kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Prestasi tidak seiring perbelanjaan

PERBELANJAAN tinggi kerajaan dalam sektor pendidikan belum mencapai prestasi diharapkan di kalangan pelajar apabila Malaysia ketinggalan di belakang negara lain yang melaksanakan tahap perbelanjaan serupa atau lebih rendah.

Menurut laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015, sistem pendidikan yang melakukan pelaburan per murid lebih rendah berbanding Malaysia seperti Thailand dan Chile berupaya mencapai keberhasilan murid setanding atau lebih baik daripada negara ini.

Kata laporan itu, Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) 2009 menunjukkan dalam hubungan antara kekayaan dan prestasi murid, Malaysia tergolong di antara negara yang mencapai prestasi pendidikan pelajar lebih rendah daripada jangkaan berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam indeks yang ditunjukkan, Malaysia menduduki tangga kedua terbawah iaitu di atas Indonesia dan di bawah negara seperti Thailand, Mexico, Chile, Repulik Czech dan Turki.

"Sebagai negara membangun, Malaysia telah melaburkan sumber yang signifikan bagi pembangunan infrastruktur khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak dan meningkatkan saiz tenaga pengajar bagi membolehkan peningkatan akses kepada pendidikan.

"Bagaimanapun, Malaysia dilihat kurang berprestasi apabila dibandingkan dengan negara lain dengan KDNK per kapita yang serupa," kata laporan itu.


 RAJA SYAHRIR ABU BAKAR 

Sebagai contoh, laporan itu menyebut, kajian Bank Dunia mendapati perbelanjaan Malaysia pada pendidikan asas seperti prasekolah hingga menengah berbanding KDNK adalah melebihi dua kali ganda daripada negara ASEAN iaitu 3.8 peratus berbanding 1.8 peratus.

Nilai itu juga kata laporan tersebut adalah 1.6 peratus lebih tinggi daripada negara ekonomi Harimau Asia iaitu Korea, Hong Kong, Jepun dan Singapura dan purata.

Perbelanjaan negara itu juga adalah lebih tinggi berbanding purata perbelanjaan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) pada tahap 3.4 peratus.

Namun begitu, menurut laporan tersebut, perbelanjaan tinggi kerajaan telah diterjemahkan dalam bentuk perluasan akses kepada hampir sejagat bagi pendidikan rendah dan peningkatan signifikan akses di pendidikan menengah.

Tahap perbelanjaan lebih tinggi, jelas laporan itu, tidak semestinya dikaitkan dengan keberhasilan lebih baik apabila menyaksikan Amerika Syarikat membelanjakan RM31,035 per murid tetapi mencapai prestasi hampir dua band lebih rendah daripada sistem seperti Shanghai yang membelanjakan RM12,414 ke RM15,517 per murid.

"Melihat ke hadapan, amat penting bagi kita memahami faktor yang memacu keberhasilan ini supaya sistem pendidikan Malaysia dapat meningkatkan kejayaan dan mengurangkan, jika pun tidak menghapuskan kekurangan yang ada," kata laporan itu.

 
RAJA SYAHRIR ABU BAKAR Sumber: Utusan Malaysia Online Pendidikan 12/09/2012
Tags: pendidikan, pipp, transformasi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments