kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

'Ops Mai Pulai'

Rangka pejuang Iban Trackers, Sarawak Rangers disemadikan penuh istiadat

TIDAK ramai mengetahui jasa dan pengorbanan anggota tentera peribumi 'Iban Trackers' dan 'Sarawak Rangers' yang sanggup meninggalkan keluarga di Sarawak untuk membantu tentera British khususnya dari Rejimen Gurkha berjuang menentang pengganas komunis di Malaya dan Singapura pada era darurat.

Berbekalkan semangat `Agi Idup Agi Ngelaban' yang menjadi prinsip perjuangan pahlawan Iban sejak dulu, tentera peribumi itu sanggup menempuh cabaran berjuang di negara orang kerana ketika itu, Sarawak dan Malaya (kini Semenanjung) belum bergabung membentuk sebuah negara.

Tentera British berpangkalan di Sarawak menjelajah segenap pelosok negeri mencari anak watan khususnya generasi muda Iban untuk menyertai mereka menggempur pengganas komunis yang mengucar-kacirkan ketenteraman penduduk Malaya ketika itu.

Anak muda Iban menjadi keutamaan tentera British, kerana mereka memiliki kemahiran luar biasa di hutan belantara, bukan saja menjejaki, malah mampu menghidu kehadiran musuh, selain mahir menjalani ikhtiar hidup untuk bertahan berbulan lamanya di hutan tanpa bekalan makanan dibawa dari kem.




Anggota Batalion Ke-3 Rejimen Ranger Diraja memberi tabik hormat untuk kali terakhir ketika menyambut ketibaan 21 rangka pejuang
Iban Trekers dan Sarawak Rangers di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Kuching.


Justeru, tidak hairanlah sepanjang era darurat mulai 1948 hingga 1960, lebih 1,000 anak muda Iban dari segenap pelosok Sarawak dikerah ke Malaya untuk menjadi `pengesan' kepada tentera British.

Mereka diberi latihan asas peperangan menentang insurgensi termasuk menggunakan senjata automatik bagi bertindak balas jika diserang hendap.

Setiap anggota hanya berkhidmat kira-kira tiga bulan di Malaya ketika zaman darurat dan dalam tempoh itu, seramai 1,168 pejuang Iban menabur bakti hingga 21 daripadanya maut dalam pertempuran dengan komunis.

Kesukaran perhubungan ketika itu memaksa jenazah pejuang yang gugur di medan pertempuran, terpaksa dikebumikan di beberapa lokasi di Semenanjung dan Singapura.

Ini menyebabkan waris pejuang tidak berpeluang menziarah kubur mereka iaitu satu di Perkuburan Kristian, Jalan Sultanah, Alor Setar; empat di Perkuburan Kristian Jalan Kamunting, Taiping; dua di Perkuburan Kristian Batu Gajah; tujuh di Perkuburan Tentera di Kem Terendak; empat di Perkuburan Kristian Jalan Cheras, Kuala Lumpur dan dua di Perkuburan Tentera Kranji di Singapura.

Veteran Rejimen Renjer Diraja (RRD), Left Kol (B) Robert Rizal Abdullah, yang menyedari nasib menimpa pejuang yang gugur itu meninjau sebuah kubur di Alor Setar, milik Lans Koperal Ungkok anak Jugam yang meninggal dunia pada 13 Februari 1955.

Sedih melihat kubur di tepi jalan sibuk itu pada 2007, Robert Rizal berusaha mendapatkan bantuan Kementerian Pertahanan dan Kerajaan Sarawak untuk memindahkannya ke tempat sewajarnya bagi seorang wira negara.

"Ketika itu saya terfikir, jika satu kubur pahlawan gagal dijaga pihak berkuasa, bagaimana dengan yang lain. Jadi, saya bertekad memindahkan kubur itu ke Kuching bagi memudahkan waris menziarahinya," katanya.

Robert Rizal tidak jemu meminta bantuan kerajaan merealisasikan hasratnya memindahkan rangka pejuang itu dan pada 23 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika melawat Sarawak memberi jaminan menjayakan operasi khas dinamakan `Ops Mai Pulai' yang bermaksud Operasi Bawa Pulang.

"Akhirnya, dalam tempoh lima bulan, hasrat melihat rangka pejuang dikuburkan semula di tanah kelahiran mereka menjadi kenyataan," katanya pada majlis pengebumian 21 rangka itu di Tanah Perkuburan Pahlawan, berhampiran Taman Budaya, Kuching, baru-baru ini.

Rangka pejuang Iban Trackers dan Sarawak Rangers itu diterbangkan dengan pesawat pengangkut Hercules C-130 dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dan tiba di pangkalan TUDM Kuching tepat jam 1.30 petang, 26 Julai lalu.

Penghormatan tentera diberi anggota Batalion Ke-3, RRD sebaik keranda kecil menempatkan rangka pejuang itu tiba di Kuching dan beberapa pemimpin kanan kerajaan negeri termasuk Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang serta beberapa menteri Kabinet dan pegawai kanan tentera termasuk Panglima Wilayah Dua, Left Jen Datuk Awie Suboh, Panglima 3 Briged, Brig Jen Datuk Ramli Jaafar dan Panglima 9 Briged, Brig Jen Stephen Mudaw, menyambut ketibaan rangka pejuang itu yang diiringi Pahlawan Negara, PWI (B) Temenggong Kanang anak Langkau.

Pada 27 Julai, semua rangka 21 pejuang itu disemadikan di Tanah Perkuburan Pahlawan Kuching dan sekali lagi istiadat penuh tradisi ketenteraan diadakan dan dihadiri Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beberapa waris pejuang nyata terharu dengan usaha murni kerajaan serta individu yang membantu Ops Mai Pulai itu, yang menjadikan harapan mereka menziarahi kubur pejuang itu kini satu kenyataan.

Detik pilu kekal dalam ingatan

USIANYA kini 76 tahun, tetapi semangat juang bekas anggota Iban Trackers, Sarjan Mejar (B) Sengalang anak Uyang, masih membara apatah lagi apabila terkenangkan kejadian meragut nyawa rakan sepasukannya, Nyambik anak Pasang, di Sungai Siput, Perak, 53 tahun lalu.

Bagi Sengalang, walaupun peristiwa yang juga hampir meragut nyawanya itu sudah lebih setengah abad berlalu, terlalu sukar untuk melupakannya, malah ia menjadi segar semula dengan kembalinya rangka Nyambik ke tanah kelahirannya 26 Julai lalu selepas sekian lama dikebumikan di perantauan.

Menceritakan detik tragis itu, Sengalang berkata, sebutir peluru senjata komunis yang terkena tepat di dada Nyambik hampir merobek tubuhnya juga.



Tiga beradik anak Nyambik yang terkorban pada 1958 ketika menganggotai Iban Trackers,
membawa gambar keranda bapa mereka yang diusung oleh rakan mendiang ketika acara pengebumian.

"Ketika diserang, kami sedang meronda. Nyambik berjalan di sebelah saya, manakala dua lagi termasuk pegawai tentera British yang mengetuai kami iaitu Mejar Bruce Mary, turut sama dalam rondaan di Jalan Jelapang itu berjalan di barisan belakang.

"Ketika kami meninjau keadaan sekeliling, tiba-tiba musuh melepaskan tembakan dan saya terasa peluru melintasi depan saya dan dalam sekelip mata, Nyambik menjerit kerana tembakan itu terkena tepat di dadanya menyebabkan dia rebah dan menghembuskan nafas terakhirnya di depan mata saya," katanya.

Melihat Nyambik sudah terkena tembakan musuh, Senggalang bersama dua lagi rakan termasuk Bruce hilang sabar lalu mengejar pengganas itu dan berjaya menembak mati tiga daripada mereka.

Sengalang berkata, peristiwa 10 Jun 1958 itu detik paling menyayat hati pernah dialaminya ketika menyertai Iban Trackers membantu tentera British bertempur dengan pengganas komunis.

"Peristiwa itu memang cukup memilukan kerana ia membabitkan nyawa rakan baik saya yang datang dari Sarawak, semata-mata untuk berkorban nyawa membantu British menghadapi tentangan bersenjata pengganas komunis di Malaya.

"Selepas Nyambik rebah dan menghembuskan nafas terakhir, kami langsung tidak memikirkan keselamatan diri kerana satu saja matlamat ketika itu, membalas dendam atas kematiannya dan hingga kini, laungan 'Agi Idup Agi Ngelaban' membuatkan saya terus bersemangat untuk berjuang," katanya yang berasal dari Rumah John, Sungai Mujung, Kapit.

Bagaimanapun, situasi berbeza dialami Bala anak Utut, 73, apabila terpisah dengan abangnya Ugap yang terkorban dalam pertempuran di Taiping, Perak pada 28 Januari 1954.

"Apabila keranda kecil terpampang nama abang, saya menangis kerana tidak mampu menahan kesedihan akibat terpisah kira-kira 57 tahun lalu.

"Kami berdua ke Malaya kerana dipanggil membantu tentera British sekitar 1953, tetapi terpaksa pulang bersendirian ke Sarawak kerana abang menemui ajal, setahun kemudian," katanya.


Mohd Roji Kawi Berita Harian Online Nasional Skuad 12/08/2012
Tags: iban, pahlawan, sejarah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments