kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pemberi rasuah mesti diperangi

Apakah masyarakat tahu bahawa perbuatan memberi rasuah adalah satu jenayah. Kesalahan pemberi adalah sama dengan penerima dan jika disabitkan, seseorang itu berhadapan hukuman berat termasuk penjara dan denda. Rupa-rupanya ada juga antara kita tidak mengetahui bahawa memberi rasuah itu suatu kesalahan jenayah.

Ada juga pandangan segelintir masyarakat bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mengambil tindakan ke atas penerima rasuah saja. Selama ini, masyarakat awam seolah-olah melupakan pihak yang memberi rasuah juga sama jijiknya di sisi undang-undang dan moral.


Seperti kata pepatah ‘bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi’. Jika tiada pemberi, tiadalah penerimanya. Penulis ingin mengingatkan bahawa Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 jelas memperuntukkan perbuatan memberi suapan rasuah adalah kesalahan serius. Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 menetapkan perbuatan memberi atau menawarkan rasuah sama beratnya dengan kesalahan menerima rasuah.


Mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, memberi atau menawarkan rasuah adalah kesalahan yang boleh dihukum sama berat dengan kesalahan Seksyen 17(a) iaitu menerima rasuah, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan jika suapan dapat dinilai atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

SPRM juga sudah melancarkan kempen membanteras rasuah yang turut memberi tumpuan kepada pemberi sogokan berbanding fokus utama kepada penerima sebelum ini yang kebanyakannya membabitkan penjawat awam.

Kita perlu ingat bahawa penerimaan hadiah boleh bertukar menjadi rasuah jika dalam proses pemberian berkenaan ada unsur ‘niat jahat’ untuk mendapatkan sesuatu balasan daripada penerima sebagai pelaburan untuk mendapat sesuatu pada masa akan datang.

Sesuatu pemberian atau penerimaan yang mempunyai ciri ‘niat jahat’ boleh dikesan dan dinilai dalam keadaan yang luar biasa dan tidak munasabah. Pemberi perlu ingat bahawa perbuatan memberi ini amat berbahaya kerana penerima boleh menyimpan bukti yang mencukupi untuk digunakan pada masa depan. Penerima jika berasa terancam juga akan menggunakan maklumat sedia ada untuk membuat laporan kepada SPRM serta-merta. Apabila sesuatu membabitkan wang ringgit, ‘kawan’ yang pernah tidur sebantal pun tidak dipedulikan.


Dari sudut agama pula, perbuatan mereka ini dimurkai Allah SWT dan dilarang keras oleh Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka.”

Penulis juga ingin mengingatkan bahawa kita perlu berbalik kepada soal moral dan integriti. Jika ditahan kerana melakukan kesalahan, kita perlu bersedia untuk membayar kompaun atau pergi ke mahkamah, jangan beri rasuah. Cuba elak daripada melakukan kesalahan supaya kita tidak terjebak dalam amalan yang tidak baik ini.

Pada pihak penjawat awam, kempen kesedaran berhubung kewajipan melaporkan apa juga sogokan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 akan ditekankan dalam kempen menerusi media massa. Seksyen ini menghendaki setiap cubaan sogokan wajib dilaporkan kepada SPRM atau polis serta-merta.

Namun begitu, kajian ahli kriminologi menjelaskan bahawa rasuah adalah jenayah tertua dunia sebaris dengan pelacuran. Daripada sepuluh kes rasuah yang berlaku hanya satu saja dilaporkan. Kedua-dua pihak sama ada pemberi atau penerima mendapat faedah daripada kesalahan jenayah ini. Kedua-dua pihak bersetuju dan berpuas hati dengan syarat yang ditetapkan bersama.

Balasan Allah SWT kepada mereka yang menerima dan makan rasuah terlalu berat. Balasannya, kadang-kadang Allah tunjukkan di atas dunia lagi, kehilangan harta benda dan harta penerimaan hasil dari rasuah itu dihabiskan oleh anak dalam sekelip mata. Ada kalanya pula, Allah menangguhkan balasannya itu hingga Hari Akhirat kelak, tunggulah!

Kecenderungan rasuah berpunca daripada ceteknya pengetahuan agama, kurangnya iman dan takwa, naluri tamak, desakan kebendaan dan untuk memuaskan nafsu semata-mata. Ibnu Khaldun dalam karya agungnya bertajuk Muqaddimah mengaitkan rasuah dengan persoalan moral dan keinginan untuk mengecap kemewahan hidup berlebihan mendorong mereka yang mempunyai kuasa untuk terjebak dalam amalan rasuah.

Antara kesan buruk gejala rasuah ia menimbulkan masalah seperti kemerosotan ekonomi, ketidakadilan, pengabaian kepentingan masyarakat dan hukuman yang menanti adalah berat dan akhirnya boleh meruntuhkan sesebuah negara.




Akhbar Satar Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP Sumber: Berita Harian Online Rencana Jumaat , 28 September 2012, 12 Zulkaedah 1433 H
Tags: integriti, rasuah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments