kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Antara nafsu, keadilan dan poligami

SEPERTI Bro duga ramai perempuan yang tidak senang duduk apabila Bro menyentuh bab poligami minggu lalu.

Bagaimanapun Bro tidak boleh siarkan serentak semua e-mel yang diterima. Untuk keluaran kali ini Bro siarkan dahulu dua respons yang diterima dan ikuti juga ulasan Bro di bawah:

KOMEN 1

Saudara,

Poligami sememangnya hak suami. Tetapi hak yang tidak sesekali boleh dipandang enteng. Poligami bukan tiket untuk melampiaskan nafsu semata-mata. Namun, realiti jauh panggang daripada api.

Kaum wanita mengakui poligami ada kebaikannya. Tetapi orang yang mengamalkan poligami itulah kadang kala membawa fitnah atas agama. Itulah yang berlaku dalam masyarakat kita, jika saudara mahu tahu realitinya.

Saudara tahu, Rasulullah sendiri tidak menggalakkan menantu baginda, Saidina Ali untuk berpoligami kerana poligami ini amat berat amalannya. Rasulullah telah melalui semua itu maka baginda tahu ada sedikit sebanyak kesusahan yang dialami oleh baginda sepanjang hidup berpoligami.

Poligami ini kalau tidak dilaksanakan dengan baik, boleh menzalimi hak orang lain. Kita tidak bercakap sekadar soal hak suami semata-mata, saudara. Bagaimana soal makan minum anak-anak dan isteri? Sudah terlaksana atau belum? Soal isteri kedua lagi. Yang ketiga, yang keempat. Soal pakaian, tempat tinggal. Rasulullah sendiri tidak meletakkan isteri-isteri baginda di bawah satu bumbung.

Isteri tidak mungkin reda dengan suami yang terpaksa menanggung semua beban itu kerana lahirnya kasih dan sayangnya kepada suami. Saudara pernah terfikir tentang hal ini apabila merujuk kaum perempuan sebagai makhluk emosional? Berlaku adil sangat-sangat jerih, saudara pun tahu. Hendak berlaku adil dengan makhluk lain payah, inikan pula melibatkan hak orang lain.

Maka, sanggupkah si isteri untuk reda dengan suaminya yang berpoligami? Sanggupkah si lelaki menanggung beban poligami? Perkara ibadah jangan dibuat main-main saudara kerana di akhirat kelak suami berpoligami yang mengabaikan hak isteri dan anak-anak akan dihidupkan tempang kakinya.

KOMEN 2

Salam, Kucing Jantan...

Tolong fikir panjang sebelum menulis. Cara awak berfikir macam budak mentah. Ingat, tulisan awak mungkin mengguris hati perempuan. Jangan lupa, ibu awak, kakak awak, adik awak ialah perempuan. Relakah awak jika hati mereka terluka gara-gara poligami? Benda macam ni memang ringan di mulut, tapi bila dilaksanakan, mungkin menyebabkan penganiayaan dan penderitaan.

Saya menegur kerana saya melalui kehidupan itu. Saya penah diugut kerana tidak beri kebenaran berpoligami. Masa untuk keluarga amat terhad, nak bahagi masa lagi? Duit pun bukan banyak sangat pun... sampai hujung bulan dah pokai.

Dulu memburuk-burukkan saya sebab saya tak boleh beranak lagi. Tengok-tengok isteri muda tak boleh bagi anak pun selepas berkahwin. Dalam keluarga suami pun dah banyak poligami yang punah-ranah. Dah tua-tua bangka masuk pusat gangguan mental gara-gara poligami. Isteri-isteri pun dah lari.

Allah itu Maha Adil dan Maha Mengetahui. Poligami dibenarkan atas keperluan, bukan dibuat saja-saja. Kalau tidak tahu asam garam poligami, tak payah la buat kenyataan macam dalam surat khabar tu. Kecuali kalau diri sendiri tu gatal sangat nak berpoligami..

Emosi

Kalau apa yang ditulis membawa kepada keburukan, segala dosanya akan dicatat. Kalau nasib tak baik, dosanya berterusan sampai ke kubur, selagi orang lain mengikut jalan yang kita tunjukkan tu.

Saya bukanlah orang yang alim, tapi apa yang saya cakap berdasarkan pada ilmu yang saya kutip sepanjang hidup saya. Nak berpoligami, buatlah sorang-sorang, tidak payah nak seru orang buat juga. Kutiplah dosa sorang-sorang, tapi tak ada masalah kalau nak tolong share dosa orang lain sama.

Ya... saya sebagai seorang perempuan memang dilahirkan dengan emosi. Emosi yang berguna untuk mendidik anak-anak. Kalau saudara mendakwa perempuan begitu beremosi bila sebut pasal poligami, lelaki pula begitu bernafsu bila sebut pasal ni kan.

Kalau setakat nak tegakkan nafsu sendiri, tak payahlah tulis macam tu. Pergi la uruskan nafsu tu baik-baik ok...

KOMEN BRO

Bro menyerahkan kepada pembaca untuk mentafsirkan sendiri dua komen ini, komen yang pertama nampak ilmiah manakala komen kedua sekadar mahu melepaskan geram kerana pengalaman hidupnya dimadu.

Tak apalah Bro orang yang bersikap terbuka, Bro terima semua teguran, kritikan dan kutukan, cuma Bro nak minta puak-puak perempuan yang hantar e-mel itu baca kembali tulisan Bro minggu lalu.

Bro dah kata bahawa poligami ini hanya untuk suami yang mampu zahir dan batin, beriman dan berakhlak!

Bro beri syarat tersebut kerana Bro yakin bahawa lelaki seumpama itu mampu untuk mengendalikan rumah tangga tidak kira berapa pun isterinya.

Selain itu, Bro lihat kalau perempuan tuduh lelaki gunakan ikut Rasulullah SAW dalam soal bab kahwin, perempuan juga siap keluar sirah kisah baginda untuk mempertegaskan hujah.

Inilah masalah perempuan, tak mahu faham betul-betul apa yang Bro tulis, tak payahlah ikut perasaan sangat, kalau tak setuju dengan Bro pun.

Satu lagi paling kelakar komen kedua kata, lelaki pula begitu bernafsu bila sebut hal poligami. Memanglah, kalau tak ada nafsu macam mana nak kahwin!

- JUMPA LAGI.




Kucing Jantan Utusan Malaysia Online Rencana 28/10/2012
Tags: poligami
Subscribe

  • Semua akan hilang kerana politik dan berpolitik

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Fitnah dan Memburukan

    Minta maaf atau sedia di saman , minta maaf atau jumpa di mahkamah sudah menjadi ‘bahasa pertuturan’ kegemaran masa kini baik kepada…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments