan tempoh perkhidmatan 8:8:6:3 yang baru merupakan suatu penambahbaikan yang jelas lebih baik daripada sistem sebelumnya.

Katanya, sistem itu membolehkan guru dalam tempoh 25 tahun dinaikkan gred daripada DG41 kepada Gred DG54.

''Bagaimanapun, terdapat kemungkinan guru kurang berusaha untuk memperbaiki profesionalisme mereka secara berterusan kerana sistem ini masih terikat dengan tempoh perkhidmatan dan jangka waktu kenaikan pangkat selama 25 tahun juga terlalu lama.

''Oleh itu, sistem ini tidak akan dapat menyelesaikan isu dan cabaran semasa seperti kekurangan guru yang berpengalaman untuk membimbing guru baru," kata laporan awal itu.

Tambah laporan awal tersebut, cabaran lain kepada kemajuan kerjaya secara berkesan adalah instrumen utama yang digunakan dalam penilaian guru, iaitu Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT).

Katanya, sebagai contoh, daripada hampir 48,000 orang sampel guru yang diambil pada tahun 2010, lebih daripada 60 peratus responden telah digredkan dengan markah melebihi 90 peratus; 38 peratus (markah antara 70 hingga 90%) manakala dua peratus daripada responden mendapat markah bawah daripada 70 peratus.

''Ini menyebabkan kementerian menghadapi kesukaran menyediakan sokongan profesionalisme mengikut kumpulan sasaran yang tepat berdasarkan prestasi mereka.

''Namun, bagi mengatasi kesukaran ini, kementerian telah menyediakan beberapa instrumen lain seperti Standard Kualiti Pendidikan Malaysia: Standard 4 dan instrumen penilaian guru cemerlang, untuk membantu proses penilaian," ujar laporan awal itu.

Selain itu, tambah laporan awal berkenaan, bagi kaedah pemilihan calon dan syarat kelayakan minimum membuktikan sistem ambilan itu telah menghasilkan suatu anjakan penting dalam profil guru pelatih manakala bagi bagi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) ia memperlihatkan peningkatan dari segi tahap kemasukan.

Laporan awal itu menambah, bagi latihan pra perkhidmatan dan pembangunan profesionalisme berterusan, kementerian menyedari masih terdapat kekurangan seperti latihan amali yang terhad.

''Bagi pembangunan profesionalisme berterusan pula berada di tahap sangat baik apabila lebih daripada 90 peratus guru mengikuti program ini 10 hari setahun berbanding tujuh hari setahun seperti yang ditetapkan kerajaan," ujar laporan awal itu.

Kementerian juga telah meningkatkan saiz tenaga kerja keguruan bagi mengecilkan nisbah murid-guru pada kadar 13:1 iaitu lebih rendah secara signifikan daripada sistem yang berprestasi tinggi seperti Singapura (16:1), Korea Selatan (20:1) malah lebih rendah daripada purata Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) (16:1).

Kata laporan itu, bagi kualiti pengajaran, Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), telah menjalankan kajian kualitatif mengenai pengajaran guru melalui pemerhatian terhadap 125 pengajaran di 41 buah sekolah mendapati hanya 12 peratus daripada pengajaran disampaikan pada standard yang tinggi, 38 peratus pada tahap memuaskan manakala 50 peratus pada tahap tidak memuaskan.

''Pengajaran yang membosankan murid apabila guru lebih bergantung kepada kaedah syarahan yang pasif dalam menyampaikan kandungan mata pelajaran," menurut laporan tersebut.



 ASSIM HASSAN Sumber: Utusan Malaysia Online Pendidikan 12/09/2012

Tags: guru, pendidikan, transformasi
Subscribe

  • Teori asal usul nama Malaysia

    SEBELUM nama Malaysia, negara kita dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu. Selepas merdeka pada tahun 1957, namanya berubah kepada Persekutuan…

  • Penubuhan Malaysia penuh liku dan cabaran

    TARIKH 16 September 1963 adalah detik bersejarah buat negara ini. Ia menjadi realiti kepada gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul…

  • From Malaya to Malaysia

    Growth and evolution are natural and necessary in any federal set-up. AS we commemorate Malaysia Day, it is important to look back at the mileposts…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments