kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bahaya putar belit fakta ekonomi

Lagi lama cakap-cakap pilihan raya berlaku, lagi banyaklah isu dan kontroversi dicetuskan. Ada yang lebih daripada betul, tapi ada juga yang tidak betul. Suka tak suka itulah politik demokrasi. Banyak yang baik, tapi ada juga yang tak baik.

Satu perkara yang Kunta Kinte fikir penting, iaitu perkara pokok yang patut rakyat jelata tahu, perlu diterangkan kepada mereka.

Kita dah tahu jenayah dah jadi masalah di negara kita. Kalau nak kira keadaannya lebih teruk daripada zaman jenayah yang dilakukan Botak Chin dan Bentong Kali, walaupun macam-macam angka dan data kata jenayah makin kurang.

Rakyat jelata yang jadi mangsa atau yang terdedah kepada jenayah, tak percaya. Mereka lebih percaya berita buruk yang mereka baca dan dengar daripada media massa.

Boleh kata tiap hari kita baca dan dengar berita orang kena rompak, kena rogol, kena culik, kena ragut, kena tipu dan kes pembunuhan. Berita macam ini susah nak sembunyi apatah lagilah apabila ada media massa yang tumpu khusus kepada berita jenayah dan sensasi.

Tapi yang Kunta Kinte rasa kurang dibincangkan ialah masalah ekonomi yang sebenar makin hari makin genting. Bukan soal harga ikan dan sayur yang naik kerana musim hujan, tapi aliran jangka panjang di peringkat nasional dan antarabangsa yang tambah rumit. Kemelesetan ekonomi Amerika dan Eropah makin buruk, ekonomi China, India dan Brazil tambah lembap dan ekonomi kita sendiri bergantung kepada permintaan dalam negara.

Dalam itu pun ada juga ketua dan pegawai tinggi awam yang terus buat kenyataan seolah-olah Malaysia terasing dan terpisah daripada pengaruh ekonomi dunia dan seolah-olah rakyat jelata tak tahu langsung berkenaan ekonomi.

Misalnya, apabila ekonomi Amerika dan Eropah mula merosot akibat krisis pinjaman subprime dan hutang negara yang tak terkawal empat tahun lalu, ada seorang pemimpin yang kata ekonomi kita tak akan terjejas. Dia kata kita tak bergantung kepada Amerika dan Eropah.

Macam itu juga dengan naik-turun nilai duit kita. Masa nilai ringgit naik, mereka kata baik dan apabila turun, mereka kata baik juga. Kalau macam tu, tak payahlah ada orang cerdik uruskan hal mata wang, kewangan dan perbankan.

Orang yang buat kenyataan macam itu sebenarnya sangka rakyat jelata jahil dan akan percaya semua cakap karut-marut mereka. Mereka lupa atau tak tahu sebab mereka duduk di istana gading. Mereka tak berdamping dengan rakyat jelata. Mereka tak tahu yang rakyat jelata dah tahu berkenaan nilai mata wang dan dah tahu yang kehidupan mereka terjejas kerana naik turun kadar tukaran mata wang.

Paling-paling busuk pun mereka pergi haji dan umrah. Yang ada anak belajar di luar negara atau yang kerap melancong, mereka lagi arif berkenaan kadar tukaran mata wang.

Yang jahil dan tak tahu, mereka percayalah kepada berita-berita gembira. Kerana percaya, mereka terus leka dan tak buat persiapan. Apabila bala menimpa, merekalah yang paling teruk tanggung beban sebab telah dilalaikan.

Kunta Kinte dah banyak kali kata, ekonomi kita amat bergantung kepada ekonomi dunia sebab kita adalah antara negara perdagangan paling besar di dunia. Pada 2011, dari segi eksport, kita duduki tempat ke-25. Kita pun import banyak barangan pengguna dan industri. Perubahan nilai ringgit dan turun naik ekonomi dunia beri kesan besar kepada kos import dan pendapatan eksport kita.

Baru-baru ini tersiar berita kata, dalam suku ketiga tahun ini iaitu daripada Julai hingga September, pelaburan dalam bidang pengeluaran jatuh akibat pengaliran masuk modal asing yang berkurangan dan pelaburan modal tempatan yang turut merosot.

Mengikut Institut Penyelidikan RHB, kemerosotan itu disebabkan oleh ekonomi dunia yang lembap dan sikap pelabur yang lebih berhati-hati. Ini bermakna dah dua suku tahun kadar pelaburan jatuh.

Kadar pelaburan tahun ini umumnya lebih rendah daripada 2011. Lagi teruk daripada itu, ada juga pemodal kita yang hantar duit ke luar negara setiap kali berlaku pilihan raya. Kita kena cam dan awasi mereka ini.

Kita kena ingat iaitu hanya apabila ada pelaburan tambahan, barulah akan wujud peluang pekerjaan baru. Kalau tak ada pelaburan baru, bukan saja tak ada jawatan baru, malah jawatan yang sedia ada pun mungkin terancam.

Ini semua, lambat laun rakyat jelata akan tahu juga. Mereka akan tahu apabila susah nak dapat kerja. Lebih-lebih lagilah apabila kena buang kerja, kena potong gaji, kena sekat kerja lebih masa, bonus tak ada dan kenaikan gaji pula beku.

Jadi, Kunta Kinte harap pemimpin dan pegawai tinggi awam serta media massa janganlah cerita yang baik-baik saja atau, lagi teruk, putar-belit fakta ekonomi kerana kepentingan tertentu.

Kita kena sama-sama bagi kefahaman yang secukupnya kepada orang ramai berkenaan ekonomi supaya kita boleh sama-sama berusaha dan bersedia hadapi apa saja kemungkinan yang landa ekonomi negara kita. Ingatlah dah ramai rakyat jelata kita yang celik ekonomi. Wallahualam.


Kunta Kinte Berita Harian Online Agama 15 Disember 2012
Tags: ekonomi
Subscribe

  • Big issues over riot in Little India

    Singaporeans hold contrasting views over whether this is an isolated incident or the tip of an iceberg of grievances coming to the fore. A BUNCH of…

  • Polarisasi politik di Thailand

    PEMBUBARAN Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum Februari depan bukanlah penyelesaian kepada krisis politik yang melanda Thailand ketika ini.…

  • Masyarakat kian alami polarisasi

    SEBELUM ini kita sering membicarakan tentang polarisasi kaum, seperti yang berlaku di institusi pengajian tinggi umpamanya, iaitu ketika kaum…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments