kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pengorbanan Raja-Raja Melayu

Selepas terbabit dalam bicara semasa mengenai Raja-Raja Melayu yang meluas di persada tanah air, saya mengambil peluang untuk mengisi ruangan ini bagi berkongsi dengan pembaca beberapa perkara berkaitan.

Ia berkisar kepada kedudukan, peranan dan kuasa Raja-Raja Melayu dalam perundangan dan keadaan sosio politik. Walaupun ini bukan kali pertama saya menulis mengenai isu ini, saya yakin ada beberapa perkara yang saya masih belum menyentuhnya secara jelas. Sebahagian daripada cetusan pendapat dalam tulisan ini sudah saya ketengahkan menerusi kertas kerja seminar anjuran Arkib Negara Malaysia, Julai lalu.

Raja-Raja Melayu adalah pencetus identiti negara dan seterusnya pembinaan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat. Hakikat ini tidak dapat dinafikan dan saya percaya seluruh rakyat Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia memahami fakta sejarah ini. Cuma kesediaan menerima hakikat sejarah itu mungkin berbeza-beza sehingga ada yang sanggup mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu dalam sosio-politik tanah air.


Sebagai mana analisis yang dibuat oleh pengkaji sejarah, faktor yang menyebabkan campur tangan asing di Tanah Melayu ada kalanya dikaitkan dengan kelemahan kepemimpinan Raja-Raja Melayu. Namun, secara umumnya menurut sejarah, kuat atau lemah seorang Raja, pentadbiran negara sentiasa dilaksana dengan persetujuan baginda.

Secara prinsipnya pula, pembesar negara dan rakyat jelata tidak harus mengambil peluang di atas kelemahan Raja. Ini menunjukkan peranan Raja begitu penting dalam pentadbiran walaupun ada kalanya pernyataan seperti rulers reign but not rule menjadi inti kepada beberapa pendapat.

Kurang kedudukan sosio-politik

Dalam pengalaman dan sejarah penjajahan atau pentadbiran British di negara kita, pengenalan Sistem Residen oleh British dengan Penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu telah mengurangkan kedudukan sosio-politik Raja-Raja Melayu. Baginda dipaksa menerima tafsiran British kepada Perjanjian Pangkor walaupun pentadbiran negara umumnya dilaksanakan dengan perkenan Raja-Raja, (Royal’s consent).

Walau apa juga yang disebut dalam kajian fakta (atau tafsiran sejarah) itu, tindakan Raja-Raja Melayu pada ketika itu, atas apa juga alasan yang menyebabkan campur tangan asing di Tanah Melayu, Institusi Raja telah kekal dan dihormati oleh kuasa asing, terutama British. Penghormatan British terhadap kedaulatan Raja-Raja Melayu dapat dilihat dalam keputusan mahkamah seperti kes Duff Development (negeri Kelantan) dan Sultan Abu Bakar (negeri Johor). Keputusan dalam dua kes ini memberi implikasi yang jelas atas kedaulatan Raja-Raja Melayu walaupun negara ini sebenarnya diperintah mereka.

Pengiktirafan British

Selain itu, pengiktirafan British kepada Raja-Raja Melayu dapat dilihat dalam proses kemerdekaan. Dalam proses itu Raja-Raja Melayu menyerahkan beberapa cadangan kepada Suruhanjaya Perlembagaan. Cadangan itu meletakkan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh suruhanjaya dalam menggubal Perlembagaan bagi kemerdekaan Tanah Melayu. Sehubungan itu, ‘perbicaraan’ mengenainya dilangsungkan.

‘Perbicaraan’ itu bagi menentukan maksud atau kehendak Raja-Raja Melayu mengenai kemerdekaan Tanah Melayu serta kesediaan baginda.

Dalam proses perbicaraan itu, dapat disaksikan keprihatinan Suruhanjaya Perlembagaan berkenaan kesediaan Raja-Raja Melayu menerima sistem Raja Berperlembagaan. Mereka berkali-kali bertanya mengenai perkara ini kepada Neil Lawson QC, peguam yang mewakili Raja-Raja Melayu. Neil Lawson QC berjaya meyakinkan ahli suruhanjaya mengenai perkara ini dengan membawa bukti bahawa peruntukan berkaitan Raja Berperlembagaan telah dimaktubkan dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Kenapakah agaknya kesediaan Raja-Raja Melayu untuk menjadi Raja Berperlembagaan begitu penting bagi Suruhanjaya Reid?

Ramai kita maklum mengenai prinsip umum Raja Berperlembagaan merujuk kepada sistem pentadbiran yang meletakkan Raja-Raja di bawah naungan ‘nasihat’ Kabinet. Ini bermakna Raja-Raja Melayu tidak lagi mempunyai kuasa mutlak, walaupun jika kita nilai daripada sejarah, amat tidak benar sekiranya dikatakan bahawa Raja-Raja Melayu terdahulu berkuasa secara mutlak.

Kesediaan Raja-Raja Melayu menjadi Raja Berperlembagaan itu adalah sebesar-besar pengorbanan kepada kemerdekaan negara, serta sistem negara Persekutuan yang kita diami dan nikmati kemewahan ini.

Oleh itu, saya tidak pernah mendapat jawapan yang tepat kenapa masih ada lagi rakyat (terutama Melayu) yang mempersoalkan kepentingan sistem beraja di negara kita. Sama-samalah kita fikir.



Shamrahayu A Aziz ialah Profesor Madya Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM. Berita Harian Online Rencana 6 November 2012
Tags: melayu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments