kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bersedia hadapi masa depan sukar

Dalam seminggu dua ni, Kunta Kinte jumpa banyak peneroka FELDA dan pekebun kecil dalam majlis kenduri kahwin dan orang mati.

Antara hal yang mereka bangkitkan adalah harga kelapa sawit dan getah yang jatuh teruk dan harga barang runcit yang makin naik. Ada yang dah berhenti ternak ayam dan ikan sebab harga makanan binatang naik teruk. Yang berniaga kuih muih di tepi jalan pun banyak dah berhenti.

Kunta Kinte harap, pihak berkuasa dan media massa janganlah cerita yang baik-baik saja berkenaan ekonomi. Memang betul  konomi kita terus berkembang. Tapi kadar pertumbuhan dah banyak merosot tak macam pada 1980-an dan 1990-an lagi apabila ekonomi kita tumbuh sampai 10 peratus setahun. Sekarang nak dapat 5 peratus pun cukup susah.

Kita kena bagi tahu orang ramai hal sebenar supaya mereka boleh berjaga-jaga dan, di mana yang boleh, buat perubahan.

Kenyataan tak masuk akal

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, ada pegawai yang urus ekonomi, kewangan dan bank terus buat kenyataan seolah-olah semua orang bodoh dan jahil mengenai ekonomi.

Tak masuk akal bila mereka kata ekonomi kita tak akan terjejas, sedangkan pertumbuhan ekonomi satu dunia, termasuk China, dah merosot dua tiga tahun.

Kita negara perdagangan. Kalau ikut kiraan Bank Dunia, nilai semua barangan dan perkhidmatan kita yang kita bekalkan kepada dunia adalah bersamaan dengan 97 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2010. Lagi tinggi peratusnya, lebih besarlah pergantungan sesebuah negara kepada perdagangan antarabangsa.

Tak percaya bulat-bulat

Kalau ekonomi negara-negara yang berdagang dengan kita merosot, macam mana mereka nak terus import barang keluaran kita dan macam mana pula rakyat mereka nak datang melancong ke negara kita?

Peneroka FELDA dan pekebun kecil dah lama rasa kesan kemerosotan ekonomi dunia ini. Mereka tak percaya bulat-bulat lagi berita baik dari Perbendaharaan dan Bank Negara berkenaan ekonomi yang kononnya kukuh sebab harga getah dah jatuh 40 peratus dan harga buah kelapa sawit di kebun dah turun daripada RM845 setan kepada RM345 setan.

Ini bukan perangkaan Kunta Kinte, tapi apa yang peneroka FELDA dan pekebun kecil di Johor, Kedah dan Perak bagi tahu. Peneroka FELDA tak berapa teruk sangat sebab ada macam-macam habuan dan hadiah yang kerajaan bagi. Tapi pekebun kecil susah sebab mereka kena tanggung sendiri.

Apabila Kunta Kinte sembang dengan penanam padi, mereka tak berapa peduli sebab harga padi dijamin dan mereka dapat subsidi baja dan racun. Yang mereka mengeluh adalah berkenaan serangan tikus, siput emas dan penyakit padi. Hasil tuaian turut merosot kerana kesuburan tanah makin merosot akibat keracunan kimia.

Baca amaran Mogran Stanley

Memanglah kita mahu ekonomi kita kukuh dan kita nak dengar berita-berita baik. Itulah yang Kunta Kinte sendiri harapkan setiap hari. Kalau ekonomi kita baik, baik jugalah pelaburan dan perniagaan Kunta Kinte. Tapi, maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, Bursa Malaysia pun lebih kerap jatuh daripada naik sejak akhir-akhir ini. Ada orang kata, pasaran saham dah letih dengan cakap-cakap pilihan raya.

Kunta Kinte rasa tentu ada sebab yang kukuh apabila bank raksasa macam Morgan Stanley dari Amerika Syarikat bagi amaran yang ekonomi global mungkin masuk ke zon senja (twilight zone) tahun depan dan akan jadi lebih teruk kalau pembuat dasar gagal bertindak.

Kunta Kinte berdoa dan berharap cerdik pandai kita di Perbendaharaan, Unit Perancang Ekonomi, Bank Negara dan PEMANDU baca amaran Mogran Stanley itu.

Kita tak boleh elak sebab jatuh bangun kita banyak bergantung kepada ekonomi dunia - kepada harga getah dan kelapa sawit, kepada pelaburan asing dan eksport barang-barang kilang, kepada kedatangan pelancong asing dan kepada keyakinan pelabur dan pengguna kita sendiri.

Janganlah kita bagi tahu yang baik-baik saja sebab nak dipuji dan nak jadi popular. Kunta Kinte takut, orang kita yang percaya dengan berita-berita baik yang sikit itu akan lalai dan tak bersedia hadapi masa depan yang sukar. Wallahualam.

E-mel ke rencanabh@bharian.com.my untuk berkongsi pendapat anda


Kunta Kinte original Berita Harian Online Rencana Sabtu , 24 November 2012
Tags: ekonomi
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Letters to MalaysiaKini

    Accept others as they are Nit-picking is the surest way to ruin relationships so focusing on people's positive qualities will…

  • Surat Untuk Solidaritas

    Ahli Profesional Mana Yang Anda Harus Jumpa? Ahli Profesional Mana Yang Anda Harus Jumpa? Mencari ahli profesional kesihatan mental…

  • Surat kepada MalaysiaKini

    ULASAN | Iktibar dari kudeta Apa maksud rampasan kuasa di Myanmar. Azizi Ahmad⋅ ULASAN | Iktibar dari kudeta…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments