kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kelangsungan negara bangsa

Raja Berperlembagaan adalah satu kelangsungan pemerintahan beraja; kelangsungan yang dianggap ketinggalan zaman di kalangan setengah pihak yang rabun sejarah, lalu melakukan tafsiran dangkal, memilih untuk tidak mahu mengakui dan kurang mahu mendalami salasilah dan falsafah di sebalik institusi ini. Unsur-unsur ketidakselesaan peribadi telah mempengaruhi minda pihak-pihak tertentu, bersifat prejudis - berprasangka negatif terhadap institusi Raja, hingga ke tahap mengetepikan penilaian objektif, menidakkan penilaian rasional, menggugurkan penilaian adil, akan dinamik serta evolusi perkembangan pemerintahan beraja yang telah direkayasa dan ditakrifkan semula agar kekal relevan dan menetapi keperluan senario semasa.

Atas prinsip, Yang di-Pertuan Agong adalah Kepala Utama Negara, berkedudukan terulung dan mengambil keutamaan, dapat dirumuskan bahawa forum yang bertanggungjawab untuk melantik Yang di-Pertuan Agong, sebenarnya merupakan badan perundingan dan majlis syura tertinggi di dalam negara. Sepuluh perkara menurut yang termaktub dalam Perkara 2(b), Perkara 38(4) dan Perkara 159 (5) Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja.

Adalah amat menyimpang jika Majlis Raja-Raja dianggap sekadar institusi memenuhi keperluan ceremonial. Rejimen Askar Melayu Diraja, Pegawai Tadbir Melayu, status agama Islam, penggunaan Bahasa Melayu dalam pentadbiran, milik tanah, pendidikan bangsa, bidang kuasa penghulu dan kadi, emansipasi wanita Melayu, adalah antara tuntutan yang dizahirkan oleh Raja-Raja Melayu melalui DURBAR.

Semakin bertambah usia negara, warga bagaikan semakin lebih terpisah. Pelbagai istilah penyatuan diperkenalkan - pelbagai slogan direka cipta, pelbagai logo dilakar, pelbagai lirik dikumandangkan. Ia masih tidak memperlihatkan impak keberkesanan menurut yang diimpikan. Malah slogan ke arah membentuk satu warga bangsa, akhir-akhir ini, lebih banyak menimbulkan keraguan, lebih mengundang kontroversi; semakin dipolemikkan - semakin dipolitikkan.

Kerencaman agama, kaum, budaya dan bahasa, ditambah dengan taburan demografi, perbezaan antara warga bandar dengan warga desa, antara generasi tua dengan generasi muda, antara yang miskin dengan yang kaya telah mewujudkan jurang yang semakin merenggangkan warga. Ditambah dengan perbezaan pencapaian akademik, pencapaian sosioekonomi, perbezaan pendedahan antara siswazah Institusi Pengajian Awam dengan siswazah Institusi Pengajian Swasta, perbezaan nilai di kalangan produk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, sekolah vernakular dan sekolah antarabangsa.

Begitu pula dengan perbezaan minda di antara tenaga kerja di sektor awam dengan tenaga kerja di sektor swasta. Kafilah-kafilah politik pula semakin mengadaptasi budaya berkonfrontasi dan semakin tidak menghargai budaya konsultasi. Warga kini semakin keliru, akibatnya warga semakin terpisah daripada bersatu.

Kesungguhan hasrat membina negara bangsa perlu dilandaskan atas minda dan melalui hati terbuka, diperkukuhkan dengan keikhlasan mahu mencipta penyatuan dan bekerja untuk mencapai penyatuan. Dalam mencari formula penyatuan, semangat perdamaian adalah kunci.

Perlu ada keberanian di pihak yang bertelagah untuk memeriksa kelemahan diri. Perlu ada kekuatan di pihak yang bertelagah untuk mengaku kesilapan sendiri. Dalam apa juga krisis dan dalam setiap konflik, tidak ada pihak yang betul semua dan tidak juga ada pihak yang salah semua.

Perdamaian akan hanya tercapai bila ego bersifat betul semua dan menang semua dapat digugurkan. Cahaya perdamaian akan ditemui jika kekalahan dalam persaingan dapat diterima dengan keredaan, sebagai hukuman Ilahi di atas kelemahan diri dan kesilapan sendiri.

Kini peristiwa yang semakin meningkatkan kegelisahan warga kian bertambah. Warga ketara kecewa, hampa, kesal dan mual dengan gelagat-gelagat politik yang semakin keterlaluan. Politik menjelma dalam bentuk ketaksuban dan mendominasi tata urus negara, hingga segala-galanya, penglihatan, pendengaran, pengucapan, kegiatan dan penggunaan sumber semakin berpaksikan politik. Matlamat jangka pendek politik bagaikan mengatasi kepentingan jangka panjang kelangsungan negara bangsa.

Lebih membimbangkan, apabila institusi-institusi utama negara, kini kelihatan mula terseret dalam kancah politik kepartian. Akibatnya, integriti, profesionalisme, imej neutral serta tidak partisan institusi-institusi tersebut semakin dipertikaikan. Apabila institusi-institusi utama negara, terutama yang diamanahkan untuk mendaulat dan menguatkuasakan undang-undang serta melaksanakan hukum dan keadilan, mula kehilangan integriti, akan terhakislah budaya hormat dan keyakinan warga.

Suasana ini jika berlarutan, memungkinkan warga beralih kepada opsyen-opsyen lain, memungkinkan berlakunya suasana ‘tanpa perundangan’ (lawlessness), memungkinkan negara terjerumus ke dalam anarki. Barang disimpangkan Allah, suasana sedemikian melanda negara bangsa kita. Oleh itu, trend yang tidak sihat ini perlu dihentikan demi penerusan hayat sebuah negara bangsa yang stabil, aman, makmur lagi sejahtera.

Istana mungkin berpagar tinggi, namun ia tidak menghalang kepada berita dan peristiwa menembusi jendela - menembusi pintu istana. Kebelakangan ini, semakin banyak cerita - semakin banyak berita yang diangkat sembah kepada Raja, secara langsung - secara perantaraan, secara percakapan - secara tulisan. Warga memohon restu Raja membantu untuk mendapat keadilan, untuk mendapat kesaksamaan, untuk membetulkan ketempangan, untuk meluruskan perjalanan.

Raja bersemayam di takhta kerajaan, memerintah dan bukan mentadbir, berada di atas segala urusan politik dan urusan pentadbiran harian negara. Apakah yang harus dilaksanakan oleh Raja. Adakah Institusi Raja hanya simbol dan monumen hiasan kaku, tanpa nyawa - tanpa jiwa, sekadar pelengkap memenuhi adat rakyat beraja - negeri bersultan; sekadar berfungsi untuk menyempurnakan acara keraian, memotong reben - melepas belon - memalu gong - menarik tirai.

Adakah dalam suasana kegelisahan warga ini, Raja dikehendaki bersifat pasif, membisu seribu bahasa. Ketika warga dilanda resah, adakah Raja diunjurkan terus bermain catur di dalam istana atau berburu ke padang datar atau menuba ikan di kuala sungai. Ketika warga dilambung resah, adakah Raja memadai terus beradu di kamar istana dan membiarkan masa hadapan negara bangsa ditangani secara eksklusif oleh kumpulan politik semata-mata.

Segala yang berlaku ketika ini sedang diikuti oleh istana secara dekat, diteliti dan dihalusi, ditimbangkan cerita - diimbangkan berita. Raja juga dikurniakan Ilahi dengan akal - dengan fikiran, dilengkapkan dengan deria - disempurnakan dengan hati. Raja juga memikul amanah Allah SWT yang wajib dipenuhi.

Nyatalah Raja mendukung amanah berat, dan peranannya bukan sahaja dinilai oleh warga di dunia ini, tetapi akan turut diadili di Padang Mahsyar nanti. Di Mahkamah Rabbuljalil, berhadapan Allah Yang Maha Esa, Raja ketika itu sudah tidak ada Peguam Negara; ketika itu Raja juga bergantung kepada amal makruf yang telah disempurnakan untuk menjadi Peguam Belanya. Raja, termaktub di dalam Perlembagaan diwujudkan berasas undang-undang. Sepuluh peratus atau 19 daripada 183 Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah Perkara-Perkara berkaitan Raja. Berpandukan Perlembagaan, adalah jelas dan nyata, Raja Berperlembagaan di Malaysia berperanan penting dalam struktur Kerajaan dan negara bangsa.

Perlembagaan Persekutuan meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara, secara undang-undang menganggotai tiga cabang Kerajaan yang terdiri dari cabang Perundangan, cabang Eksekutif dan cabang Kehakiman. Parlimen mengandungi tiga komponen, terdiri dari Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Diperuntukkan supaya Yang di-Pertuan Agong menurunkan cap mohor kepada Rang Undang-Undang yang telah diluluskan oleh Badan Perundangan.

Baginda mempunyai kuasa memanggil, menangguh dan membubarkan Parlimen. Baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan. Baginda berkuasa mengampuni dan menangguhkan sesuatu hukuman. Baginda bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain.

Baginda diperuntukkan budi bicara melantik seorang Perdana Menteri, tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen, menitahkan supaya diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja untuk membincangkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Baginda adalah Ketua Agama Islam bagi negeri Baginda di samping berperanan sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan. Baginda diperuntukkan kuasa melantik dan membatalkan lantikan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri.

Baginda diperuntukkan kuasa membuat pengisytiharan darurat serta mengisytiharkan apa-apa ordinan sekiranya kedua-dua Dewan Parlimen tidak bersidang secara serentak. Baginda diperuntukkan kuasa atas nasihat Perdana Menteri untuk melantik ahli Suruhanjaya Pasukan Polis, dan menurut budi bicara setelah menimbang nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja melantik ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran.

Majoriti ahli-ahli Majlis Angkatan Tentera adalah atas lantikan Baginda. Bahagian Sembilan, Perlembagaan Persekutuan menggariskan peranan Yang di-Pertuan Agong dalam bidang Kehakiman.

Atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja Baginda melantik Juru Audit Negara, sementara Peguam Negara dilantik oleh Baginda atas nasihat Perdana Menteri. Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima ahli Suruhanjaya Pilihan Raya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja dan Baginda dipertanggungjawab untuk memastikan Suruhanjaya Pilihan Raya mendapat kepercayaan awam.

Demikian senarai peranan dan tanggungjawab Yang Dipertuan Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu amatlah tidak munasabah jika jawatan Ketua Utama Negara itu diwujudkan sekadar untuk menyempurnakan tugas-tugas ceremonial atau dianggap boneka untuk menurunkan mohor perkenan kepada setiap dokumen yang dipersembahkan, dengan mata tertutup, mulut terkunci dan tangan terikat, diwajibkan tanpa opsyen memberi sepenuh perkenan tanpa soal atas apa juga nasihat yang diangkat sembah kepada Baginda, meskipun nasihat tersebut menyimpang dari undang-undang atau tergelincir dari landasan keadilan atau berunsur penindasan atau boleh memudaratkan negara bangsa.

Landskap politik negara, sebenarnya telah berubah. Lebih cepat hakikat perubahan ini diterima, lebih cepat penambahbaikan dan perubahan positif dapat diperkenalkan. Warga perlu membina kekuatan - melakukan persediaan menghadapi realiti tata cara baru untuk membangunkan sebuah negara bangsa dalam budaya dan landskap politik yang baru. Meminjam kata-kata peringatan Perdana Menteri, bahawa “Era Kerajaan Tahu Semua Sudah Berakhir."

Dalam usaha ke arah melangsungkan survival negara bangsa, apakah perekayasaan yang harus dilaksanakan dalam iklim dan landskap politik di era ini. Senarainya pasti panjang, tuntutannya pasti banyak. Namun perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama; yang utama didahulukan demi menjamin kelangsungan sebuah negara bangsa yang berdaulat, aman, makmur lagi sejahtera. Dalam batasan pengalaman yang ada, dengan ilmu panjang sejengkal, dengan kain panjang sehasta, Beta memilih menzahirkan enam unjuran.

Pertama: Kekal menghormati piagam awal yang telah dipersetujui bersama yang menjadi asas utama penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dengan tidak menyentuh perkara-perkara sensitif yang telah dipersetujui, paling utamanya agama. Agama adalah perkara paling sensitif, berpotensi besar mencetuskan konflik yang memungkinkan persengketaan. Kebelakangan ini, garis sempadan menyentuh agama Islam kelihatan semakin berani dilanggar - malah ada di kalangan bukan Islam yang semakin lantang mencabar perkara-perkara berkaitan Islam melalui ucap kata, bernada mempersendakan syariat - memperkecilkan aqidah umat Islam, merendah-rendahkan amalan Islam.

Perbuatan tersebut, nyata telah melanggar sempadan, telah melanggar adat resam beragama secara aman dan damai - telah menghiris dan melukakan hati umat Islam.

Kedua: Memberi erti dan makna kepada prinsip kedua Rukun Negara, ia itu Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Raja adalah simbol penyatuan; Raja kepada setiap warga. Di masa lalu, setelah ditabalkan, dianjurkan lawatan rasmi Yang di-Pertuan Agong ke negeri-negeri, untuk memberi peluang kepada warga di setiap negeri dan di segala peringkat, merasakan Yang di-Pertuan Agong adalah Raja kita. Lawatan Diraja tersebut sangat simbolik - sangat signifikan, memberikan peluang kepada Baginda disembah taklimat secara langsung akan keadaan, kemajuan dan pembangunan di negeri-negeri di bawah payung naungan Baginda, malah pada masa yang sama dapat pula merangkaikan hubungan dua hala di antara Baginda dengan pemimpin dan warga di peringkat negeri. Setelah usia negara melangkaui lebih lima puluh tahun, adalah baik direnungkan semula perkara yang mungkin telah terlepas pandang.

Aspek ‘Kesetiaan Kepada Negara’ dimanifestasikan secara menghormati lambang negara; dua darinya adalah bendera negara, dinamakan Jalur Gemilang dan lagu kebangsaan dikenali Negaraku. Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz pernah mengatakan, apabila seseorang warga membuang sampah di serata tempat, ia sebenarnya telah membuktikan sikap tidak patriotik kepada negara kerana telah mencemarkan bumi tanah tumpah darahnya. Apatah lagi jika simbol kebesaran negara dihina, secara memijak Jalur Gemilang dan secara tidak menghormati lagu Negaraku dengan mempersenda lirik dan iramanya.

Ketika beta di bangku sekolah, beta diasuh untuk menghormati bendera negara dan lagu kebangsaan. Bendera negara bukan hanya tidak boleh dipijak, malah dipastikan ketika upacara menaikkan bendera, kain bendera tidak tercecah bumi. Bendera negara dimuliakan, dikibarkan di puncak tiang, dinaikkan di sebelah pagi, diturunkan sebelum malam; dan lambang negara ini tidak dibiarkan berkelana, tertinggal di tiang-tiang selepas selesai upacara, hingga berakhir sebagai kain reput, kain koyak dan kain usang. Ia bukan sahaja tidak boleh dipijak, malah turut dilarang dari dipotong-potong, dijadikan material, dijahit dijadikan baju, dijadikan topi, dijadikan selimut. Jika ditampal di baju sekalipun, ia dimuliakan, diletakkan di dada dan bukan di pinggul, di paha, di lutut atau di kaki.

Perkara ini amat asas, malangnya telah dilupakan. Hari ini, kelihatan ada kontinjen termasuk ketika menyertai perarakan Hari Kebangsaan turut menyalah gunakan pemakaian bendera negara. Kesilapan ini sepatutnya diberikan nasihat sewajarnya. Etika menghormati bendera negara wajib dihayati. Perbuatan menggunakan kain bendera sebagai material baju, material seluar dan material topi tidak harus dibenarkan berlaku.

Ketiga: Ketelusan dan integriti pentadbiran. Takhta Kerajaan didukung oleh tiga cabang utama Kerajaan; Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman. Di bawahnya terletak pelbagai instrumen pelaksana kerajaan berbentuk institusi awam, institusi pertahanan dan institusi keselamatan. Kepincangan di mana-mana peringkat Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman turut menjejaskan kedaulatan takhta. Demikian pula jika kepincangan merebak sampai di peringkat institusi pelaksana. Kedaulatan takhta tidak terlepas dari menerima tempias kerana kepincangan-kepincangan yang berlaku. Oleh yang demikian, kewibawaan cabang-cabang kerajaan demikian juga integriti institusi pelaksana wajib dipertahankan setiap masa.

Keempat: Keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang adalah kunci yang akan menentukan terjaminnya ketenteraman awam dan kestabilan politik. Undang-undang wajib dilaksanakan secara adil - secara saksama. Undang-undang jangan diizinkan untuk dilaksanakan secara selektif ataupun gagal dikuatkuasakan sepenuhnya. Jika undang-undang gagal dikuatkuasakan dan jika keadilan tidak lagi tercermin, akan pincanglah alam dan kehidupan ini, lalu membolehkan yang lemah menjadi mangsa yang kuat.

Apabila undang-undang dan keadilan mula diperdagangkan dengan ringgit dan sogokkan, akan menderitalah yang miskin dan akan bermaharajalelalah yang kaya. Negara maju amat menekankan aspek pentadbiran berlandaskan undang-undang dan keadilan. Dalam wawasan mencapai negara maju, aspek keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sama sekali tidak boleh dikompromikan.

Kelima: Memahami dan mendalami konsep Federalisme berasaskan Perkara-Perkara 73 hingga 95E Perlembagaan Persekutuan.

Hubungan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kini menjelmakan dimensi baru; ia semakin memeningkan kepala kakitangan awam yang berkhidmat di negeri-negeri. Mereka kini menghadapi dilema ketika memenuhi tanggungjawab untuk mengimbangkan kesetiaan, di antara Pihak Berkuasa Negeri dengan Pihak Berkuasa Persekutuan, terutama di kalangan mereka yang ditempatkan di negeri yang dikuasai oleh kumpuan politik yang berlainan parti dengan Kerajaan Persekutuan. Telah berlaku keadaan, Pegawai-pegawai awam Persekutuan yang bertugas di negeri, di larang menghadiri acara-acara rasmi di peringkat negeri termasuk acara yang dihadiri oleh Raja Pemerintah. Demikian juga dilaporkan bahawa Pegawai-pegawai Negeri juga turut dilarang menyertai acara-acara anjuran Kerajaan Persekutuan. Senario sedemikian nyata tidak menunjukkan kematangan budaya politik negara bangsa dan kurang mendalamnya kefahaman di kalangan penjawat awam akan konsep Federalisme.

Bidang kuasa yang terkandung dalam konsep Federalisme, antara kuasa negeri dan kuasa Persekutuan kini menuntut kepada perlunya atur urusan order perhubungan yang baru, demi tidak menyulitkan kakitangan awam untuk menyempurnakan amanah dan demi memastikan warga tidak menjadi mangsa kepada pertelingkahan politik yang berpanjangan.

Keenam: Pilihan raya adalah salah satu instrumen utama dalam sistem kerajaan yang mengamalkan demokrasi berparlimen. Ia adalah proses warga diberikan hak untuk menentukan kerajaan. Kerajaan yang terbukti memenuhi janji dan mencipta rekod kejayaan membangunkan negara bangsa, sewajarnya memiliki keyakinan untuk kembali mendapat sokongan warga.

Pilihan raya bukan medan perang yang bermatlamatkan menang semua. Pilihan raya bukan satu peperangan sivil. Tanggungjawab besar memastikan pilihan raya tidak akan menggugat kestabilan negara dan menjejaskan keharmonian warga, terletak di bahu barisan pimpinan kafilah politik di kedua-dua belah pihak, untuk memastikan suhu politik tidak membahang terlalu panas.

Mengekalkan kuasa atau usaha untuk mendapatkan kuasa bukan segala-galanya. Negara bangsa lebih besar harganya dan tidak harus dileburkan dengan pendekatan politik yang memilih untuk berkerat rotan - berpatah arang, hingga pada akhirnya nanti yang menang menjadi arang - yang kalah menjadi abu.

Institusi Raja adalah penerusan tradisi untuk mengekalkan identiti negara bangsa, satu lambang kedaulatan - payung mahkota negara. Ia mungkin pelita lama tetapi kekal memancarkan cahaya. Pelita lama jangan terlalu cepat mahu dibuang kerana riak melihat fajar yang akan menyinsing; ingatlah hari siang juga akan berakhir, jangan nanti bila senja mendakap malam, warga mula teraba-raba, hilang haluan di selimuti kegelapan malam, kerana pelita lamanya sudah tiada lagi.

Semoga Raja kita selamat bertakhta dan warga kekal aman, makmur dan bahagia, membina sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat. Amin, Ya Rabul Alamin.


Lihat juga http://kheru2006.livejournal.com/508262.html 


Utusan Malaysia Online Rencana 08/11/2012

Tags: perlembagaan, raja, sultan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments