kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tak patut salahkan kerajaan jika gagal

Daripada perbincangan politik di semua peringkat, rata-rata yakin Barisan Nasional (BN) akan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang akan diadakan pada bila-bila masa saja. Ada yang mengatakan Kedah dan Selangor yang kini dikuasai pembangkang akan dirampas semula, manakala Kelantan dan Pulau Pinang yang juga di bawah pembangkang akan menghadapi saingan sengit daripada. BN. Di negeri lain juga, cakap-cakap politik tidak pernah berhenti dengan pelbagai spekulasi.

Kebelakangan ini perbincangan mengenai calon agak ketara. Bagi BN, jika syarat calon yang boleh menang dipatuhi, ia lebih memudahkan BN memasuki medan pilihan raya. Dari segi isu, BN berada di depan. Slogan ‘Janji Ditepati’ menakutkan pembangkang. BN sudah menunaikan hampir semua janjinya kepada rakyat sedangkan pembangkang masih berhelah. Jika disenaraikan kebaikan yang dilaksanakan kerajaan berbanding pembangkang, tidak ada sebab rakyat memilih pembangkang. BN tidak begitu gusar dengan kedudukan di luar bandar yang kebanyakannya dianggap kawasan putih. Di kawasan bandar tertentu ialah kawasan hitam bagi BN, khasnya di kawasan majoriti pengundi Cina.

BN menghadapi masalah berpunca daripada tindakan pembangkang menanam politik kebencian terhadap kerajaan. Apa juga yang dilakukan oleh kerajaan cuba dinafikan kebaikannya. Pembangkang melakukan politik kebencian ini dengan mempengaruhi pemikiran rakyat pelbagai latar belakang dan stratafikasi sosial.

Bagi mereka dalam lingkungan berpendapatan rendah, pembangkang berjanji bulan dan bintang. Sebenarnya kumpulan ini tidak menuntut sesuatu yang di luar kemampuan mereka pun. Mereka hanya mengharapkan gaji yang lebih tinggi sedikit daripada sekarang, memiliki sebuah rumah yang sesuai dan dapat menjamin kebahagiaan keluarga. Kalau inilah tuntutan mereka, kerajaan sentiasa memenuhi permintaan mereka. Setiap kali Bajet dibentangkan, ada saja habuan untuk golongan ini. Di Malaysia, siapa yang rajin, boleh hidup mewah. Ramai penduduk bandar yang hidup mewah tetapi untuk lebih adil, mereka bekerja siang dan malam mengumpul harta dengan menjaja di gerai tepi jalan hinggalah membuka rangkaian restoran. Orang asing juga mengumpul banyak wang kerana mereka bekerja tanpa pengira penat lelah dan halangan masa.

Tidak ada siapa pun juga sepatutnya menyalahkan kerajaan jika tidak berjaya. Setiap orang, bukan saja dibenarkan, tetapi digalakkan berniaga. Kerajaan sudah banyak menyedia dan menyalurkan bantuan kepada golongan ini dan terbukti ramai antara mereka sudah pun berjaya.

Ada juga antara kumpulan rakyat yang tidak menyokong kerajaan kerana kecewa. Mereka mungkin berasakan dianaktirikan oleh majikan, tidak berpeluang naik pangkat dan sebagainya. Mereka tidak melihat kelemahan diri sendiri tetapi menyalahkan kerajaan. Jika pelajar universiti pula, mereka mungkin kecewa kerana tidak mendapat biasiswa, pinjaman dan sebagainya. Bila ada pihak yang cuba memberi harapan kepada golongan ini, mereka mudah terpengaruh dan sanggup melakukan apa saja. Mereka ditanam dengan sikap supaya membenci kerajaan. Pada mereka tidak ada satu kebaikan dilakukan kerajaan. Persepsi salah ini perlu diperbetulkan.

Dana diguna peralat rakyat

Pendedahan mengenai kegiatan Suara Inisiatif Sdn Bhd (SISB) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) serta ‘tangan hitam’ di belakang mereka, sebagaimana didedahkan media, menjawab banyak persoalan berkaitan pergolakan politik di negara ini. Dengan menerima dana berjuta ringgit termasuk daripada badan yang dikuasai penyangak mata wang, George Soros, menunjukkan pembabitan kuasa asing dalam mencorakkan suasana politik Malaysia. Gerakan halus mereka sudah pun berjaya mencetuskan huru-hara di beberapa negara, malah menukar kerajaan yang mereka tidak berkenan. Di Malaysia, tidak mustahil dana itu mereka gunakan untuk membiayai siri demonstrasi jalanan kononnya untuk memperjuangkan keadilan, hak asasi manusia dan sebagainya, sedangkan ia adalah percaturan Yahudi untuk menguasai minda masyarakat, seterusnya menyerahkan negara ini kepada orang yang mereka pilih untuk mereka jadikan ‘patung bernyawa.’ Belalang kesian pada rakyat, khasnya golongan muda yang diperkudakan oleh pemimpin NGO yang kebanyakannya ahli politik pembangkang ini.

Mereka mendapat wang yang banyak sedangkan rakyat yang menyokong mereka diperalatkan dengan cara paling murah. Dengan sehelai baju-T percuma dan sedikit wang saku, rakyat dan mereka yang sehaluan dengan pemikiran tuntutan semasa kononnya memperjuangkan keadilan dan demokrasi, diajak menganjurkan reformasi dan demonstrasi. Mereka yang ditangkap terpaksa menghadapi masalah dan tekanan. Belalang nasihatkan kepada penyokong pembangkang supaya insaflah kerana tindakan mereka itu sebenarnya mempertaruhkan sebuah negara.

Antara Tanda Putera dan Innocence of Muslims

Bila filem sejarah Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba hendak ditayangkan di pawagam di negara ini, ada segelintir manusia termasuk pemimpin pembangkang, membantahnya walaupun ceritanya berkisar kepada fakta sejarah. Tanda Putera dihasilkan setelah kajian mendalam dilakukan oleh Shuhaimi dan pasukannya termasuk mendapatkan dokumen rasmi dan menemu bual keluarga dan mereka yang berkenaan. Apa yang diceritakan dalam Tanda Putera sebahagian besarnya sudah diketahui umum. Ada antara mereka yang terbabit masih hidup dan boleh mengesahkan sesuatu peristiwa itu.


Tentunya, bantahan terhadap filem Innocence of Muslims yang diterbitkan Nakoula Basseley Nakoula mempunyai impak berbeza. Filem itu dibantah umat Islam seluruh dunia kerana jelas cubaan pengarahnya menghina Nabi Muhammad SAW. Filem dengan maklumat palsu itu menghina dan menyerang Islam secara terbuka. Ramai bukan Islam juga mengutuk filem itu kecuali segelintir manusia termasuk seorang yang bernama Datuk Ngeh Koo Ham yang mempersoalkan tindakan umat Islam membantah filem itu.

Apa pun, bantahan terhadap Tanda Putera dan Innocence of Muslims adalah berbeza. Tanda Putera yang mula diusahakan Shuhaimi sejak 2009 adalah lanjutan daripada usahanya mengarah filem sejarah bertajuk 1957: Hati Malaya. Belalang sudah menonton previu filem Tanda Putera dan mendapati ia amat sesuai ditayangkan. Filem itu menceritakan pengorbanan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Timbalannya, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang terpaksa menghadapi tekanan sewaktu dan selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Dalam keadaan kedua-dua mereka menderita kesakitan, mereka tetap tabah untuk mententeramkan keadaan negara. Tun Razak menerima kematian Tun Dr Ismail dengan begitu terharu, sedangkan beliau menjangkakan, beliau akan pergi dulu.


Mior Kamarul Shahid Sumber: Berita Harian Online Rencana Selasa , 25 September 2012, 9 Zulkaedah 1433 H
Tags: melayu, pru, sejarah
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments