kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Persepsi wujudnya pengganas

MEMANG benar seperti yang ditegaskan oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bahawa spekulasi mengenai penahanan dua rakyat Malaysia di Lebanon beberapa hari lepas hanya akan memudaratkan keselamatan negara kerana pertuduhan tersebut masih belum menjalani perbicaraan sepenuhnya.

Minggu lepas, dua rakyat Malaysia, Rafik Mohammed Ariffin, 30, dan Mohammed Razin Shaaban, 21, ditahan di Beirut oleh pihak berkuasa negara itu selepas disyaki terbabit dengan niat melaksanakan aktiviti keganasan.

Tidak dapat dinafikan juga ada kebenarannya apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan bahawa penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti keganasan bukan memberi maksud bahawa negara ini adalah sasaran mereka.

Paling menarik adalah apabila Hishammuddin membuat pemerhatian bahawa jika benar tuduhan terhadap Rafik dan Razin, maka perkembangan ini dianggap sebagai fenomena baru kerana sebelum ini aktiviti keganasan lazimnya dipelopori oleh kumpulan militan tempatan seperti Jemaah Islamiah (JI) atau pun Kumpulan Militan Malaysia (KMM).

Ini adalah kerana dari maklumat awal tidak terdapat bukti yang menjerumus bahawa wujud kaitan antara kedua-dua rakyat Malaysia ini dengan kumpulan pengganas seperti JI, KMM atau pun Al-Qaeda.

Jika benar Rafik dan Razin mempunyai niat memasuki Syria sebagai usaha untuk turut serta bersama-sama dengan pemberontak menentang kerajaan Bashar Assad, ia besar kemungkinan dilakukan di atas dorongan dan inisiatif mereka sendiri tanpa bantuan secara langsung dari kumpulan pengganas tertentu. Fenomena keganasan yang menjerumus dilakukan secara bersendirian tanpa mendapat arahan atau mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas tertentu sebenarnya telah menjalar dan dijangka akan menjadi modus operandi utama setiap pengganas. Pengganas sebegini adalah begitu berbahaya kerana sukar dikesan kerana mereka bergerak secara bersendirian (lone wolf).

Pengganas seperti ini tidak memerlukan hubungan secara langsung atau bersemuka kerana penggunaan kemudahan Internet seperti melalui jaringan sosial Facebook adalah begitu efektif sekali. Nidal Hasan yang telah menembak mati 13 orang di pangkalan tentera Fort Hood, Texas pada tahun 2009 boleh dikategorikan sebagai pengganas bersendirian kerana tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas tetapi berhubung secara aktif melalui Internet dengan beberapa pemimpin kumpulan pengganas.

Begitu juga dengan Anders Breivik dari Norway yang telah mengganas sehingga 69 nyawa terkorban juga boleh dilabelkan sebagai pengganas bersendirian kerana semua tindak tanduk beliau dilakukan di atas inisiatif sendiri tanpa mendapat arahan kumpulan tertentu. Paling terbaru pada awal bulan ini, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) telah menahan Quazi Mohammad Rezwanul Ahsan Nafis, 21, dari Bangladesh di atas tuduhan mempunyai niat dan perancangan untuk meletup bangunan kerajaan persekutuan.

Nafis adalah contoh klasik seorang pengganas bersendirian kerana perwatakan beliau langsung tidak menjerumus kepada seorang yang ganas. Mengikut kenyataan FBI, Nafis sedang mengikuti pengajian di Universiti Southeast Missouri State dan tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan kumpulan Al-Qaeda. Ironisnya ialah Nafis amat berpegang kepada kepercayaan bahawa apa yang beliau lakukan itu mendapat restu pemimpin tertingi Al-Qaeda. Begitu naifnya pemikiran Nafis terserlah apabila beliau menyatakan rela untuk mati syahid tetapi lebih cenderung untuk pulang ke pangkuan keluarga beliau di Bangladesh apabila selesai melakukan pengeboman.

Bukan mudah untuk menjejak aktiviti pengganas bersendirian seperti Nafis dan kejayaan FBI dianggap berlaku secara kebetulan kerana Nafis telah menceritakan niatnya kepada rakan Facebook beliau yang disangka sebagai ahli Al-Qaeda tetapi sebenarnya seorang pemberi maklumat FBI. Kejayaan menghidu rancangan Nafis adalah kejayaan kali ke 53 pihak berkuasa AS dalam menghalang berlakunya aktiviti keganasan semenjak peristiwa 11 September 2001. Malah Presiden Barack Obama pernah menyuarakan kebimbangan bahawa AS begitu terdedah kepada serangan pengganas bersendirian kerana kesukaran untuk mengesan dari awal.

Walaupun Malaysia bukan negara sasaran pengganas bersendirian, tetapi negara tidak boleh dibiarkan dijadikan negara transit kepada mereka yang mempunyai niat tidak baik di tempat lain. Lebih membimbangkan lagi adalah terdapat persepsi bahawa rakyat Malaysia dengan begitu mudah boleh dijadikan sebagai sumber rekrut pengganas bersendirian.

Pada satu ketika dahulu Iraq dan Afghanistan dianggap sebagai daya tarikan dan dorongan kepada pengganas bersendirian melakukan aktiviti keganasan mereka. Pada hari ini satu lagi sebab tambahan yang boleh digunakan mereka, iaitu Syria yang sedang bergolak. Seruan pemimpin Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri pada Februari lepas yang menyeru supaya militan di Iraq, Jordan, Lebanon dan Turki bangkit membantu saudara mereka yang sedang berjuang di Syria sudah pasti sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran pengganas bersendirian seperti Nafis, walaupun naif tetapi mempunyai tekad yang kuat.

Pelan tindakan

Malaysia perlu bersedia dengan pelan tindakan bagaimana untuk menghadapi pengganas bersendirian seperti Nafis kerana tidak tersasar jauh jika diandaikan terdapat rakyat Malaysia yang mempunyai pandangan dan pegangan yang serupa dengan pemuda dari Bangladesh itu. Walaupun pergolakan Syria berlaku jauh dari Malaysia, tetapi kesan yang dirasai adalah begitu dekat sekali kerana adanya kemudahan hubungan melalui Internet yang meluas.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah agensi terbaik untuk mengetuai dan menyusun pelan tindakan kerana terdapat beberapa agensi lain seperti Bahagian Siasatan Khas (PDRM, Kementerian Dalam Negeri), Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (Kementerian Pertahanan) dan Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (Kementerian Luar Negeri) yang turut terlibat sama menangani masalah keganasan.

Mengulas mengenai usaha pemantauan pengganas merentasi kementerian berlainan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin menegaskan, usaha itu turut disokong dengan perkongsian maklumat bersama PDRM serta agensi-agensi lain yang berkaitan. Oleh kerana pengganas bersendirian banyak menggunakan Internet sama ada untuk mendapat maklumat atau sebagai saluran perhubungan, pihak berkuasa mempunyai kemampuan untuk memantau kegiatan sebegini sebagai amaran awal.

Unit Perisikan Siber Polis New York umpamanya berjaya mengekang kegiatan keganasan Abdel Hameed Shehadeh pada tahun 2010 hasil pemantauan melalui kegiatan Internet. Abdel Hameed seorang rakyat Amerika yang dilahirkan di Pakistan walaupun pun tidak menghadapi tuduhan berkaitan keganasan tetapi dapat dikekang kegiatan beliau melalui pertuduhan kesalahan imigresen.

Kes Rafik dan Razin bukan sesuatu yang unik kerana fenomena sebegini berlaku dengan begitu aktif dan pantas sekali. Umpamanya pada bulan Julai lepas dua pemuda rakyat Amerika dari bandar Minneapolis, Minnesota iaitu Mohamed Osman 19 tahun dan Omar Ali Farah, 20 tahun telah menghilangkan diri dan dipercayai berada di Somalia untuk menyertai kumpulan pengganas Al Shabaab. Bandar Minneapolis ini dianggap sebagai pusat rekrut militan yang aktif untuk dihantar ke Somalia dan dipercayai terdapat lebih dari 40 pemuda dari bandar ini yang telah menyertai Al Shabaab.

FBI dalam usaha untuk mengekang saluran bekalan ini telah memulakan Operasi Rhino pada tahun 2008 untuk mendalami selok belok bagaimana dengan begitu mudah pemuda-pemuda tersebut direkrut untuk ke Somalia. Hasil dari operasi ini beberapa dalang utama telah ditahan dan dibicarakan.

Malaysia tidak boleh leka dan merasa selesa kerana hanya bersandarkan kepada kepercayaan bahawa penglibatan rakyat negara ini tiada kaitan dengan kumpulan pengganas. Pihak berkuasa mesti sentiasa berwaspada dan memantau kegiatan mereka yang disyaki kerana pengganas bersendirian adalah lebih berbahaya pada hari ini berbanding dengan kumpulan pengganas. Begitu juga dengan dalil bahawa Malaysia bukan sasaran pengganas tidak boleh dijadikan sebab untuk berdiam diri. Pada ketika ini kumpulan Al Shabaab di Somalia sudah hampir dilumpuhkan oleh tentera Kesatuan Afrika (AU). FBI dalam hal ini begitu khuatir pemuda dari Minneapolis yang mendapat pengalaman kegiatan militan di Somalia akan kembali semula ke AS.

Seperti yang telah ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kes Rafik dan Razin adalah begitu malang sekali dengan harapan bahawa ia peristiwa terpencil. Tetapi beliau tetap menekankan bahawa pemantauan perlu dilakukan untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengapa dua pemuda ini terpengaruh dan pihak mana yang menjadi dalang mempengaruhi mereka.

Menjadi harapan bahawa kedua-dua anak muda ini dapat dibebaskan dari pertuduhan yang mereka hadapi. Tetapi apa yang lebih penting adalah semua pihak bertanggung jawab di Malaysia perlu mengambil iktibar dari peristiwa ini dan menyediakan pelan tindakan kaedah menangani kes sedemikian rupa



Dr. Azmi Hassan Utusan Malaysia Online Rencana 04 November 2012 
Tags: pengganas, perception, terrorist
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments