kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Legasi kewartawanan A Rahim Kajai

Pada 5 Disember 1943, A Rahim Kajai meninggalkan kita buat selama-lamanya. Disember 2012 ini genaplah 69 tahun pemergiannya. Meninggal dunia ketika Perang Dunia Kedua sedang berlangsung adalah tragedi berganda. Perang Dunia Kedua menjadi batas terakhir perjuangan kewartawanan dan kesusasteraannya.

Beliau dilahirkan pada 1894 di Setapak, Selangor. Setelah beliau menamatkan pengajian Sekolah Melayu di Setapak, terdapat dua peluang pengajian yang terbuka kepadanya – sama ada ke sekolah Inggeris atau mendalami ilmu agama Islam. Barangkali terikat dengan sikap stereotaip kebanyakan orang Melayu ketika itu terhadap pendidikan Inggeris, beliau dihantar oleh orang tuanya ke Makkah bagi mendalami ilmu Islam dan bahasa Arab.


 A Rahim Kajai 1894-1943.                 A Rahim Kajai (1894-1943)


Sebuah tulisan mengenai biografinya menyebut bahawa beliau kembali daripada pengajian di Makkah pada 1909. Jika kita mengandaikan A Rahim Kajai mula belajar di Sekolah Melayu Setapak pada usia tujuh tahun (1900) dan menamatkan Darjah Enam pada 1906, maka beliau berada di Makkah kira-kira tiga tahun. Ketika beliau balik dari Makkah pada 1909 umurnya baru 15 tahun.

Kita tidak mengetahui punca sebenar kenapa A Rahim Kajai terpaksa pulang ke tanah air hanya tiga tahun selepas berada di Makkah. Tempoh tiga tahun, dalam usia remaja pula, belum mencukupi untuk beliau mendalami ilmu Islam dan bahasa Arab tetapi Tuhan lebih mengetahui kelebihannya untuk A Rahim Kajai pulang semula ke tanah air pada usia 15 tahun.

Rentetan pengalaman

Kelebihan A Rahim Kajai dimulakan Tuhan dengan kerja pertamanya yang berkait rapat dengan percetakan dan penerbitan. Beberapa dekad kemudian inilah bidang yang menjulang namanya hingga kini – sebagai pelopor dalam bidang penulisan cerpen dan kewartawanan.

Berkenalan dan bekerja di bawah Syed Sheikh Al-Hadi adalah cetusan peristiwa yang menyuburkan bakat kepengarangan dan kewartawanannya. Syed Sheikh Al-Hadi (1867-1934) seorang ulama, pengarang dan penerbit akhbar mingguan Saudara di Pulau Pinang. Tempoh A Rahim Kajai di Makkah kali keempat digunakan juga untuk menjadi penulis khas Saudara. Beliau dilantik sebagai Penolong Pengarang Saudara pada 5 April 1930, selepas kembali dari Makkah dan ke jawatan Pengarang mulai 30 Ogos 1930.

Bertugas di Saudara menambah pengalamannya yang sebelum itu pernah menjadi pengatur huruf, pelukis pelan pelatih, pelukis pelan sementara, menyambung pengajian di Makkah beberapa kali lagi, di samping menjadi wartawan akhbar mingguan Edaran Zaman.

Pengalaman di Saudara membawanya ke Kuala Lumpur untuk menjadi Pengarang akhbar Majlis (mula terbit 17 Disember 1931) yang diterbitkan dua kali seminggu. Sebagai pengarang yang berpandangan jauh, ia berusaha menjadikan Majlis sebuah akhbar harian, tetapi usahanya gagal.

Kegagalan itu menyebabkan ia berpindah ke Singapura, kerana di sana Syed Husin Ali Al-Sagaf menerbitkan akhbar harian Warta Malaya (mula terbit 1 Januari 1935). Apabila Syed Husin mengembangkan perniagaan penerbitannya dengan menerbitkan majalah Warta Ahad dan Warta Jenaka, A Rahim Kajai diberikan tugas menulis rencana pengarang, cerita pendek, cerita jenaka dan sebagainya.

Keupayaan A Rahim Kajai sebagai penulis dan wartawan menyebabkannya terpilih menerajui akhbar Utusan Melayu, Utusan Zaman dan Mustika – kumpulan akhbar dan majalah yang dimiliki orang Melayu.

Penulisan kewartawanan Melayu

Sejak Januari 1925 ketika A Rahim Kajai di Makkah menjadi wartawan Edaran Zaman, ia sebenarnya mula mencorakkan apa yang disebut sebagai penulisan kewartawanan Melayu. Selama 16 tahun kemudian, yakni sehingga 1941, ia bukan saja memperjelaskan corak penulisan kewartawanan, malah memberi rupa dan jiwa kepada genre ini. Ia meninggalkan legasi kewartawanan Melayu yang luar biasa.

Beliau juga dikenang sebagai seorang pelopor cerpen Melayu moden. Sepanjang hayatnya beliau menghasilkan 48 cerpen, iaitu 37 daripadanya ditulis pada 1930-an, sementara 11 lagi dari 1940-1941.

Perang Dunia Kedua memberi impak yang besar terhadap idealismenya serta kesihatannya. Idealisme kewartawanannya cuba terus dinyalakan ketika perang, dengan menerbitkan sendiri akhbar Perubahan Baru tetapi hayat akhbar ini tidak panjang, lantaran masalah bekalan kertas yang harus diperoleh daripada pihak Jepun, iaitu Gun Senden-Han.

Kepakarannya dalam bidang kewartawanan digunakan oleh pihak Jepun, dengan meminta A Rahim Kajai menjayakan penerbitan Berita Malai (mula diterbitkan 1 Januari 1943) di Singapura.

Konflik kejiwaan

Kita dapat membayangkan konflik kejiwaan yang dihadapi A Rahim Kajai dalam bulan-bulan terakhir hidupnya. Bekerja di penerbitan milik penjajah Jepun tidak sama dengan di Utusan Melayu, Majlis, Warta Malaya, Saudara dan Edaran Zaman yang dimiliki orang Melayu beragama Islam. Mesej Warta Malai jauh berbeza dengan tujuan penerbitan akhbar dan majalah Melayu yang pernah ditanganinya.

Untuk melihat sumbangan serta jasa A Rahim Kajai, kita harus kembali ke periode 1925-1941, di mana periode itu menyerlahkan kebitaraannya yang sebenar dalam bidang kesusasteraan dan kewartawanan Melayu moden.


Dr Anwar Ridhwan ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA. Berita Harian Online Rencana Isnin , 03 Disember 2012
Tags: tokoh
Subscribe

  • Mat Kelubi pahlawan yang dilupakan

    MENGKAJI sejarah perjuangan gerakan menentang campur tangan Inggeris dalam pemerintahan negeri Pahang pada hujung abad ke-19, ia tidak lengkap jika…

  • Mengenang tokoh pendidikan berjasa

    BUKU ditulis oleh bekas Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Khailani A. Jalil, adalah mengenai latar belakang 15 Ketua Pengarah…

  • Zaaba pencetus kebangkitan Melayu

    ZAABA atau nama asalnya Zainal Abidin Ahmad, seorang tokoh ilmuwan yang sangat dikenali rakyat dan mendapat sanjungan sebagai seorang pendeta.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments