kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Usia Kenny bukan penghalang

USIA hanyalah angka dan ia bukanlah halangan bagi seseorang yang bergelar penghibur untuk memberikan persembahan yang mantap kepada penonton.

Salah seorang mereka adalah penyanyi veteran Kenny Rogers, 74, yang masih gagah apabila menyanyi secara ‘live’ di pentas.


Baru-baru ini, seperti yang dijanjikan, Kenny diterbangkan ke Genting Highlands, Pahang untuk menjayakan konsert solonya.

Dibawakan khas oleh Heart World Genting, kehadiran penyanyi yang terkenal dengan lagu Lady dan Islands in The Stream ini ke Malaysia nyata begitu dinanti-nantikan semua peminat setianya apabila difahamkan hampir semua tempat duduk habis ditempah.

Tampil dengan gaya ringkas iaitu berkemeja lengan panjang putih serta jeans hitam, penyanyi yang juga ahli perniagaan restoran yang berjaya ini berjaya memukau lebih 7,000 penonton yang datang menyaksikan persembahannya di Arena of Stars.



MENARIK...slaid yang menunjukkan perjalanan karier Kenny dari dulu hingga kini.

Hampir 20 lagu dipersembahkan Kenny atau nama sebenarnya, Kenneth Ray Rogers, tanpa kepenatan, bersulamkan senda ‘humor’ yang bersahaja di pentas besar. 

Bagi pengasas francais restoran Kenny Roasters itu, usia emasnya jelas tidak pernah menghalangnya untuk terus mengalunkan vokal bagi hiburan penonton yang membeli tiket.

Dia membuka tirai persembahan seawal jam 8.45 malam dengan lagu Love or Something Like It dan kemudian mendendangkan It’s A Beautiful Life, Ruby Don’t Take Your Love To Town, Somethings Burning, Reuben James, Love The World Away, Daytime Friends, Stand Up, Lucille, Lady, Islands In The Stream, You Decorated My Life, The Gambler dan Buy Me A Rose. 

Istimewanya, ada di antara beberapa lagu yang dinyanyikan diiringi persembahan slaid yang menceritakan perjalanan karier dan kehidupannya sejak dulu hingga kini.

Sempat berjenaka dengan penonton, Kenny berkata, lagu itu membuktikan kepadanya bahawa lelaki berasal dari planet Marikh manakala wanita pula dari planet Zurah.

Kelihatan sedikit hambar pada pertengahan konsert memandangkan mungkin ada segelintir penonton bukanlah daripada peminat fanatik, Kenny sempat mengusik.

“Ada dua kelompok peminat saya. Yang pertama, orang yang lahir selepas tahun 1960-an yang jarang mendengar lagu-lagu saya. Kelompok kedua pula orang yang lahir sebelum 1960-an dan sudah tidak ingat lagi lagu-lagu saya,” katanya sambil berjenaka.

Kenny selama ini berdiri sebagai seorang penghibur dengan genre pop, country & western dan jazz sekitar awal 1950-an. Bintang dunia itu dilahirkan di Texas, Amerika Syarikat dan pernah berkahwin sebanyak empat kali manakala perkahwinan kelimanya bersama Wanda Miller, kekal hingga kini.

Dia pernah mencipta fenomena apabila rekod albumnya terjual sehingga 120 juta di seluruh dunia dan menghasilkan lebih 65 album sepanjang pembabitannya dalam seni suara.

Selain itu, Kenny juga menjadi salah seorang artis terkenal dunia yang menyanyikan lagu amal, We Are The World pada 1985, bagi menyokong kempen membantu mangsa kebuluran di Afrika.

Sebelum terbabit secara solo, Kenny pernah menyertai beberapa kumpulan seperti Scholars, The Bobby Doyle Three, The New Christy Minstrels dan The First Edition.

Syanty Octavia Amry soctavia@hmetro.com.my myMetro Rap 15 November 2012
Tags: lagu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments