kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Antara sejarah, mitos perayaan Kuih Bulan

BULAN itulah simbol perayaan Kuih Bulan yang disambut kaum Cina setiap tahun. Cahaya yang terang dan bulan mengambang penuh dengan diterangi tanglung-tanglung adalah satu lagi perayaan terpenting kaum Cina. Hari tersebut juga dikenali sebagai Pesta Perpaduan kerana bulan penuh akan muncul di langit. Bulan penuh melambangkan keluarga yang lengkap dan bersatu.

Perarakan tanglung dengan pelbagai bentuk binatang dan jenis-jenis kartun pada malam perayaan dengan sajian kuih bulan akan disambut pada 30 September 2012 tahun ini. Mengikut kalendar Cina ialah pada hari ke-15 pada bulan Ogos hingga akhir September. Asal usul perayaan Kuih Bulan mula diperkenalkan semasa Pesta Menuai di Dinasti Zhou. Sambutan ini diteruskan di istana semasa pemerintahan Dinasti Tang.

Maharaja pada masa itu akan berdoa terhadap bulan agar keluarga bersatu padu dan kedamaian negara dijamin. Amalan ini diteruskan semasa Dinasti Song disambut oleh raja dan rakyat seluruh negara dan diwariskan hingga kini. Terdapat sejarah dan mitos yang amat menarik sinonim dengan perayaan Kuih Bulan.

Sebelum kita berbicara tentang sejarah dan mitosnya, kita kenali Kuih Bulan sebagai satu hidangan istimewa pada perayaan ini. Kuih Bulan diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang merah, atau adunan biji teratai, atau kuning telur masin.

Kini, Kuih Bulan telah dimodenkan dengan pelbagai warna dan adunan dengan pelbagai perisa seperti pandan, durian, keladi dan macam-macam lagi. Terserempak juga kuih bulan yang dibuat dalam bentuk ais krim dan agar-agar dengan pelbagai warna dan bentuk tetapi masih mengekalkan konsep bulat seperti bulan. Kuih bulan bertemakan Angry Birds pun ada di pasaran hari ini.

Itulah penangan arus kemodenan. Kuih Bulan yang halal boleh juga dinikmati pelbagai bangsa dan ramai juga kawan saya berbangsa Melayu dan India minat makan kuih bulan. Harga kuih bulan sudah makin tinggi dan dikatakan kalau ada lebih intinya seperti kuning telur masin maka kini mencecah puluhan ringgit.

Selain itu, Kuih Bulan dihantar sebagai buah tangan kepada kaum keluarga dan sahabat handai amat digalakkan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Sejarah perayaan Kuih Bulan bukan sahaja dengan makan kuih bulan dan perarakan tanglung tetapi semangat perpaduan dan perjuangan yang tinggi dalam dua peristiwa yang berlaku. Peristiwa pertama tentang sejarah perjuangan rakyat China semasa Dinasti Yuan dan satu lagi mitos tentang Permaisuri Chang Er yang berada di bulan menjadi dewi yang berpegang kepada soal prinsip hidup dan kesetiaannya. Sejarah perjuangan pertama yang ingin saya kongsikan adalah tentang Dinasti Yuan.

Perayaan Kuih Bulan sangat berkait rapat dengan satu peristiwa sejarah dalam memperingati perjuangan rakyat China yang bangkit menuntut kebebasan di bawah pemerintahan Mongol yang menindas dan kejam. Kekejaman dalam pemerintahan Mongol memaksa pihak Ming bersepakat untuk memberontak memperjuangkan dinasti mereka.

Pemimpin Xhu Yuan Zhang dan pengikutnya, Liu Bo Wen telah menyelitkan sepucuk nota ke dalam kuih bulan kepada rakyat. Mesej yang diselit menerangkan cara-cara dan pesanan untuk rakyat bersatu menentang puak Mongol yang menindas mereka selama ini. Pemberontakan berjaya maka kuih bulan menjadi makanan kebanggaan dan simbol perjuangan keadilan dan juga dikenali sebagai perayaan Pertengahan Musim Luruh.

Pernahkah anda dengar tentang Permaisuri Chang Er di bulan? Apa kata kita cuba fokuskan penglihatan kita betul-betul terus kepada bulan pada 30 September ini. Ada tak bayangan dewi di dalam bulan? Benar atau tidak itulah mitos perayaan Kuih Bulan dengan cerita dongeng bahawa pada zaman purba, terdapat sepuluh buah matahari di langit. Sepuluh buah matahari menyebabkan cuaca yang terlalu terik dan menyebabkan rakyat hidup dalam kepanasan yang boleh membawa maut.

Semasa Zaman Dinasti Xia (2070 hingga 1600 Sebelum Masehi) seorang raja bernama Hou Yi ialah Raja Negeri Youqiong merupakan pahlawan yang gagah dan pandai memanah. Baginda disanjung kerana ada kuasa misteri dan berjaya memanah sembilan daripada sepuluh buah matahari itu.

Rakyat jelata amat gembira dan memuja Hou Yi yang menyelamatkan mereka daripada ancaman maut. Hou Yi mempunyai isteri yang jelita bernama Chang Er.

Hou Yi telah dihadiahkan ubat panjang umur oleh Permaisuri di Langit iaitu 'Wang Muniangniang'. Ubat panjang umur tersebut akan mengurniakan seseorang yang memakan ubat itu menjadi dewa atau dewi di kayangan. Hou Yi yang terlalu sayangkan permaisurinya tidak sanggup makan ubat panjang umur dan menyerahkan ubat tersebut untuk disimpan Chang Er.

Peristiwa itu ternampak oleh Peng Meng, seorang pengikut Hou Yi. Ketika Hou Yi keluar, Peng Meng telah memaksa Chang Er memberikan ubat panjang umur itu kepadanya. Chang Er mengetahui bahawa Peng Meng tidak jujur dan akan melakukan sesuatu kepada rakyat jelata jika menjadi dewa dan Chang Er terpaksa makan ubat tersebut untuk mengelakkan Peng Meng makan ubat panjang umur yang mempunyai agenda yang tersembunyi.

Chang Er terpaksa menelan ubat panjang umur kerana tidak mampu melawan Peng Meng dan akhirnya terus terbang dari bumi ke bulan dan menjadi dewi. Sekembalinya Hou Yi ke istana, para dayang menceritakan segalanya kepada kepada Hou Yi namun nasi sudah menjadi bubur. Chang Er telah pergi selama-lamanya menjadi dewi bulan.

Hou Yi berasa amat sedih, lalu menyeru permaisurinya di bulan kerana terlalu merinduinya. Baginda mendapati bulan pada malam itu sangat bulat, besar dan terang. Bayang permaisurinya yang bergerak di bulan pun dapat dilihatnya dengan jelas.

Setiap hari, Hou Yi berdoa untuk permaisurinya Chang Er di bulan dengan meletakkan makanan yang disukai oleh permaisurinya di tempat tertentu seperti bak kata pepatah "pungguk rindukan bulan".

Dewi Chang Er menjadi pujaan rakyat di atas kesanggupannya menelan ubat tersebut daripada jatuh ke tangan Peng Meng yang mempunyai agendanya tersendiri. Rakyat jelata juga beramai-ramai berdoa dengan meletakkan pelbagai jenis makanan, semoga Chang Er di bulan dapat memberikan kesejahteraan dan keamanan kepada rakyatnya.

Doa yang dilakukan beramai-ramai oleh kaum Cina akhirnya menjadi tradisi pada hari ke-15, bulan 8 menurut kalendar Cina. Akhirnya, menjadi perayaan dan tradisi rakyat China terhadap kesetiaan Dewi Chang Er yang berkorban demi rakyat dan negaranya. Sedih tetapi penuh dengan kesedaran yang boleh dijadikan pengajaran.

Terdapat banyak cerita dongeng yang berbeza-beza tentang asal-usul Pesta Kuih Bulan di China, tetapi makan kuih bulan merupakan satu perkara yang paling penting dalam Pesta Kuih Bulan ini.

Pada malam 15 haribulan bulan 8 menurut kalendar China, anggota keluarga akan berkumpul dan bersama-sama menikmati pemandangan bulan purnama yang indah sambil makan kuih bulan yang enak diterangi tanglung-tanglung untuk melihat Permaisuri Chang Er.

Pelbagai cara etnik China merayakan Pesta Kuih Bulan ini juga berbeza-beza namun niatnya tetap sama untuk memperjuangkan keamanan dan mengeratkan perpaduan. Sambutlah perayaan yang bermakna ini bersama-sama tanpa mengira bangsa dan agama. Kita menikmati Kuih Bulan, buah-buahan dan teh serta bermain tanglung bersama keluarga.

Setiap peristiwa yang berlaku ada sejarahnya perlu diingati dan dijadikan iktibar dan mitos dan legenda boleh dipelajari dan sebagai satu tradisi kebanggaan kaum Cina hingga ke anak cucu kita.

Namun kesukaan saya masih kepada perisa asli Kuih Bulan kerana yang asli itulah yang mengungkap seribu persoalan dan menjawab ketulenan sebenar sejarah, mitos dan legenda Kuih Bulan. Salam 1Hati.


DR. JESSICA ONG HAI LIAW ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 19 September 2012 / 3 Zulkaedah 1433

Tags: budaya, cina, kuih bulan
Subscribe

  • Pentaksiran: Pengajaran Berasaskan Data

    Perlu pentaksiran, pemerhatian prestasi murid selepas kembali belajar bersemuka (10/03/2021) kepada hampir lima juta pelajar di 10,223 sekolah…

  • Kejujuran dan Integriti Untuk Pemimpin

    Apabila anda melakukan sesuatu dengan penuh kejujuran, telus dan komitmen, input mencerminkan hasilnya. “ Kita selalu belajar tentang…

  • Pentaksiran Makluman Prestasi

    Perlu pentaksiran, pemerhatian prestasi murid selepas kembali belajar bersemuka (10/03/2021) kepada hampir lima juta pelajar di 10, 223…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments