Sanusi juga menjelaskan proses atau putaran peradaban orang Melayu daripada satu keadaan kepada satu keadaan yang lain berikutan perubahan sikap dan suasana semasa. Beliau juga mengambil kira peradaban dan keagungan Kesultanan Melayu sebagai institusi terhebat di dunia hari ini. Walaupun ada sifat-sifat positif orang Melayu, beliau juga sinis khasnya terhadap perpecahan orang Melayu. Beliau membuat analogi perpecahan orang Melayu dengan alam perkahwinan yang berkesudahan dengan perceraian. Setelah hidup berbelas atau berpuluh tahun bersama, tentulah begitu banyak kebaikan yang dilakukan oleh suami atau isteri ke atas pasangan masing-masing. Jika menjalin hubungan sebelum ke jenjang pelamin, tentunya mereka sudah terlebih dulu mengenali hati budi antara satu dengan lain. Malangnya, semua kebaikan yang mereka tempuh bersama tidak diambil kira apabila berlaku hanya satu atau dua peristiwa yang menyebabkan mereka bercerai. Hanya ‘kejadian buruk’ itu saja yang mereka ungkit saban hari sedangkan kebaikan yang berpuluh tahun tidak pernah dikenang. Inilah yang menyebabkan berlakunya perpe-cahan orang Melayu.
Sanusi juga bercerita mengenai perbezaan Melayu profesional dan profesional Melayu. Baginya, Melayu profesional adalah golongan yang memikirkan soal bangsa mereka dengan semangat yang tinggi. Sebarang keputusan mengambil kira soal budaya, peradaban, generasi dan sebagainya, manakala profesional Melayu adalah sekumpulan Melayu yang dilatih supaya menjadi tokoh korporat dan bertindak secara profesional tanpa mengambil kira soal bangsa. Jika berasakan dari segi perniagaan, menjual sesuatu hartanah itu menguntungkan, profesional Melayu akan menjual atas keputusan profesional.
Mior Kamarul Shahid Berita Harian Online Rencana 17 Disember 2012