kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Anjakan sedia guru berkualiti

PADA 11 September 2012 lalu sistem pendidikan negara menyingkap sejarah baru apabila Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang kemudian dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sejak sebelum merdeka, sistem pendidikan di Malaysia menempa banyak kemajuan sepanjang lebih lima dekad lalu. Bermula dengan Laporan Razak (1956), selepas itu Laporan Rahman Talib (1960), Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), penggubalan Akta Pendidikan 1996, hingga yang terakhir Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010).


Dan untuk pertama kalinya, dalam usaha mengajak rakyat bersama kerajaan bagi menyediakan pelan pendidikan baru, referendum dilaksanakan dengan siri dialog, konvensyen dan seminar diadakan di seluruh negara.

Sebanyak 11 anjakan digariskan, namun yang ingin difokuskan ialah anjakan keempat iaitu mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan.

Menjadi seorang guru adalah profesion yang amat tinggi darjatnya dalam masyarakat sejak dulu lagi. Watak utama kemerdekaan Tanah Melayu juga banyak dilakukan oleh golongan pendidik itu. Mereka adalah pemimpin, pemberi semangat, penunjuk jalan, malah menjadi penggerak utama dalam masyarakat di semua peringkat.

Mereka dianggap sebagai nadi dalam rantaian komuniti. Tanpa mereka ketika itu, masyarakat seolah-olah hilang pedoman dan mudah diperolok-olokkan penjajah. Kerana itu guru memperoleh kepercayaan tinggi yang diangkat masyarakat.

Langkah ini dilihat oleh Exco Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Mohammad Syazwannuddin Shaharuddin sebagai keputusan tepat dalam usaha menjadikan guru sebagai menjadi profesion pilihan. Katanya, kaedah itu dapat menggalakkan pelajar cemerlang baik peringkat sekolah mahupun universiti berminat menjadi guru.

“Guru akan lebih bersemangat dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga selain kepemimpinan sekolah juga menjadi antara fokus utama kementerian untuk mengubah sekolah. “Ini penting kerana pemimpin sekolah perlulah orang dihormati baik di kalangan guru mahupun masyarakat. Pemimpin sekolah inilah yang akan membimbing kreativiti guru dalam mengajar, bukan setakat menunggu arahan pihak atas,” katanya.

Bukan Pilihan Lagi Namun profesion itu kini bukan lagi pilihan, malah pernah suatu ketika ia menjadi pilihan terakhir graduan jika tiada kerjaya lain atau gagal memperoleh sebarang pekerjaan bersesuaian kelulusan yang ada.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng memberitahu Harian Metro bahawa ada segelintir guru ketika ini menjadikan profesion itu sebagai kerja tangkap muat semata-mata.

Katanya, mereka tiada jiwa sebagai seorang yang mahu mendidik anak bangsa menjadi orang berguna pada masa depan.

“Mereka tiada kriteria yang sepatutnya ada pada seorang guru seperti kasih sayang, bersedia dan yang paling menyedihkan menjadikan bidang perguruan sebagai batu loncatan saja.

“Sebahagian mereka tiada langsung minat kerana itulah kita dapat lihat beberapa kes yang menunjukkan bahawa mereka bertugas sambil lewa di kelas atau tidak kreatif mengajar seperti melepaskan batuk di tangga semata-mata,” katanya.

Kerana itu dalam gelombang pertama transformasi pelan ini dalam tempoh 2013-2015 matlamat kerajaan ialah mengubah sistem dengan memberi sokongan kepada guru dan penekanan kepada kemahiran teras seperti Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Kementerian akan memberi penekanan kepada fasa ini dengan menambah baik sistem dengan mempercepatkan perubahan kaedah pelaksanaan program.

Dalam tempoh pelaksanaan ini, tumpuan akan diberikan kepada kaedah peningkatan kualiti pengajaran dengan meningkatkan kemahiran guru sedia ada di dalam sistem, meningkatkan kualiti kepemimpinan sekolah dengan memperbaiki pendekatan pelantikan dan melatih pengetua/guru besar dan meningkatkan kadar literasi (BM dan BI serta numerasi menerusi program pemulihan yang intensif).


Kementerian juga akan mengukuhkan dan memberi pengupayaan kepada pegawai di peringkat negeri dan daerah untuk meningkatkan kualiti sokongan yang diberikan kepada kumpulan barisan hadapan ini.

“Menjelang akhir Gelombang 1, kementerian akan memastikan semua guru, pengetua atau guru besar dan sekolah mencapai tahap minimum standard kualiti yang dihasratkan,” demikian hasrat Muhyiddin ketika membentangkan laporan awal berkenaan.

Kata Timbalan Perdana Menteri, anjakan keempat itu adalah selari dengan pandangan sebahagian besar peserta Dialog Nasional Pendidikan Negara yang mahukan kualiti guru diberikan keutamaan.

Kerana itu, mengikut pelan berkenaan, kementerian akan mengetatkan syarat kemasukan ke latihan perguruan dengan mensasarkan hanya 30 peratus teratas daripada kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion perguruan. Kementerian akan mengukuhkan pembangunan kerjaya berterusan mereka dengan melaksanakan program pembangunan kerjaya secara ‘in situ’ di sekolah.

Tingkat Kecekapan Perancangan meningkatkan kecekapan kelompok ini tidak berhenti setakat itu saja sebaliknya bagi menyokong peningkatan prestasi mereka, kementerian akan menyediakan laluan kerjaya berasaskan kompetensi dan prestasi. Dalam hal ini, guru berprestasi tinggi akan berpeluang menikmati kenaikan pangkat bermula daripada gred DG41 sehingga DG54 dalam tempoh lebih singkat, iaitu kurang daripada 25 tahun - purata tempoh kenaikan pangkat secara ‘time-based’ yang baru.

Selain itu, kementerian akan memastikan guru memberikan tumpuan kepada fungsi teras pengajaran dengan mengurangkan beban pentadbiran - polemik hangat yang dikatakan sering menjadi masalah kepada guru yang dinaikkan pangkat kerana dibebankan dengan tugas yang ‘bertimbun-timbun’ sama ada dalam atau di luar waktu mengajar; memperluaskan laluan kerjaya guru untuk peranan kepemimpinan, pakar pengajaran dan pakar bidang khusus dan mempertimbangkan untuk mewujudkan satu skim pensijilan yang dikaitkan dengan penguasaan kecekapan guru. Apa pun ini adalah laporan awal, banyak lagi ruang boleh diperbaiki atau ditokok sebelum pelan itu dimuktamadkan Disember nanti.

Lok berkata, walaupun laporan ini masih dalam perancangan, namun pengambilan baru guru bermutu sudah pun bermula.

Penulis Wartawan Eksekutif Harian Metro 20 September 2012

Tags: guru, pipp, transformasi
Subscribe

  • Wise and Positive Words Jan 20

    Today's Inspirational Quote:"Do not wait; the time will never be 'just right.' Start where you stand, and work with whatever tools you may…

  • Wise and Positive Words Jan 7

    Today's Inspirational Quote:"Then give to the world the best you have, and the best will come back to you." -- Madeline Bridges…

  • Wise and Positive Words Jan 6

    Today's Inspirational Quote: "The self is not something ready-made, but something in continuous formation through choice of action." --…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments