kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

KCS yang mempertahankan kedaulatan raja, negeri Kedah

"BUAT kerja elok-elok." Demikianlah antara titah nasihat Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kepada bekas Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS), Datuk Wira Dr. Mohd. Shariff Abu Samah yang masih terngiang-ngiang dalam ingatannya.

Sewaktu menghadap Tuanku Sultan kira-kira 45 minit mulai pukul 10 pagi di Wisma Negeri di Alor Setar pada 31 Julai 1987, Mohd. Shariff dinasihatkan semoga berbakti sebaik mungkin kepada rakyat selaku Pegawai Daerah Pendang.

"Masa itu adalah detik yang amat membanggakan dalam hidup bukan sahaja bagi diri saya tetapi juga bagi ahli keluarga terutama Allahyarhamah ibu saya kerana DO adalah jawatan yang semua KCS impikan pada masa itu kerana jawatan DO bermakna menjadi wakil Sultan di sesebuah daerah," katanya yang berkhidmat selama 36 tahun 10 bulan dalam Perkhidmatan Negeri.

Setelah tamat Senior Cambridge, beliau bertugas sebagai Pegawai Sempadan (dikenali sebagai Settlement Officer di Negeri-negeri Melayu Bersekutu) selama sembilan tahun dan pada 1971 dilantik dalam KCS.

Selepas menghadap Tuanku Sultan, barulah Mohd. Shariff melapor diri sebagai Pegawai Daerah iaitu satu kenaikan pangkat daripada jawatan Pentadbir Tanah (Land Officer) Daerah Kota Setar kepada Pegawai Daerah Pendang, ketika berusia 44 tahun dan sudah berada dalam KCS selama 15 tahun.

Ketika itu, Tuanku Abdul Halim sudah naik takhta sebagai Sultan Kedah selama hampir 30 tahun iaitu selepas mula bertakhta pada 15 Julai 1958.

Mohd. Shariff kemudian memulakan tugasnya pada 1 Ogos 1987 di Pendang dan selepas tiga tahun, beliau bertukar pula ke Bandar Baharu untuk menjadi DO di situ selama tujuh tahun, lalu bersara.

Menyorot sejarah perkhidmatan KCS yang berusia 103 tahun, Mohd. Shariff yang membuat kajian mendalam dalam bidang itu berkata, KCS diibaratkan sebagai 'anak emas Sultan' yang telah menabur jasa dan bakti dengan penuh kegemilangan membangunkan negeri ini.


Mohd. Shariff Abu Samah menunjukkan buku mengenai kecemerlangan KCS di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

"Kesemua kejayaan, kecemerlangan ini adalah disebabkan kredibiliti, kecekapan, dedikasi, akauntabiliti, kesungguhan, kesetiaan dan kewibawaan dan yang paling penting ialah kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Raja pemerintah dan rakyat.

"Sejak penubuhan lagi, apa kata raja, itu lah yang akan dilaksanakan oleh KCS," kata anak kelahiran Alor Setar itu yang juga penulis buku Modenisasi Pentadbiran Negeri Kedah: Ke Arah Penubuhan Perkhidmatan Tadbir Negeri (KCS) 1895-1957.

Menurutnya, sebelum KCS diwujudkan, raja-raja Kedah telah mempelajari bahasa Inggeris serta mengadakan lawatan ke Perak, Singapura dan negeri-negeri di bawah jajahan Inggeris untuk meninjau keadaan pentadbiran negeri-negeri tersebut.

Kemudian, pada 1895, Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882-1943) melantik Pegawai Daerah pertama bagi Daerah Changloon iaitu Mohd. Ariffin Mohd. Arshad yang seterusnya menjadi Setiausaha Kerajaan pertama pada 1905 setelah penubuhan Majlis Negeri (State Council).

''Pada pertengahan abad ke-19, perkembangan ekonomi Kedah masih stabil tetapi menjelang penghujung 1890-an dan paling ketara pada 1904 keadaan kewangan negeri meruncing apabila jumlah pendapatan tidak dapat memenuhi perbelanjaan," kata Mohd. Shariff yang juga bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Kedah, Tun Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabudin.

Justeru, pada April 1905, Tunku Abdul Aziz iaitu Raja Muda Kedah mengutus surat kepada Kerajaan Siam untuk mendapat pinjaman sebanyak $$2.6 juta ringgit dan seterusnya menandatangani Siamese Loan Agreement yang menetapkan faedah enam peratus setahun pada 16 Jun 1905 di Bangkok.

Mohd. Shariff berkata, walaupun kewangan Kedah tenat namun dengan kebijaksanaan Tunku Abdul Aziz dan kecekapan pegawai-pegawai KCS khususnya Mohamad Ariffin Mohamad Arshad Setiausaha Kerajaan Negeri, Wan Yahya Wan Mohamad Taib yang juga Ketua Kastam, maka hutang tersebut berjaya diselesaikan dalam jangka masa ditetapkan.

"Ini adalah kejayaan besar KCS mempertahankan kedaulatan negeri kerana jika hutang itu gagal dibayar maka kedaulatan Kedah akan terancam," katanya yang kini Karyawan Tamu Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menurutnya, antara langkah diambil untuk meningkatkan pendapatan negeri ialah menggubal 64 enakmen Enakmen Tanah 1906, Enakmen Pentadbiran merangkumi rasuah, menetapkan peraturan kerja pejabat-pejabat kerajaan, tata-tertib pegawai-pegawai semasa bekerja, mengatur dan menyusun pasukan polis dan pekerjaan pegawai-pegawai daerah, peraturan dan kerja pejabat tanah.

Selain itu, Tunku Abdul Aziz juga menetapkan peraturan mahkamah, peraturan pejabat kerja dan menetapkan peraturan mendaftar dan melesen kerbau lembu serta enakmen candu dan membatal The Debt-Bondage Enactment 1328.

Integriti dan kecekapan KCS juga telah meningkatkan pendapatan negeri melalui dasar cukai tanah yang liberal, kebenaran pajakan hingga 99 tahun, dasar buruh dan 5,000 geran tanah baharu setiap tahun dikeluarkan.

''Pada 1920 hingga 1930, Kedah berjaya mengeksport beras sebanyak 80,000 pikul ke Pulau Pinang kerana pada ketika itu sudah banyak tali air dimajukan seperti Terusan Wan Mohamad Saman, terusan Sungai Korok, terusan Alor Changleh yang membolehkan pesawah mengerjakan sawah mereka.

Keunggulan KCS memuncak pada 20 Oktober 1939 hingga mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Majlis Mesyuarat Negeri bersetuju menghulurkan bantuan RM1 juta atau 220,000 pound sterling kepada Kerajaan British bagi menghadapi peperangan di Eropah.

Sejak penubuhan KCS, Mohd. Shariff berkata, golongan KCS cukup dihormati sebagai 'wakil raja' yang menyelesaikan masalah segenap aspek kehidupan rakyat daripada isu ekonomi, pendidikan, pentadbiran hingga ke isu keselamatan.

Dalam buku setebal 225 muka surat yang bakal diterbitkan Disember ini, Mohd. Shariff antaranya turut menceritakan kisah Pegawai Daerah Baling, Cik Mat Deli yang menangkap sendiri, Toh Poh iaitu ketua penyamun terkenal dari Siam yang melarikan diri ke Baling pada 1911.

Selain itu, katanya, buku itu turut menceritakan usaha KCS meningkatkan pembangunan pendidikan moden seperti tertubuhnya Sultan Abdul Hamid College (SAHC) serta kemajuan infrastruktur seperti membina rangkaian perhubungan jalan raya negeri dan landasan keretapi.

Ditanya mengenai kemelut KCS yang berlaku baru-baru ini, Mohd. Shariff berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana semua pegawai KCS adalah dalam satu pasukan pentadbir negeri yang bernaung di bawah Sultan Kedah dan bukannya orang politik.

Pada hemat beliau, punca kemelut itu adalah disebabkan orang politik membuat bantahan dan demonstrasi mendesak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Rasli Basir meletak jawatan.

"Setiap KCS perlu mencontohi kewibawaan pegawai-pegawai lalu yang bekerja dalam satu pasukan one for all and all for one dalam menghadapi sebarang masalah.

"Kita perlu ingat bahawa SUK adalah ketua KCS yang dilantik oleh Sultan Kedah jadi semua KCS sebagai pentadbir wajib patuh kepada SUK selaku bos mereka," katanya yang yakin kemelut itu dapat diselesaikan dengan baik dan bijaksana kerana KCS adalah para pentadbir berwibawa.


SAHBULAH DARWI pengarang@utusan.com,my Utusan Malaysia Online Rencana 19 November 2012 / 5 Muharam 1434
Tags: sejarah, tokoh
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments