kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Perkasa lakukan dengan tanggungjawab

Mukadmimah

PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang menghampiri tahun keempat penubuhannya kini mempunyai lebih 350,000 ahli di seluruh negara dan jumlah itu semakin meningkat setiap hari. Kelahiran Perkasa dilihat segelintir orang Melayu sebagai ‘buku bertemu ruas’ untuk parti politik ultra perkauman mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat tuntutan melampau seperti Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Hindraf.



Di kenali sebagai Ibrahim Katak ... depa lah panggei dia ..

Namun, ini menyebabkan pemimpin dan ahli Perkasa dituduh sebagai rasis dan ekstremis oleh pihak tertentu semata-mata kerana mempertahankan hak orang Melayu dan Islam serta memperjuangkan ekonomi bumiputera. Sempena Persidangan Agung Perkasa Ketiga esok, persoalan mengenai perjuangan, pencapaian dan pengaruh NGO Melayu ini cuba dirungkai.

Melalui wawancara khas Presiden Perkasa, DATUK IBRAHIM ALI bersama wartawan Utusan Malaysia, NURUL ANUAR KARI, beliau berkongsi liku-liku perjuangan Perkasa untuk agenda bumiputera, agama Islam, Raja-Raja Melayu dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan di samping peranan ahli-ahli Perkasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).


UTUSAN: Bagaimana perkembangan Perkasa selepas lebih tiga tahun penubuhannya dan apakah agenda persidangan kali ini?

IBRAHIM: Perkasa yang bermula secara rasminya pada 2009 kini mempunyai ahli dan cawangan di 115 daerah di setiap negeri di seluruh Malaysia, termasuk Wilayah Persekutuan.

Kita mempunyai 40 orang Ahli Majlis Dewan Tertinggi, sekitar 3,450 warga pengurusan daerah dan lebih 350,000 ahli setakat ini. Saya pun terkejut dengan perkembangan pantas Perkasa berbanding NGO lain yang pernah saya sertai sebelum ini dan cukup bersyukur dalam tempoh singkat, Perkasa sudah menjadi sebuah pertubuhan yang berstruktur.

Tidak seperti NGO-NGO lain yang menerima dana sehingga berjuta-juta ringgit, kita tidak terima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak. Bermacam-macam aktiviti yang kita jalankan bergantung kepada yuran dan derma ahli-ahli yang begitu bersemangat.

Saya tidak nafikan 70 peratus ahli Perkasa adalah orang UMNO yang saya percaya tidak menyokong BN (pada 2008), tetapi kita juga ada warga Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR), pesara kerajaan, tentera, polis dan mereka yang tidak sertai mana-mana parti.

Saya percaya kesemua mereka ini adalah Melayu tulen, walaupun parti politik lain-lain tetapi terus bersatu memperjuangkan agenda bumiputera.

Persidangan Agung Perkasa Ketiga esok bermula 8.45 pagi dengan Perhimpunan Pribumi Perkasa Negara Menentang Petualang Demi Kesejahteraan Rakyat dan Negara di Dataran Astaka, Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Kita jangka sekitar 10,000 ahli akan turut serta jika tidak hujan, tiada kesesakan lalu lintas atau kekangan lain.

Pada pukul 2 petang pula, persidangan akan bersambung di Dewan Besar, Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru untuk membentangkan 10 usul berkaitan perpaduan, akidah dan murtad, pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

Persidangan pertama pada 2010 dirasmikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, persidangan kedua pada 2011 oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor dan tahun ini akan dirasmikan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.



Utusan Malaysia Online Rencana 14 Disember 2012 / 30 Muharam 1434
Tags: perkasa, politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments