kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kerangka berfikir secara Islami, terapkan nilai ilmu

BILA mana Jibril memeluk Muhammad SAW dengan kuat lalu dilepaskannya seraya berkata: "Bacalah". Muhammad SAW berkata, dia tidak mampu membacanya. Terus Jibril memeluk tetapi kali ini dengan lebih erat lalu kembali berkata "bacalah", namun Muhammad SAW tetap berkata: "Aku tidak boleh membaca". Kali ketiga Jibril memeluknya sehingga sesak dada baginda, sempit paru-parunya. Jibril melepaskan kemudian berkata:



"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Rabbmulah Yang Paling Pemurah. Yang mengajarkan (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya" (Al Alaq : 1-5)



Demikianlah watikah pertabalan yang diterima oleh Muhammad Bin Abdullah sebagai utusan Allah yang membawa wahyu dari langit. Baginda menggalas sebuah gagasan pencerahan iman dan mencerdikkan umat. Lihat sahaja perintah pertama yang baginda terima daripada Jibril adalah perintah membaca. Begitu juga wahyu pertama dari Allah Ta'ala adalah perintah membaca menggunakan nama-Nya.

Bermula dari saat itu, Nabi menyeru kaumnya agar beriman kepada Allah secara bersih murni tanpa mengharap terhadap segala tandingan lain. Baginda memerangi syirik dan menumpaskannya. Segalanya dijalankan atas dasar ilmu sehinggakan bagi setiap manusia yang boleh berfikir pasti dia akan memeluk Islam.

Islam adalah agama yang menekankan perihal ilmu dan Allah wajibkan kepada seluruh umat ini agar menuntut ilmu. Nabi bersabda: "menuntut ilmu itu adalah kewajipan setiap muslim" (Hadis Ibnu Majah). Dari seluruh cabang ilmu yang wajib dipelajari adalah ilmu akidah dan ilmu tentang ibadah fardu ain seperti solat, puasa, zakat, haji dan al-Quran.

Syirik lambang kebodohan

SEMENTARA itu, syirik adalah lambang kebodohan yang paling hina sejak zaman berzaman. Bagaimana mungkin dikatakan syirik adalah lambang kejahilan? Ini kerana hanya orang yang paling bodoh akan melakukan perkara itu. Ambil contoh seorang peniaga yang menggantungkan sebuah bingkai yang mengandungi wafa' iaitu huruf-huruf atau simbol-simbol yang tidak boleh dibaca tetapi dibuat sebegitu atas suatu makna, dan makna yang selalu dimaksudkan adalah untuk melariskan jualan. Perbuatan ini banyak dilakukan oleh kaum muslimin, selalunya boleh dilihat di kaunter pembayaran.

Begitu juga ada daripada sebahagian manusia meletakkan patung kucing yang menghadap pintu sebagai memenuhi niat agar kedainya akan selalu mendapat pelanggan. Ditakdirkan kedai tersebut hangus dijilat api, lalu apakah wafa' dan patung kucing tadi boleh melompat keluar dan menyelamatkan 'diri'?

Wafa' akan hangus di dinding sementara patung kucing akan lebur sewaktu tangannya masih menggamit-gamit. Justeru bukankah ini petunjuk bahawa pelaku syirik adalah manusia yang paling hina lagi bodoh tatkala dia mengharapkan sesuatu yang tidak boleh memberi manfaat malah benda tersebut pun tidak mampu menjaga dirinya sendiri.

Begitu juga mempercayai adanya manusia sebagai anak tuhan, atau menganggap tuhan itu seperti diri kita: kulitnya sama kita, rupanya saling tak tumpah dengan bangsa kita, atau menganggap "arwah" memiliki kuasa lalu disajikan buah limau dan sebagainya. Semua ini dilakukan apabila kebodohan bertapak kental dalam diri seseorang.

Walhal Tuhan tidaklah sama seperti makhluk. "Dia tidak menyerupai sesuatupun iaitu dari makhlukNya baik dari satu segi mahupun dari semua segi, dan tidak ada sesuatupun yang menyerupaiNya, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat" (surah As-Syura :Ayat 11)

Ilmu menghasilkan kekayaan

JELASLAH kebodohan adalah musuh utama kepada Islam dan kehidupan, oleh kerana itu Rasulullah SAW melawan kebodohan tersebut, terutama kebodohan yang bawah sekali iaitu syirik. Para sahabat yang memeluk Islam terus mendalami ilmu agama dengan datang menghadiri kuliah pengajian. Semasa fasa Makkah, para sahabat datang ke rumah Al Arqam. Mereka belajar tentang iman dan Islam.

Tatkala di fasa Madinah, mereka menuai buah ilmu di Masjid Nabi. Umar Al Khattab yang tinggal di kawasan Bani Umayyah Bin Zaid - sebuah desa di pinggiran Madinah - akan bergilir-gilir menghadiri kuliah dengan jirannya seorang Ansar. Sehari dia pergi dan jirannya bekerja, esoknya Umar pula yang bekerja sementara jirannya pula yang belajar. Begitulah kehidupan para murid Rasulullah SAW. (lihat Shahih Bukhari hadis no 89). Para Sahabiyah tidak mahu ketinggalan, mereka meminta Rasulullah SAW mengajar pada hari yang khusus untuk kaum wanita. (lihat Shahih Bukhari hadis no 101)

Penerapan nilai ilmu tidak terhenti di sekitar itu sahaja, malah termasuk dalam waktu perang. Allah memerintahkan sekelompok kaum Muslimin tetap tinggal dari ikut serta peperangan agar mereka mempelajari ilmu dan mengajar ilmu tersebut kepada para tentera setelah tamat peperangan. Para tawanan perang yang ingin menebus diri diberi dua pilihan iaitu membayar denda sebanyak RM700,000 sehingga RM2.8 juta bergantung kepada kedudukan tawanan atau mengajarkan anak-anak kaum Muslimin.

Oleh kerana giatnya aktiviti menuntut ilmu dalam kalangan para sahabat; akhirnya seluruh Semenanjung Arab dapat dikuasai oleh mereka sekitar 30 tahun sahaja selepas kewafatan Rasulullah SAW. Satu jangka waktu yang sangat pendek. Bukan sekadar kuasa sahaja yang mereka miliki tetapi kekayaan juga mengalir di celah-celah jari mereka.

Umum mengetahui bahawa Abdurrahman Auf dan Zubair Al Awwam adalah antara sahabat yang terkaya, tetapi berapakah hartanya? Kiraan kasar harta yang diwariskan oleh Abdurrahman adalah sekitar RM1 .6 bilion kepada isteri dan anaknya, walhal dia datang ke Madinah dengan tidak membawa apa-apa. Begitu juga Zubair datang ke Madinah dengan seekor kuda namun dia meninggalkan RM3.5 bilion. Abdullah Bin Zubair menceritakan tentang harta bapanya: "semua hartanya ada 5200,000 dinar" (Hadis Bukhari).

Kaedah berfikir

ISLAM bukan semata-mata mengajak umatnya menuntut ilmu fardu ain sebaliknya mengajar kaedah berfikir. Hal ini tidak disedari oleh cerdik pandai kita hari ini. Sebahagian mereka menyangka bahawa kaedah berfikir diciptakan oleh Barat seperti pemikiran Lateral, pemikiran kritikal, pemikiran Berjujukan, 6 Topi pemikiran dan sebagainya. Ini kerana kaedah berfikir yang Islam nyatakan tidak disusun secara khusus dalam sebuah buku sebaliknya banyak dinyatakan dalam disiplin hadis dan yang lainnya.

Islam telah menetapkan bahawa dasar ilmu adalah al- Quran dan hadis yang sah. Kesepakatan (ijma') salaf juga terhasil daripada kedua sumber ini. Oleh itu segala pendapat yang menyalahi ketiga-tiga sumber ini maka pendapat tersebut perlu ditolak.

Kemudian; kedua-dua sumber ilmu di atas merupakan teks yang boleh ditafsir mengikut pelbagai jalan pemikiran sehinggakan boleh mengelirukan. Justeru untuk mendapatkan tafsiran yang benar, Islam menetapkan supaya menggunakan kaedah tafsir yang dibuat oleh para sahabat. Selain itu perlu ditolak. Tidak dapat dinafikan bahawa sahabat mempelajari al-Quran terus langsung dari Nabi SAW, malah mereka menyaksikan saat wahyu diturunkan. Sehingga mereka mengetahui sebab penurunan (asbab al nuzul) setiap ayat dah hadis (asbab al wurud) serta bagaimana ayat dan hadis tersebut diaplikasikan dalam kehidupan.

Mereka melihat perjalanan hidup Nabi dengan mata kepala mereka dan mencerap seluruh pemikiran Baginda sehingga mereka benar-benar mengamalkan Islam. Keislaman mereka disaksikan Nabi dan pemahaman mereka diakui oleh beliau. Malah Allah meredai mereka dan mereka reda kepada Allah. (lihat At-Taubah ayat 100) Justeru memahami Islam yang sebenar perlulah mengikut kerangka pemahaman yang telah mereka tempuhi.

Islam juga tidak membolehkan taqlid buta dan ta'asub melulu kepada seseorang walaupun serbannya bertingkat-tingkat. Ketika mana sebuah nas (al-Quran atau hadis) dibacakan kepada kita maka pada waktu itu seluruh perkataan yang menyalahi nas terbatal. Tinggal yang ada hanyalah dengar dan patuh. Tiada manusia yang maksum selain Nabi, oleh itu tidak akan ada seorang imam yang pendapatnya sentiasa benar.

Taqlid membuta tuli atas dasar "mustahil syeikh ini tidak mengetahui" atau "Jika syeikh tahu perbuatan itu salah, mustahil dia tetap akan melakukannya" menyebabkan kita menolak kebenaran dan terus menjadi hamba kepada kebodohan. Tanpa sedar kita juga adalah hamba kepada feudal agama.

Waktu ini kita menjadi mangsa kepada bebalisme iaitu sikap tidak mahu berfikir. Namun yang lebih parah adalah terjatuh dalam sifat khinzirisme; iaitu sebuah upaya mengambil apa sahaja dalil - termasuk dalil yang batil - dalam usaha membela pendapat yang dianut. Ibarat menyondol apa sahaja agar memuaskan nafsu sesatnya.


MOHD. RADZI OTHMAN Jabatan SetiausahaSetiausaha 1 Sekretariat ulama Muda UMNO (iLMU) Pengkaji Perbandingan Mazhab, Agama, Tamadun dan Falsafah Utusan Malaysia Online Rencana 15 Oktober 2012
Tags: berfikir, syirik
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments