kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tiga fasa pembangunan

PENYEDIAAN Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012-2025 melibatkan tiga fasa yang diambil Kementerian Pelajaran dalam memastikan sistem pendidikan negara adalah konsisten, berkesan, dinamik serta memenuhi hasrat dan keperluan semua.

Menurut laporan awal pelan tersebut, fasa pertama yang diambil dalam penyediaan pelan itu adalah melibatkan kajian semula dan ujian menyeluruh tentang sistem pendidikan dengan membuat penilaian terperinci prestasi pendidikan selain memberi tumpuan terhadap keberhasilan murid.

Selain itu, tambah laporan berkenaan, fasa pertama turut mentaksir punca sebenar dan penggerak utama pencapaian tahap prestasi masa kini selain mengenal pasti kecemerlangan yang terdapat dalam sistem pendidikan sebagai model untuk dicontohi.

''Keberhasilan murid, penggerak utama, contoh kecemerlangan, kerja lapangan dan temu bual bersemuka, perbincangan berkumpulan dan bengkel merupakan antara kaedah yang digunakan pada fasa pertama penyediaan pelan tersebut.

''Hasil daripada kajian ini akan disahkan melalui proses penyemakan data (triangulasi) dengan beberapa sumber bebas seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Bank Dunia selain semua hasil tersebut dinilai secara kritikal oleh satu Jawatankuasa Khas yang terdiri daripada kumpulan pemimpin kanan kementerian," kata laporan itu.

Tambah laporan tersebut, bagi fasa kedua penyediaannya, pelan itu memberi tumpuan kepada penyediaan laporan awal dengan menggunakan input yang diperolehi dalam fasa pertama bagi mengenal pasti bidang keutamaan.

Katanya, fasa kedua turut memperincikan program transformasi yang komprehensif mengenai dasar dan inisiatif yang akan dilaksanakan bagi tempoh 13 tahun akan datang iaitu antara tahun 2013 hingga 2025.

''Fasa ini merangkumi Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) yang dijalankan pada April hingga Julai tahun ini dalam mendapatkan maklum balas dari orang awam. Selain itu penyediaan Makmal Pendidikan GTP 2.0 yang bakal dilaksanakan dari tahun 2013 hingga 2015 akan menjadi sebahagian daripada pembaharuan Gelombang 1 pelan tersebut meliputi seluruh tempoh 2013 hingga 2025.

''Kementerian Pelajaran kemudian akan mengkaji semua cadangan daripada DNPN dan Makmal Pendidikan GTP 2.0 itu dengan teliti," menurut laporan itu lagi.

Laporan awal itu menambah bahawa fasa ketiga penyediaan pelan tersebut akan memberi tumpuan untuk menyiapkan Pelan Pembangunan Pendidikan dengan melibatkan rundingan serta penglibatan dengan guru, ibu bapa, murid dan pihak berkepentingan yang lain bagi mendapatkan maklum balas mengenai laporan awal pelan berkenaan.

Katanya, rundingan awam secara meluas dan segala maklum balas itu akan disatukan pada penyerahan laporan akhir pelan berkenaan pertengahan Disember tahun ini.


Sumber: Utusan Malaysia Online Pendidikan 12/09/2012

Tags: kualiti, pendidikan, pipp
Subscribe

  • Mat Kelubi pahlawan yang dilupakan

    MENGKAJI sejarah perjuangan gerakan menentang campur tangan Inggeris dalam pemerintahan negeri Pahang pada hujung abad ke-19, ia tidak lengkap jika…

  • Mengenang tokoh pendidikan berjasa

    BUKU ditulis oleh bekas Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Khailani A. Jalil, adalah mengenai latar belakang 15 Ketua Pengarah…

  • Zaaba pencetus kebangkitan Melayu

    ZAABA atau nama asalnya Zainal Abidin Ahmad, seorang tokoh ilmuwan yang sangat dikenali rakyat dan mendapat sanjungan sebagai seorang pendeta.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments