kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tradisi berkongsi isteri - Poliandri

DUNIA Tersembunyi hampir ke penghujungnya bulan ini. Menghampiri ke garisan penamat, proses untuk menyiapkan suntingan dan pascaproduksi setiap episod amat mencabar lantaran mencari paparan terbaik untuk penonton TV3.

Ketika memulakan suntingan episod malam ini dua minggu lalu, pengalaman ‘menarik’ dan ‘serik’ menggamit emosi dan fikiran ketika proses penggambaran di Kaza, wilayah Himachal Pradesh.

Kembara kami ke kawasan paling utara di India itu sekitar Julai tahun lalu untuk mengenali salah satu budaya silam yang masih diamalkan sehingga kini iaitu Poliandri.

Tidak seperti poligami, Poliandri membenarkan wanita untuk memiliki lebih daripada seorang suami. Lebih unik, suaminya pula mempunyai pertalian persaudaraan atau adik-beradik.

Sungguhpun ia dilarang pihak berkuasa, namun bukan mudah menghalang tradisi yang sudah bercambah sejak ratusan tahun itu.


Apakah alasan kewujudannya dan kenapa ia masih diamalkan meskipun sedar mengenai larangan? Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Poliandri, jangan lupa menyaksikannya jam 9 malam ini.

Lokasi Kaza yang terletak di banjaran Himalaya dan bersempadan Tibet turut dikenali kawasan gurun tanah tinggi. Lantaran kedudukan geografinya di pergunungan, bukan mudah untuk menjejakinya.

Sepanjang pengalaman enam tahun sebagai wartawan penyiaran, saya mengakui ia pengalaman paling berharga yang banyak mengajar erti sabar dan sentiasa teguh memberi semangat kepada rakan sekerja yang lain.

Kembara kami bermula di New Delhi menuju ke Manali, ‘pintu masuk’ Himachal Pradesh. Perjalanan dijadual selama 16 jam berakhir 20 jam lantaran bas persiaran yang kami naiki mengalami kerosakan.

Tiba di Manali, kami terpaksa bermalam untuk meneruskan perjalanan panjang ke Kaza yang memakan masa 10 jam sejauh lebih 200 kilometer menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Kami diduga lagi sewaktu memulakan kembara pada keesokan hari.Kenderaan yang kami naiki rosak di tebing curam Lembah Kullu dalam suasana teramat dingin.

Menanti selama dua jam untuk proses baik pulih, kami meneruskan perjalanan dan terpaksa melalui Rohtang, kawasan cerun curam dan diklasifikasikan sebagai jalan paling berbahaya di dunia. 

Cerun setinggi 7,000 kaki seakan-akan ‘menanti’ mangsa lantaran tiada tebing keselamatan. Bahkan, merentasinya dalam suasana berkabus dan hujan gerimis mendedahkan kami kepada risiko gelongsoran tanah tinggi.

Lebih memburukkan keadaan apabila kami terperang–kap dalam kesesakan lalu lintas di tebing curam selama tiga jam ekoran jalan sempit dengan deretan lori muatan besar.

Disangkakan dugaan sudah berakhir, rupanya apa yang kami khuatiri benar-benar terjadi. Tanah dan batuan runtuh berpunca daripada glasier mencair dan menyekat laluan utama amat menguji emosi kami.

Proses membaik pulih jalan mengambil masa lama, hari semakin kelam dan perjalanan masih di pertengahan menyebabkan kami hampir hilang arah serta semangat makin merudum.

Mujur, saya bekerjasama dengan tenaga mahir yang amat berpengalaman dalam produksi kembara iaitu jurukamera Abdul Rahman Salim dan penyunting Mohamad Azlan Mohamed Nor secara langsung menjadi kekuatan produksi ini bagi meneruskan misi ke lokasi yang dituju.

Akhirnya selepas menempuh perjalanan selama 22 jam, kami tiba juga di Kaza. 

Menyaksikan pemandangan luar biasa yang tersembunyi di kawasan terpencil ini sedikit mengubat lara kami sepanjang menempuh dugaan. Malah, timbul perasaan bangga kerana berjaya mengenali dan mendekati tradisi ‘berkongsi isteri’ yang diamalkan etnik Spiti.




Oleh Mohd Raziff Zulkafli am@hmetro.com.my Sumber: myMetro Rap Isnin, 01 Oktober 2012
Tags: budaya, poliandri
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments