kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

MPR melahirkan penulis pelapis

Pada satu petang pada bulan Disember 1985, Datin Masnah Rais, isteri Menteri Penerangan Malaysia ketika itu merasmikan majlis kecil di Sudut Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Seramai 25 orang penulis muda menjadi tetamu istimewa DBP. Mereka merupakan karyawan yang telah dikenal pasti sebagai kumpulan pertama yang menghadiri 'Minggu Remaja DBP'.

Kesemua anak-anak muda itu telah ‘diperhatikan’ melalui karya yang tersiar di dalam majalah Dewan Siswa terbitan DBP. Mereka bukan sahaja didedahkan pada bengkel khusus mengenai penulisan oleh pembimbing terpilih tetapi juga berpeluang menemui penulis-penulis ternama tanah air.

Lahirkan lebih 700 'graduan'

Zain, Ahmad Patria, Faisal dan teman-teman mereka dalam MPR telah membuktikan bahawa penulis muda yang berbakat, sekiranya digilap dan didedahkan dengan betul boleh menjadi penulis yang baik”

Dua puluh tujuh tahun telah berlalu. Minggu Remaja yang kemudiannya dikenal sebagai Minggu Penulis Remaja (MPR) telah melahirkan lebih 700 ‘graduan’. Apabila kumpulan yang pertama sampai ke DBP, mereka berusia belasan tahun. Kini mereka sudah mencecah usia 40-an. Hampir setiap tahun (kecuali dua tahun program itu ditiadakan) DBP mengundang penulis muda dari pelbagai kaum untuk tujuan itu.

Bagi Ahmad Patria Abdullah, salah seorang daripada peserta kumpulan kedua (1986), MPR membawa makna yang tersendiri. Beliau yang baru berkarya mendapat suntikan baru untuk menulis apabila mendapat peluang menyertainya. Ahmad Patria merupakan salah seorang bintang cemerlang MPR.

Beliau menghasilkan novel Permata Aurorius pada usia 17 tahun, novel fantasi yang terbaik pernah dihasilkan dalam Bahasa Melayu. Buku ini telah diterbitkan oleh DBP pada tahun 1987. Beliau menulis beberapa buah novel lagi tetapi untuk beberapa ketika hilang dari radar penulisan tanah air. Khabarnya kini beliau sedang menjadikan Permata Aurorius dalam bentuk animasi untuk pasaran antarabangsa.

Selain Ahmad Patria, nama-nama lain yang pernah menjadi peserta MPR ialah Zaen Kasturi, Rahimidin Zahari, Faisal Tehrani, Shamsuddin Othman, Amariuszati Noor Rahim, Nisah Omar, Lee Kiok Chih, Zarihah Hassan, Ahmad Faizal Ahmad Fadzil dan Uthaya Sankar SB.

Zain Kasturi (atau nama sebenarnya Zainal Palit) telah menerima Anugerah Sastera Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) pada tahun 2010, pencapaian tertinggi mana-mana lepasan MPR setakat ini. Beliau juga telah memenangi pelbagai hadiah sastera pada peringkat negara. Faisal, lepasan MPR tahun 1994 banyak menghasilkan novel yang berkualiti, juga kontroversial.

Zain, Ahmad Patria, Faisal dan teman-teman mereka dalam MPR telah membuktikan bahawa penulis muda yang berbakat, sekiranya digilap dan didedahkan dengan betul boleh menjadi penulis yang baik. Penulis di sini tidak sahaja bermaksud penulis karya sastera tetapi juga penulis untuk medium yang lain seperti filem dan TV serta dokumentasi dan karya bukan kreatif seperti rencana dan berita.

Mereka semua bermula awal dalam dunia penulisan, digerakkan oleh keinginan untuk berkarya dan mencuba menulis untuk pelbagai akhbar dan majalah. Sebahagian daripada penulis muda ini berputus asa apabila karya mereka tidak mendapat tempat. Sebahagian daripada mereka berkarya hanya setakat sebelum mendapat kerja, selepas itu, realiti kehidupan dan survival membenamkan sama sekali hasrat untuk menulis. Ramai yang menjadikan penulisan hanya hobi. Memang terdapat mereka yang bekerja di syarikat media sebagai pemberita, editor atau penulis rencana. Daripada lebih 700 orang itu, mereka yang betul-betul bergantung hidup pada penulisan amat kecil bilangannya.

Persepsi umum ialah ‘penulis tidak boleh cari makan’ di negara ini. Sebuah novel yang dicetak oleh DBP sebanyak 3,000 naskhah akan hanya habis stoknya dalam masa tiga tahun. Sekiranya penulis itu mendapat 10 peratus royalti, maka beliau akan memperoleh paling tinggi RM3,000 sepanjang bukunya beredar di pasaran.

Mungkin juga tanggapan tentang penulis tidak boleh hidup ini sudah berubah. Industri kreatif negara bernilai RM9.4 bilion setahun, menggaji lebih 45,000 karyawan secara langsung. Dalam semua platform, penulis kreatif diperlukan – iklan, filem dan TV. Industri kandungan atau content menggelegak dengan pelbagai kemungkinan. Produser filem dan TV memerlukan skrip, juga bahan sastera yang baik sementara dunia iklan memerlukan penulis kopi yang berkualiti. Pendeknya peluang untuk penulis cukup besar dalam ruang ini.

Dunia sastera pula memerlukan karya bermutu. Malaysia memerlukan penulis pelapis untuk meneruskan usaha nama-nama besar seperti Keris Mas, Usman Awang, A. Samad Said, Shahnon Ahmad, A. Samad Ismail, Arenawati, Kemala, Anwar Ridhwan, Salima Ibrahim dan ramai lagi. Pada waktu yang sama penulis muda harus membugarkan dunia sastera tanah air. Saya percaya, daripada 700 graduan MPR itu, akan lahir nama-nama besar dalam dunia sastera tanah air.

Penulis muda berpotensi besar

DBP perlu meneruskan usaha ini dan menjadikan MPR sebagai program tahunan yang terancang rapi. Salah satu matlamat DBP ialah untuk melahirkan penulis muda yang berbakat. MPR telah terbukti kejayaannya. Apa yang diperlukan ialah membuat penilaian semula keberkesanannya dalam melahirkan penulis muda berpotensi besar.

Pada waktu yang sama DBP perlu mengajak lebih ramai penulis bukan Melayu untuk turut serta.


Johan Jaafar Berita Harian Online Rencana Khamis , 13 Disember 201
Tags: buku, menulis, penulis
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments