kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Wanita lebih terjamin - Poliandri

SEWAKTU Tashi Sangmo berusia 17 tahun, dia mengahwini jirannya yang berusia 14 tahun di sebuah perkampungan terpencil kawasan pergunungan Himalaya di Nepal.

Sebagai sebahagian daripada pakej perkahwinan itu, dia juga bersetuju untuk mengahwini adik lelaki suaminya itu. 

Di zaman dahulu, anak lelaki hampir semua keluarga di rantau Upper Dolpa sama-sama mengahwini seorang wanita, tetapi amalan poliandri (mempunyai lebih daripada seorang suami pada satu-satu masa) kian pupus apabila rantau terbabit mulai menempuh kehidupan moden. 

“Lebih mudah dengan cara ini kerana semua perkara yang kami miliki berada dalam satu keluarga.

“Ia tak perlu dibahagi-bahagikan kepada isteri yang ramai dan sayalah yang menguruskannya. Dua adik-beradik lelaki membawa balik wang dan sayalah yang menentukan apa yang mahu dilakukan dengan wang itu,” kata Sangmo yang bercakap dalam dialek Tibet dan berkomunikasi menerusi seorang penterjemah.


Apabila Sangmo mengahwini Mingmar Lama 14 tahun lalu, difahami bahawa adik suaminya, Pasang yang ketika itu berusia 11 tahun, akan menyertai perkahwinan itu di kemudian hari. 

Amalan berkurun lamanya ini hanya wujud di beberapa perkampungan terpencil di Himalaya. 

Menerusi perkahwinan terbabit, mereka kini mempunyai tiga anak lelaki berusia lapan, enam dan empat tahun. 

“Saya mahu berkongsi ikatan ini dengan abang saya kerana hidup ini lebih mudah untuk kami berdua,” kata Pasang, 25, yang berbual di rumah keluarganya di kampung Simen, kira-kira 4,000 meter (13,000 kaki) di atas paras laut dan mengambil masa lima hari berjalan kaki dari pekan berhampiran. 

Secara tradisionalnya, sebahagian daripada kelompok peniaga memenuhi laluan di antara Nepal dan Tibet. Masyarakat Upper Dolpa juga masih mengikuti laluan dagangan terbabit yang mana kelompok haiwan yang mereka gunakan mengangkut garam dari Tibet dan beras dari selatan dataran Terai. 

Di kawasan tinggi berkenaan, tanahnya berhadapan dengan kekurangan bekalan dan ladang pula kecil. 

Namun poliandri menghalang amalan setiap generasi daripada membahagikan harta milik mereka dan bekalan makanan pula hanya mencukupi untuk memenuhi keperluan asas penduduk setempat. 

Lazimnya, urusan perkahwinan diatur dengan sebuah keluarga memilih isteri untuk anak lelaki sulung mereka dan memberi peluang kepada adik lelaki untuk mengahwini si isteri itu kelak. 

Dalam kebanyakan kes, isteri membantu untuk memelihara bakal suaminya dengan melakukan hubungan seksual apabila mereka dianggap sudah cukup matang. 

Tidak seperti kebanyakan lelaki dalam keluarga konservatif Nepal, golongan lelaki dalam perkahwinan poliandri mengendalikan kerja rumah iaitu dengan membantu kerja di dapur dan menjaga anak manakala wanita menguruskan wang. 

Pengamal poliandri biasanya tidak menentukan suami yang mana satu sebagai bapa kandung. Anak-anak pula memanggil bapa dan bapa saudara sebagai “ayah”. 

Poliandri turut dianggap memecahkan banyak tabu seksual Barat dan sering mencuri perhatian orang asing, tetapi bagi masyarakat tempatan, ia dilihat sesuatu yang semula jadi dan memberi manfaat. 

Shitar Dorje, 30, mengahwini suaminya yang berumur 37 tahun, Karma, kira-kira sedekad lalu. 

Adik lelaki Karma, Pema menyertai perkahwinan mereka beberapa tahun kemudian selepas menamatkan pengajian dalam bidang falsafah Buddha. 

“Sekiranya kami semua berada dalam rumah pada masa yang sama, abang saya akan tidur dengan isteri saya,” kata Pema, 30. 

“Dalam kes saya, tiada sebarang rasa cemburu. Saya tak rasa kecewa apabila abang saya bersama isteri saya dalam rumah yang saya. Jika saya cemburu, saya akan keluar dan berkahwin dengan orang lain,” kata Pema. 

Kehidupan begitu ringkas, tetapi sukar di Upper Dolpa, kira-kira 500 kilometer (300 batu) daripada kesibukan ibu kota, Kathmandu. 

Sanitasi begitu buruk, penjagaan kesihatan moden hampir tiada dan wanita bekerja sepanjang hari dengan memecahkan batu atau bertani di bawah terik matahari. 

Poliandri berjalan lancar apabila ada pembahagian kerja di kalangan adik-beradik lelaki, seorang menjaga ternakan, seorang membantu isteri di ladang dan seorang lagi menyertai kelompok peniaga. 

Ramai juga melihatnya sebagai satu bentuk jaminan hidup iaitu wanita tidak akan ditinggalkan sendirian sekiranya suami meninggal dunia. 

Menurut pertubuhan amal Belanda, SNV yang mempunyai kaitan kukuh dengan perkembangan lokasi terbabit, jangka hayat untuk lelaki hanya kira-kira 48 tahun dan wanita pula 46 tahun. 

Thajom Gurung, 60, dari kampung terpencil Saldang, kematian suaminya, Choldung akibat kanser kira-kira 30 tahun lalu. 

Tetapi dia sudah pun mengahwini dua abang suaminya dan kini tinggal bersama seorang abang yang masih hidup, Choyocap, 67. 

“Apabila kami semua bersama di rumah, kami bergilir-gilir tidur bersama isteri saya. Tiada siapa yang bimbang mengenai perkara ini,” kata Choyocap. 

Sehinggalah baru-baru ini, cara hidup Upper Dolpa yang mulai pupus di tempat lain itu mula mencambah minat di bidang pelancongan di kawasan yang dulu langsung tidak dipedulikan. 

Di bahagian bumbung rumah batu yang dulu hanya tergantung bendera untuk sembahyang, kini piring satelit kian banyak. Ini sekali gus membolehkan masyarakat Dolpa mengintai kehidupan dunia moden yang mana gambaran hidup yang romantik begitu jauh berbeza daripada kehidupan yang mereka lalui. 

Menurut SNV, meskipun 80 peratus isi rumah mengamalkan poliandri satu generasi lalu, angkanya kini dalam nisbah satu kepada lima. Ia dijangka akan pupus mungkin dalam tempoh dua generasi lagi. 

Namun buat masa ini, amalan itu terus utuh di kalangan generasi yang menyifatkan perkahwinan sebagai sesuatu yang pragmatik dan satu kelangsungan hidup di salah satu bahagian dunia yang paling mencabar persekitarannya itu. 

“Poliandri sebenarnya menghimpunkan keluarga bersama apabila kehidupan begitu sukar. Dengan ramai adik-beradik lelaki, isi rumah bertambah kuat dan anak-anak mempunyai masa depan yang lebih baik,” kata Choyocap Gurung - AFP



Sumber: myMetro Hati Isnin, 01 Oktober 2012
Tags: budaya, poliandri
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments