kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Polemik perbandingan IPT tempatan

Pengumuman penilaian kecemerlangan akademik melalui Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (SETARA) dan Instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia (MYRA) oleh Kementerian Pengajian Tinggi, baru-baru ini mencetus polemik perbandingan.

Umum membandingkan universiti mana lebih baik dalam kalangan universiti awam serta antara universiti awam dan swasta. Banyak manapun penjelasan mengenai pendekatan dan hasrat penilaian diberikan, masyarakat masih berminat untuk mengetahui universiti mana lebih baik.

Universiti bukan entiti keilmuan yang mudah dan seragam. Banyak faktor yang mendorong sifat dan hala tujunya meliputi objektif utama penubuhan, strategi pembangunan, kematangan, peruntukan tahunan dan tugas khas yang diamanahkan oleh masyarakat atau pihak berkepentingan.

Antara universiti awam dan swasta, faktor ketara yang membezakan sifatnya ialah universiti awam perlu akur dengan dasar pengajian tinggi negara dan kekangan kewangan serta autonominya.

Universiti swasta pula dikawal keupayaan modal dan strategi perniagaannya. Antara universiti awam, kerajaan menetapkan hala tuju berbeza berteraskan konsep universiti penyelidikan, komprehensif, teknikal dan universiti berfokus.

Pelajar warga utama


Apapun objektif dan hala tuju universiti, ia seperti negara kecil dengan warganya terdiri daripada ahli akademik, pelajar dan kakitangan sokongan pentadbiran. Pelajar adalah warga utama dan terbanyak. Mereka berada di universiti bagi menimba ilmu dan mengasah kemahiran untuk bekalan mengharungi kehidupan dalam dunia pekerjaan yang mencabar.

Kakitangan sokongan pula, sama seperti pegawai kerajaan mempunyai peranan mengurus dan mentadbir aktiviti akademik, bagi memastikan pengajaran, penyelidikan dan pemindahan ilmu berjalan lancar.

Ahli atau bakat akademik adalah warga tetap universiti yang istimewa dan menjadi penentu petunjuk kecemerlangan universiti. Mereka dilantik dalam kalangan ilmuwan (berkelulusan PhD) – dari dalam dan luar negara – yang mempunyai keupayaan intelek tinggi.

Setiap bakat akademik akhirnya mampu menjadi pakar dalam bidang atau pengkhususan ilmu tertentu dan seharusnya terbaik pada peringkat kebangsaan atau global.

Sama seperti ahli sukan atau seniman, sepanjang kerjaya ahli akademik, mereka perlu meneroka ilmu, pengejar kecemerlangan dan keunggulan sehingga mampu menyerlahkan bakatnya menjadi pakar rujuk yang dihormati serta berwibawa.

Dalam konteks ini, pembangunan akademia dan kecemerlangan universiti perlu didasarkan kepada pencapaian individu akademik, keutuhan institusi akademik dan penyuburan budaya akademik.

Penilaian keunggulan menyeluruh perlu memberikan perhatian kepada tiga unsur akademia ini.

Sebuah universiti perlu mempunyai ahli akademik dengan kepelbagaian ilmu yang menyokong urusan terasnya iaitu pengajaran dan pembelajaran. Setiap bakat akademik pula perlu menunjukkan kecemerlangan melalui penyelidikan sepanjang hayat dan penerbitan ilmiah di dalam jurnal berwasit.

Penyelidikan dan penerbitan dalam bidang pengkhususan adalah petunjuk prestasi utama kecemerlangan akademik walaupun untuk menilai keupayaan pengajaran dan aktiviti pemindahan ilmu.

Kreativiti, inovasi jadi panduan


Kecemerlangan universiti juga perlu dinilai berpandukan kreativiti dan inovasi yang ditunjukkan oleh institusi akademiknya, khususnya jabatan, sekolah, fakulti, pusat dan institut pengajian atau penyelidikannya. Ia meliputi bagaimana program dan aktiviti akademik dilaksanakan, keupayaan kepemimpinan menggembleng bakat akademik secara optimum dan strategi mengambil peluang untuk menjadi pemimpin akademik di ufuk ilmu.

Pada akhirnya, kecemerlangan akademik hanya dapat dirasakan apabila sesebuah universiti itu telah mengukuhkan tradisi, etika dan ekosistem akademik. Daripada imej kampus, infrastruktur, program dan jaringan akademik – budaya kecemerlangan dan kewibawaan terserlah serta sentiasa dihayati oleh setiap warga universiti.

Nilai meneroka, menyampai dan memindah ilmu dengan etika akademik yang tinggi sentiasa menjadi keutamaan dan amalan bersama. Warga kampus sentiasa ghairah dengan pelbagai penerokaan ilmu baru dan memberikan penghormatan tinggi kepada ilmuwan yang menyerlah.

Membina infrastruktur sebuah universiti boleh dilakukan dengan pantas, tetapi membina universiti bercirikan akademik berbudaya cemerlang memerlukan masa dan iltizam yang tinggi.

Ia memerlukan kepemimpinan universiti yang berwawasan, berwibawa dan sentiasa menghormati keunggulan akademik. Apakah SETARA dan MYRA mampu membawa universiti ke destinasi kecemerlangan dalam erti kata sebenar atau sekadar menjadi medan perbandingan saja?



Dr Ibrahim Komoo ialah Naib Canselor UMT dan Pengerusi CAP Akademia, Kementerian Pengajian Tinggi. Berita Harian Online Rencana Jumaat, 09 November 2012
Tags: assessment, ranking
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments