kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kesucian dalam Perayaan 9 Maharaja Dewa

HUJAN, itulah simbolik dalam Perayaan Sembilan Maharaja Dewa, Perayaan Tokong Sayur atau Kow Wong Yeh yang disambut kaum Cina pada hari kesembilan pada bulan sembilan dalam kalendar lunar Cina. Hujan mengiringi ketibaan Sembilan Maharaja Dewa dipercayai sampai melalui jalan laut dan dalam masa sembilan hari biasanya setiap hari akan hujan.

Tahun ini, Kow Wong Yeh disambut pada 15 Oktober dan berakhir pada 23 Oktober 2012. Keunikan Malaysia dengan rakyat pelbagai bangsa diteruskan dengan sambutan pada 26 Oktober, kita menyambut Hari Raya Aidiladha juga dengan penuh pengorbanan dan kesedaran dan pada 13 November, tibanya Hari Deepavali.

Gerimis hujan diselami dengan erti kesedaran dan pengorbanan dimulakan dengan Legenda Perayaan Sembilan Maharaja Dewa yang merupakan anak Ratu Syurga atau 'Thien Hou' yang menjaga buku kehidupan dan kematian. Pengorbanan Sembilan Maharaja Dewa yang turun ke bumi membantu rakyat Ming dalam menangani puak Manchu akhirnya hampir tenggelam di lautan kerana cuaca yang buruk. Namun ketika itu, Sembilan Maharaja Dewa berjaya diselamatkan oleh penyu gergasi.


Sumber: http://www.cinoscaraku.com/bertindik-secara-extreme/

Maharaja Manchu telah berjaya menangkap Sembilan Maharaja Dewa dan memancung sembilan kepala dan diletakkan ke dalam pasu dan dilontar ke laut. Perbuatan itu menyebabkan kehidupan baginda tidak tenteram dan mengalami mimpi ngeri.

Sembilan kepala itu dikatakan ditemui oleh nelayan yang melihat sembilan kepala muncul di lautan dan naik ke syurga. Maharaja Manchu yang sedar kemurkaan Dewa Langit telah diberikan nasihat membina tokong untuk memberi korban pada hari kesembilan dalam kalendar lunar Cina untuk memperingati Sembilan Maharaja Dewa dan Maharaja Manchu menitahkan perayaan ini disambut setiap tahun.

Pengalaman perayaan Kow Wong Yeh dikongsi dengan penuh kesedaran ketika saya berada di HatYai, Songkla pada ketika itu melihat begitu meriahnya sambutan perayaan ini dengan tarian singa dan pukulan gong. Gerai-gerai dengan warna kuning di tepi jalan raya dan makanan sayur-sayuran di mana jua. Sami-sami Buddha juga kelihatan berjalan di jalan-jalan utama, sesiapa sahaja boleh meminta berkat di sana.

Di Thailand, perayaan ini dipanggil sebagai Thetsakan Kin Che atau Tesagan Gin Jei. Menurut Wanida, pensyarah di Universiti Songkla, mereka makan sayur-sayuran selama 10 hari dan sesetengahnya akan berjalan di atas bara api dan perkara yang menggerunkan kita apabila ada yang melekatkan pada muka mereka dengan pelbagai objek keras dan tajam seperti pisau, gelas, lembing dan banyak lagi. Mereka yang melakukan berkata, setiap parut dan darah yang keluar mampu menulenkan jiwa, pengabdian dan kasih sayang kepada Tuhan.

Pengalaman di Malaysia, terdapat beberapa negeri yang mengamalkan lebih meriah terutama di kawasan luar bandar namun perayaan ini mempunyai cara masing-masing. Di sini, sembilan hari makan sayur-sayuran sahaja dan semuanya perlu dibeli baru termasuk kuali dan periuk belanga. Kalau tidak baru, semua alatan perlu dibersihkan dengan air panas untuk benar-benar bersih. Makan sayur-sayuran boleh dipilih sembilan hari, enam, tiga atau satu hari terpulang kepada keikhlasan dan kesanggupan masing-masing. Jika yang menyambut ketibaan Kow Wong Yeh dan berjalan di bara api, mereka perlu makan sayur-sayuran selama 10 hari.

Namun begitu untuk menghantar kepulangan Sembilan Maharaja Dewa boleh dilakukan dengan memakan sayur-sayuran sekurang-kurangnya tiga hari. Paling digalakkan makan sayur-sayuran di tokong Cina kerana masakan yang teliti, maksud saya di sini benar-benar bersih dan suci. Selepas itu diteruskan dengan upacara sembahyang dan paling penting ialah bun berbentuk penyu diletakkan di tokong Cina sebagai simbolik perjuangan Sembilan Maharaja Dewa yang pernah diselamatkan penyu gergasi.

Pengalaman saya semasa di Kedah, berkesempatan menghantar pulang Sembilan Maharaja Dewa yang perlu dilakukan dengan hati yang bersih dan tidak bercakap yang bukan-bukan semasa perarakan. Dengan perjalanan yang agak jauh memberikan kepuasan yang tidak ternilai dalam diri setelah niat untuk menunaikan kewajipan menghantar Sembilan Maharaja Dewa sehingga ke sungai kerana Sembilan Maharaja Dewa pulang kembali melalui jalan air.

Penganut kepercayaan Taoist yang perlu berpakaian serba putih dan memegang gaharu dan lilin dalam perarakan besar-besaran. Selepas perarakan, mereka perlu membuka puasa dengan makan makanan berdaging sebagai syarat untuk menunjukkan berakhirnya perayaan ini.

Terdapat juga pantang larang dalam perayaan ini iaitu selama sembilan hari, tidak boleh makan daging, tidak boleh minum minuman beralkohol, tidak boleh berpakaian hitam, tidak boleh memakai barangan kulit, tidak boleh pergi ke tokong untuk sembahyang jika isteri mengandung atau ada kematian dan yang paling penting ialah kebersihan diri dengan memakai pakaian serba putih. Semestinya, kesucian diri dalaman dan luaran inilah yang akan memberi keberkatan kepada seseorang itu.

Apa yang disingkap di sini bukan melihat kepada legenda Sembilan Maharaja Dewa semata-mata namun dikaitkan dengan pengorbanan penuh kesucian dan kesedaran untuk membuat kebaikan jika pernah melakukan kesalahan dengan bertaubat. Semuanya belum terlambat jika kita sedar dengan kesilapan yang dilakukan kerana kesilapan itulah yang menjadikan seseorang lebih dewasa dan kuat dalam menghadapi cabaran. Salam 1Hati.




DR. JESSICA ONG HAI LIAW ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Utusan Malaysia Online Rencana 31/10/2012
Tags: perayaan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments