PAHLAWAN, wira, hero dan raja berani. Itu antara gelaran yang sinonim dengan Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau. Gelaran itu cukup cocok dengan kisah keberanian luar biasanya dalam mendepani pengganas komunis apatah lagi raut wajahnya agak serius dan bengis.
Bagaimanapun, hati kecil Kanang, anak kelahiran Julau, Sarawak, mudah tersentuh apabila ada pihak yang mempertikaikan sumbangan anggota tentera terhadap keselamatan negara.
Malah dua kali muka depan akhbar ini sepanjang 2011 dan 2012 menyiarkan gambar Kanang dalam keadaan sebak dan menangis apabila memperkatakan mengenai isu-isu berkaitan keganasan komunis.
Kali pertama pada petang 27 Ogos 2011 sewaktu penulis dan jurufoto Amir Hafiz Abd. Rahman berkunjung ke rumahnya di Kampung Sungai Apong, Kuching untuk mendapatkan reaksi mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengangkat komunis sebagai hero. Air matanya tiba-tiba bergenang sebelum terbit satu kenyataan yang keras: "Pastinya orang ini tidak pernah merasa bagaimanakah perasaan apabila parang diletakkan pada tengkuk mereka."
Kali kedua pula ialah pada 23 Februari sewaktu Kanang sebak menceritakan pengalamannya pada era darurat dalam sidang akhbar Kolokium Sejarah Malaysia di Kuala Lumpur. Selayaknya Kanang sebak dan menangis kerana dia sendiri telah mempertaruhkan nyawanya untuk negara. Malah, dia sebenarnya ibarat mati hidup semula selepas bertempur dengan pengganas komunis pada 19 Februari 1980 di Tanah Hitam, Perak.
Wira negara, Kanang Anak Langkau yang jasanya kepada keamanan negara pasti dikenang sampai bila-bila.
Segalanya bermula apabila Platun Risik Gempur (UCIS) 8 Renjer yang diketuai oleh Kapten Johnson Meling dibantu oleh Kanang ditugaskan ke kawasan Tanah Hitam untuk menjejak segerombolan pengganas komunis yang menembak mati seorang anggota 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) beberapa hari sebelumnya.
Kanang yang berpangkat Sarjan pada masa itu mengetuai satu kumpulan yang berjaya menjejak pengganas yang dicari. Beliau melepaskan tembakan dan terus menyerbu ke kedudukan musuh.
Musuh berjaya melepaskan diri dan penjejakan diteruskan oleh Kanang pada pagi 19 Februari selaku peninjau hadapan. Semasa bergerak, dia berjaya mengesan jerangkap samar yang dipasang musuh.
Dalam keadaan itulah tiba-tiba mereka dihujani tembakan musuh dan salah satu daripadanya mengenai seorang anggota yang bernama Nasir.
"Nasir merayu minta saya bantu tetapi saya tidak pedulikan, saya terus menembak ke arah musuh tanpa henti. Selepas dua tiga kali Nasir merayu barulah saya bantu dia dan pada masa itulah saya ditembak di dada dan kanan badan sebelum terjatuh," katanya.
Sewaktu Kanang terbaring kesakitan, datang seorang pengganas komunis wanita yang mahu membunuhnya dan dia bertindak menembak dan kemudiannya memancung leher musuhnya itu.
Selepas itu, satu lagi tembakan mengenai bahagian kiri badan Kanang menyebabkan usus perutnya terkeluar.
"Saya ambil garam dan letak pada usus, secara automatik usus saya masuk balik sebelum diikat dengan kain," katanya.
Ekoran kejadian itu, Kanang diusung keluar daripada kawasan pertempuran dalam keadaan nyawa-nyawa ikan. Dia cedera parah dibolos peluru yang mengenai jantung dan buah pinggang. Selama sebulan dia ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Bagaimanapun Kanang sempat berpesan kepada penulis supaya tidak terlalu menumpukan kisah pertempuran itu untuk disiarkan dalam akhbar ini. Lantaran itu temuramah bersamanya yang disiarkan Mingguan Malaysia pada 28 Ogos 2011 berkisar tentang nasihatnya kepada generasi muda supaya mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara.
"Saya tidak mahu menilai diri sendiri, biarlah orang menilai saya," katanya.
Dalam pertemuan itu, penulis sempat mengusik Kanang bahawa dia selayaknya menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk. Secara bersahaja dia berkata tidak layak untuk menerimanya lagipun dia bukannya ada duit untuk membeli baju cantik dan kereta besar.
Tidak sampai sebulan selepas itu, pada 24 September Kanang menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak 'Panglima Gemilang Bintang Kenyalang' yang membawa gelaran Datuk daripada Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.
Ditemui penulis selepas majlis itu, Kanang berseloroh bahawa pingat itu adalah hadiah perkahwinannya dengan Datin Brawang Chunggot. Brawang dikahwini Kanang selepas isterinya, Helen Latai Intie meninggal dunia akibat barah.
Terdahulu, berikutan pengorbanan dan keberanian Kanang, beliau dianugerahkan Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P) pada 1981 - pingat istimewa yang tidak membawa gelaran protokol namun paling tinggi dalam senarai keutamaan Anugerah Persekutuan. Pada tahun sama, dia menerima satu lagi pingat iaitu Panglima Gagah Berani (P.G.B).
Perkhidmatan Kanang dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berakhir pada 1986 dengan pangkat terakhir sebagai Pegawai Waran 1. Bagi mengisi masa terluang, dia aktif memberikan ceramah kenegaraan di seluruh negara selain dilantik sebagai Temenggong Bahagian Sri Aman pada 2009. Walaupun sudah menamatkan perkhidmatan bersama ATM, Kanang tidak pernah melupakan kebajikan bekas tentera termasuk yang meninggal dunia. Antara sumbangan utama beliau ialah menjayakan Ops Mai Pulai (Ops Bawa Balik).
Melalui ops berkenaan, rangka 21 anggota Iban Trackers dan Sarawak Rangers yang terkorban di Semenanjung dan Singapura ketika menentang komunis sekitar 1948 hingga 1963 dibawa balik ke Sarawak untuk dikebumikan di Makam Pahlawan, Kuching pada 27 Julai 2011.
Pencetus idea ops berkenaan, Leftenan Kolonel (B), Robert Rizal Abdullah berkata, Kanang memainkan peranan penting dalam usaha itu malah menganggotai jawatankuasanya sejak 2009.
Katanya, Kanang merupakan seorang yang komited walaupun ops berkenaan pada mulanya hampir menemui kebuntuan sebelum penglibatan Kerajaan Negeri Sarawak.
"Dia seorang yang amat bertanggungjawab dan kita berikannya peranan untuk melaksanakan tugas-tugas khas. Tanpa Kanang mungkin ops itu tidak akan berjaya.
"Kanang juga mengetua operasi penggalian kubur-kubur pejuang terbabit di Kuala Lumpur dan Taiping malah menyempurnakan upacara khas 'Miring Nyambut Bujang Berani Turun Sembilan'," katanya.
Bagaimanapun semalam, negara dikejutkan dengan pemergian Kanang dipercayai akibat serangan jantung pada usia 68 tahun. Kanang kini telah tiada namun legasi dan jasanya pasti berkekalan.
'Agi idup agi ngelaban'. Selamat jalan Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau.
SAIFUL HAIZAN HASAM saiful.hasam@utusan.com.my Utusan Malaysia Online Rencana 04/01/2013
PAHLAWAN negara, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, 68, telah pergi meninggalkan kita semua yang dapat hidup dalam aman dan damai. Suasana itu sebenarnya turut disumbangkan oleh Kanang yang mempertaruhkan jiwa raganya menentang komunis.
Siapa sangka Kanang yang ditembak pada dada serta pada kiri dan kanan badannya sehingga tersembul ususnya pada tahun 1980, dapat meneruskan hidupnya tanpa sedikitpun mengikis rasa kecintaannya kepada tanah air.
Keberanian dan kecekalan luar biasa Kanang sehingga terus berjuang walaupun peluru telah menusuk dada, adalah bukti betapa beliau menyerahkan jiwa raganya untuk negara. Justeru amatlah besar maknanya apabila anak jati Sarawak itu dikurniakan anugerah Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P) dan pingat Panglima Gagah Berani (P.G.B.) pada 1981. Beliau menjadi individu tunggal yang menerima dua pingat keberanian tersebut.
Walaupun bersara, wira negara itu terus meniup semangat kecintaan kepada negara. Antara lain, beliau aktif memberikan ceramah kenegaraan termasuk kepada generasi muda di seluruh negara.
Semoga semangat, keberanian, komitmen dan kecintaan Kanang kepada tanah air terus bercambah di kalangan jiwa masyarakat kita walaupun beliau telah pergi meninggalkan kita.
Beliau meninggalkan kita satu mesej yang cukup jelas - di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung. Jasanya kepada negara dan bangsa tidak akan terpadam!
AWANG - Sukar dicari ganti. Utusan Malaysia Online Rencana 04/01/2013