kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Beri perhatian proses transformasi

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk menambah baik sistem pendidikan negara.

Terdahulu, laporan awal itu dibentang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran, memaparkan visi menyediakan sebuah sistem pendidikan dan menghasilkan pelajar yang diperlukan negara di samping langkah-langkah penambahbaikan yang perlu diambil untuk mencapai sasaran tersebut.

Mengikut laporan itu, Kementerian Pelajaran melancarkan semakan menyeluruh sistem pendidikan pada Oktober 2011 bagi membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) tersebut.

Dalam tempoh setahun, lebih 50,000 pegawai kementerian, guru, pengetua, ibu bapa, pelajar mahupun orang ramai terlibat dalam pelbagai sesi perbincangan sementara pihak kementerian sendiri telah melantik panel 12 pakar tempatan dan panel empat pakar antarabangsa bagi memberi input mengenai hasil semakan yang diterima.

Menerusi siri jelajah dialog pendidikan di seluruh negara, sebanyak 7,039 syor telah diterima daripada hampir 12,000 peserta yang mengambil bahagian selain 156 memorandum daripada pelbagai pertubuhan dan individu.

Lima aspek utama yang disasarkan dalam PPP adalah akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Pelan itu turut menyasarkan sifat-sifat pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran diwbahasa, beretika dan beragama, serta beridentiti kebangsaan dalam pembangunan para pelajar bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat global.

Kementerian Pelajaran juga berharap masyarakat memahami dengan jelas usaha kerajaan mengubah sistem pendidikan negara seterusnya memberi maklum balas mengenai laporan awal itu sebelum ia dimuktamadkan pada Disember ini.

Proses transformasi sistem pendidikan itu akan dilaksana dalam tempoh 13 tahun dengan Gelombang Pertama bermula dari 2013 hingga 2015 dengan tumpuan kepada peningkatan dalam kemahiran guru, kualiti pengajaran, keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah serta mutu kepimpinan sekolah.

Gelombang Kedua antara 2016 dan 2020 pula akan menyaksikan kesemua 410,000 guru dan 10,000 guru besar menikmati pakej perkara baharu sementara bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran distruktur semula dan kurikulum sekolah rendah serta menengah disemak semula agar sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia.

Gelombang Ketiga yang bermula pada 2021 hingga 2025 akan bergerak ke arah kecemerlangan menerusi operasi yang lebih fleksibel di mana semua sekolah, guru dan guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.

Bagi Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Hashim Adnan, PPP itu secara keseluruhannya satu transformasi yang besar dan hebat serta satu langkah bijak kerana semua aspek dalam kehidupan bermula dengan satu sistem pendidikan terbaik.

Menurut beliau, dari sekolah rendah, menengah sehingga ke universiti akan menentukan kualiti terbaik seseorang pelajar yang akhirnya akan menjamin kesejahteraan negara.

"Kalau sistem pendidikan tidak baik, maka hasil akhir kepada negara juga tentu tidak baik. Seperti mana guru yang baik menghasilkan murid yang baik, guru tidak baik pula tidak mungkin hasilkan murid yang baik.

"Kerajaan nampaknya cukup memandang berat. Ini bermula dari guru sendiri, tetapi organisasi di sekolah serta pengurusan peringkat daerah dan negeri juga perlu selari untuk menghasilkan guru dan murid yang baik kerana ia satu pakej," katanya.

Beliau merasakan kerajaan sedia memberikan yang terbaik kepada semua termasuk para guru sendiri berdasarkan apa yang dirancang dan dinyatakan dalam laporan awal tersebut.

Oleh itu, beliau menggesa guru-guru kini perlu sanggup berkorban jiwa dan raga untuk menjamin kualiti pelajar terbaik dicapai kerana nasib para guru juga sudah dibela.

"Berdasarkan apa yang dirancang, tidak boleh ada lagi pihak yang mempersoalkan beban guru, mahu balik cepat atau memikirkan kerja lain.

"Jiwa seorang guru perlu dipupuk dari terbit matahari sehingga tamat mengajar kerana ganjaran sewajarnya sudah disediakan," ujarnya.

Beliau juga tidak berasa bimbang akan kemampuan guru bersama menggerakkan transformasi pendidikan demi anak didik mereka selagi semua kebajikan mereka terjaga dan tidak timbul rasa tidak puas hati.

Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan turut memandang kebajikan anak-anak para guru yang berkelayakan dalam melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi seperti mana yang dinikmati anak-anak pasukan beruniform.

Hashim menyuarakan keyakinan warga pendidik akan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin apabila adanya kepuasan kerjaya dan jaminan pekerjaan dalam hidup mereka.

"Jika ada aspek dalam program transformasi ini yang guru kurang mampu sekalipun, kerajaan dan pihak kementerian boleh menyediakan kursus-kursus khas.

"Saya harap para murid, ibu bapa dan kerajaan juga perlu ada keyakinan terhadap dedikasi dan kemampuan warga pendidik di negara ini," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan beberapa kekurangan dalam sistem pendidikan turut diambil kira seperti pembangunan vokasional dan sukan, khususnya di kalangan pelajar yang lemah secara akademik.

"Kita boleh mencontohi Brazil yang mempunyai kemampuan sukan yang tinggi, semuanya hasil sistem pendidikan yang dilaksanakan.

"Pembangunan pendidikan sukan juga perlu dipelbagaikan dan bukan fokus kepada satu jenis sukan seperti badminton sahaja," katanya.

Beliau turut menyambut baik penyertaan aktif ibu bapa, masyarakat dan sektor swasta dalam pembangunan pelajar kerana sistem berasaskan peperiksaan semata-mata sudah tidak sesuai.

"Sistem pendidikan perlu meningkat. Lihat berapa ramai saintis kita ada, berapa ramai pula yang boleh dipasarkan ke seluruh dunia?

"Kalau sumber manusia kita berkualiti antarabangsa, baru nampak satu sistem pendidikan yang betul-betul berjaya," tegasnya.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim turut menyambut baik apa yang dibentangkan dalam laporan awal PPP itu tetapi menggesa aspek pelaksanaan diberi perhatian teliti.

"Kami berpuas hati serta teruja dengan apa yang telah dibentang dan akan dilaksanakan itu tetapi berharap satu sistem pemantauan yang baik dapat menyelia pelaksanaannya kelak bagi memastikan objektif dicapai.

"GPMS yakin dan percaya program ini dapat membawa Malaysia setanding dengan negara maju lain," katanya.

Beliau turut berharap warga sekolah dapat menerima transformasi yang dirancang itu demi masa depan para pelajar dan negara.

"Saya yakin para pelajar bersedia untuk terima apa yang dirancang dan tidak menganggapnya sebagai bebanan kerana pelajar kita juga ada kemampuan berfikir setaraf pelajar negara lain.

"Kita cadangkan mungkin satu taklimat persediaan khusus boleh diaturkan sebagai pengenalan awal kepada pelajar," ujarnya.

Beliau juga mahu semua pihak terlibat sama dalam mencapai objektif PPP khususnya ibu bapa, anggota masyarakat dan sektor swasta yang masing-masing dilihat masih menantikan apakah peranan yang boleh mereka mainkan.


NURUL ANUAR KARI anuar.kari@utusan.com.my  Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 14/09/2012

Tags: guru, kualiti, pendidikan, pipp
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments